Thursday, September 28, 2023

Menteri agama akan jumpa Howard berhubung isu tafsir al-Quran

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar bercadang bertemu Ahli Parlimen DAP Howard Lee dalam masa terdekat.

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar akan bertemu Ahli Parlimen DAP Howard Lee dalam masa terdekat berhubung klip bacaan tafsiran al-Quran membabitkannya yang tular di media sosial.

Mohd Na’im berkata, pertemuan itu bagi memberikan penjelasan kepada Lee mengenai isu-isu melibatkan tafsiran al-Quran.

“InsyaAllah bila kita ada ‘engagement’ yang sebegini dengan orang bukan Islam, kita harapkan mereka dapat terima (Islam) sebagai satu agama yang rahmah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Mohd Naim sebelum itu mengingatkan para mufti agar memainkan peranan sebagai induk agama bagi memberikan penjelasan sekiranya ada perkara berbangkit mengenai isu berkaitan agama.

Langkah ini juga dapat mengelak perkara tersebut dimanipulasi pihak tertentu, termasuk ahli politik, tambahnya.

Sementara itu, berkaitan desas-desus mengenai rombakan Jemaah Menteri, beliau mengingatkan rakan-rakan menteri agar melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin memandangkan jawatan itu suatu amanah.

“Jawatan ni satu amanah. Kuasa ini Allah yang tentukan … Dia akan beri dan Dia akan tarik,” katanya.

“Jadi, sementara sebelum ditarik, kita laksanakan amanah ini dengan sebaik-baiknya,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.