Wednesday, August 30, 2023

‘Serampang 2 mata’ gaji banduan parol

 

Pemilik perusahaan cuci kereta, K Suraindran menerima dokumentasi daripada Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Jusoh Ismail bagi dua banduan parol.

GEORGE TOWN: Seorang pemilik perusahaan mencuci kereta yang pernah menggunakan pekerja asing di 25 cawangannya di seluruh negara kini beralih sepenuhnya menggaji banduan yang keluar melalui perintah parol.

K Suraindran berkata, syarikatnya yang bertapak di Butterworth pada 2019 membuat keputusan menawarkan pekerja kepada banduan melalui perintah parol apabila kos mengambil pekerja asing menjadi terlalu mahal, sambil menambah langkah itu menjimatkan lebih RM200,000 dalam bentuk levi.

“Apabila kami melihat kos keseluruhan, termasuk levi dan perbelanjaan lain, menggaji pekerja asing adalah mahal. Tak berbaloi. Kami bermula dengan dua banduan parol, sekarang kami mempunyai lebih 250 bekerja dengan syarikat.

“Kini, saya tidak lagi mengambil pekerja asing. Kami berpuas hati menggaji banduan menjalani parol untuk beri mereka peluang kedua,” katanya kepada FMT.

Suraindran berkata, pekerja berkenaan dibayar gaji minimum dan bayaran kerja lebih masa, selain diberikan tempat penginapan dan makanan menurut perjanjian dengan Jabatan Penjara.

Katanya, kebiasaannya pekerja diambil masih berbaki tiga ke empat bulan untuk menyelesaikan hukuman masing-masing dan dalam tempoh itu, syarikat berkenaan akan melatih mereka dalam selok belok kemasan kereta dan teknik berkaitan.

Suraindran berkata, separuh banduan menjalani parol bekerja dengannya kekal berkhidmat selepas selesai hukuman, manakala selebihnya beralih ke bidang lain.

Beliau berkata, hanya seorang sahaja banduan meloloskan diri daripada lebih 200 banduan parol digajinya dalam tempoh empat tahun lalu.

“Jarang ada isu dengan mereka, mereka mahu bekerja,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Jusoh Ismail melepaskan 16 banduan berusia 30 hingga 60 tahun, sebagai sebahagian program di bawah jabatannya.

Katanya, empat yang diberi parol akan menyelesaikan baki hukuman dengan keluarga masing-masing, manakala 12 lagi akan diserahkan kepada pelbagai majikan.

September tahun lalu, kerajaan mendedahkan mampu menjimatkan RM270 juta menerusi pelbagai program dilaksanakan di bawah Jabatan Penjara. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.