Tuesday, August 1, 2023

Warga emas rentung, pusat jagaan orang tua terbakar

 

Seramai 14 penghuni, termasuk penjaga sempat menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku di sebuah pusat jagaan orang tua di Seksyen 5 Petaling Jaya. (Gambar JBPM)

PETALING JAYA: Seorang warga emas ditemui rentung dalam kebakaran sebuah pusat jagaan orang tua di Seksyen 5 di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, 14 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.33 pagi.

Katanya, kebakaran melibatkan bangunan struktur kelas A yang musnah 30%.

“Semasa kejadian, terdapat 14 penghuni, termasuk penjaga berada dalam bangunan itu, tetapi mereka sempat menyelamatkan diri.

“Apabila anggota bomba tiba di lokasi kejadian, kebakaran sudah dipadamkan orang awam.

“Bagaimanapun, seorang mangsa wanita berusia 69 tahun ditemui rentung atas katil dalam sebuah bilik di kediaman itu,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.