Najib Razak dahulu marah benar dengan dapatan satu tinjauan kaji selidik menjelang PRU13 pada 5 Mei 2013. Marahnya bukan kepalang kerana kaji selidik berkenaan mendapati bekas perdana menteri itu ketinggalan kepada Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.
Tinjauan Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) itu menyebut 43% responden (saiz sampel 1,407 orang) percaya Anwar layak menjadi perdana menteri berbanding 39% lagi yang memihak kepada Najib.
Mempertahankan bahawa Barisan Nasional (BN) ada tinjauan sendiri yang menunjukkan Najib mendahului, BN turut diyakininya akan menang majoriti 2/3 di Parlimen sekiranya parti itu tidak mengalami sabotaj dalaman.
Lantas, hulubalangnya ketika itu, Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar, Abdul Rahman Dahlan, yang juga ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno mempertikaikan kaji selidik UMcedel itu sebagai berat sebelah.
Integriti metodologi kajiannya turut dipertikaikan hingga membawa kepada Pengarah Umcedel Prof Mohd Redzuan Othman diminta meletak jawatan oleh Kementerian Pendidikan. Beliau turut tidak diperbaharui kedudukannya sebagai dekan Fakulti Sastera dan Jabatan Sains Sosial UM tetapi sudah rezekinya untuk dilantik sebagai naib canselor Universiti Selangor pula berkuatkuasa 1 Disember 2016.
Dalam PRU13 itu, BN kekal berkuasa di sebalik tidak menang majoriti 2/3 seperti diyakini Najib apabila mendapat 133 kerusi (merosot tujuh) dengan majoriti yang berkurang tetapi Pakatan Rakyat (PR) yang mendapat 89 kerusi menang undi popular buat kali pertama (5,623,984 undi berbanding 5,237,699 di pihak BN).
Diputarkan waktu 10 tahun ke hadapan, selepas BN merekodkan prestasi buruk apabila hanya menang 19 kerusi daripada 108 kerusi yang ia tandingi dalam PRN enam negeri pada 12 Ogos lalu, badan penyelidikan Ilham Centre pula berkata Umno yang kini berdepan hakisan keyakinan akar umbi dicadang melakukan perubahan drastik kepimpinan pusatnya.
Kaji selidik itu merumuskan beberapa langkah dipercayai boleh memulihkan Umno, antaranya ketokohan serta pemulihan etika dan integriti berlandaskan dapatan bahawa akar umbi jelas mahu satu perubahan drastik dalam kepimpinan Umno selain tidak yakin dengan keseluruhan kepimpinan bermula daripada presiden hingga pimpinan kanan.
Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis, berkata terdapat dua penemuan dalam kalangan Umno, iaitu akar umbi mahu perubahan drastik dalam kepimpinan dan keinginan untuk memujuk kembali pemimpin yang telah “dibuang”.
Ceritanya umpama ‘replay’ kepada peristiwa 10 tahun lampau. Berbanding Rahman Dahlan dahulu, kali ini peranan hulubalang Umno dipikul ahli MKT Puad Zarkashi yang membidas Ilham Centre kerana gesaannya supaya Presiden Umno Zahid Hamidi berundur.
Bagusnya Puad ini kerana pendiriannya yang konsisten. Jika sebelumnya Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menjadi sasaran kritikannya secara bertali arus, kini mempertahankan Zahid seakan-akan sudah menjadi tugas hakikinya tanpa mengira sama ada pimpinan Umno yang lain menyertainya atau tidak.
Beliau semacam menjadi ‘bouncer’ buat Zahid hingga sesiapa saja termasuk dari dalam Umno sendiri yang menyerang presiden, tidak akan terlepas daripada dihentamnya biarpun sama-sama duduk semeja dalam MKT.
Maka, tidak ramailah yang mahu berperang mulut dengannya hingga mereka yang sudah bersuara sebelumnya pun turut menutup mulut selepas itu. Mungkin juga mereka melihat Puad membawa mesej daripada presiden parti hingga fungsinya dilihat berkesan.
Puad, di sebalik sedar serta akur parti itu semakin hilang sokongan rakyat dan orang Melayu di samping tidak timbul soal sindrom penafian, mendakwa Ilham Centre hanya fokus kepada alasan tertentu dalam analisisnya hingga wujud kelompongan.
“Fokus mereka ialah Zahid mesti letak jawatan. Umno perlu tokoh baru. Tetapi Ilham Centre tidak berani komited, jika Zahid letak jawatan, masalah akan selesai. Umno perlu perubahan ‘total’. Tidak pula dinyatakan perubahan apa,” katanya di Facebook.
Ilham Centre, seperti badan penyelidik yang lain, hanya menjalankan sesuatu kaji selidik sebagai panduan untuk manfaat umum dan bukannya bertujuan untuk menyarankan secara terperinci langkah-langkah Umno untuk memulihkan parti. Lainlah kalau badan itu diupah dan tugaskan secara khusus untuk tujuan berkenaan dan sudah tentu metodologi kajian dan respondennya sama-sekali berbeza.
Dalam pada itu, tidak mungkin juga 10 langkah yang disarankannya untuk merawat semula Umno yang mengalami kekalahan teruk dalam PRN, semuanya tak boleh pakai. Apatah lagi, rumusan Ilham Centre hasil tinjauan selepas hari penamaan calon bahawa antara 27% hingga 58% penyokong Umno akan mengundi PN dalam PRN lalu, tidak pun tersasar.
“Perkara kesembilan yang menjadi masalah dengan Umno berbanding parti lain ialah mereka jarang nak dengar data, mereka tak ambil peduli dan mereka perlekehkan. Jadi, perkara ini perlu diberi perhatian,” kata Mujibu lagi.
Barangkali kenyataan ini yang berdesing di telinga pimpinan Umno, tambahan pula Puad yang diketahui telinga nipis, hingga mereka menolak dapatan kaji selidik berkenaan.
Ilham Centre seterusnya berkata penyokong Umno yang tidak berpuas hati secara umumnya boleh dibahagikan kepada tiga kelompok – pertama yang menentang Zahid dan menyalahkan presiden Umno itu atas apa yang berlaku ke atas parti semasa pilihan raya umum 2022.
Kedua, kelompok yang tiada masalah dengan Zahid tapi marah Umno bekerjasama dengan PH, khususnya dengan DAP yang dianggap ekstrem dan cauvinis Cina yang anti-Melayu dan ketiga, mereka yang menerima Zahid dan kerjasama dengan PH tetapi tidak berpuas hati dengan pemilihan calon.
Terbaru, Zahid akan turun ke seluruh bahagian Umno untuk memberikan penerangan di samping mendapatkan maklum balas akar umbi selepas PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, 9 September ini.
Menurutnya, BN telah melakukan post-mortem terhadap kekalahan teruk dalam PRN di samping sudah menerima laporan daripada penerangan dan ‘war room’ gabungan itu selepas keputusan tidak menyebelahi BN.
Elok juga Umno fokus kepada PRK itu kerana sebarang kekalahan akan hanya menggandakan tekanan daripada akar umbi. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.