Friday, October 27, 2023

Cakap biar jelas

 

Baru tujuh hari berlalu selepas mengarahkan ahli partinya menarik undi masyarakat bukan Islam, Presiden PAS Hadi Awang mendakwa ada pihak yang dianggapnya mencabar undang-undang Islam lantas meletakkan negara katanya dalam keadaan dilanda “kemungkaran sangat dahsyat”.

“Sekarang ini pandai-pandai cabar Islam, cabar Mahkamah Syariah. Ini satu kerja orang Islam tidak boleh biarkan sama sekali,” kata Hadi semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di Parlimen 20 Okt lalu.

Kata Hadi Perikatan Nasional (PN) yang disertai partinya bersama Bersatu, berpendapat hukum Islam mempunyai imuniti lalu tidak boleh dicabar sama seperti institusi diraja. Maka kata beliau jika perlu PN akan melawan sebarang usaha yang dianggap mencabar kedaulatan undang-undang syariah di mahkamah.

Siapakah dimaksudkan beliau mencabar di mahkamah kedaulatan undang-undang syariah? Tidak dapat dipastikan kerana Hadi tidak memberitahu. Timbullah pertanyaan. Adakah beliau merujuk beberapa kes membabitkan wanita bukan Islam yang menuntut hak penjagaan anak mereka yang dibawa bekas suami memeluk agama Islam? Atau mencabar tindakan si suami “mengislamkan” anak anak tanpa pengetahuan apa lagi izin si ibu?. Tetapi jika itu yang dimaksudkan bukankah itu hak mereka untuk menggunakan saluran mahkamah seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan?

“Ini bukan bermakna kita menafikan hak bukan Islam sebab dalam Perlembagaan Persekutuan kebebasan agama lain dijamin, ini dipersetujui parti yang terlibat dalam kemerdekaan.”

Apabila Hadi menyebut “dipersetujui parti yang terlibat dalam kemerdekaan” adakah beliau maksudkan Umno. Dan sekali gus mengakui parti beliau tidak terlibat bukan sahaja dalam penggubalan perlembagaan tetapi juga dalam proses mencapai kemerdekaan?

Apa pun berdasarkan apa yang beliau kata, Hadi akur dan menerima perlembagaan dan mengakui hak bukan Islam dijamin perundangan tertinggi negara. Jika diakui hakikat ini apa yang dipertikaikan? Perlu ditanya lagi siapa yang mencabar kedaulatan undang-undang syariah yang beliau maksudkan? Dan bagaimana kedaulatan berkenaan dicabar?

Malay Mail berpendapat Hadi berkemungkinan merujuk petisyen dikemukakan peguam Nik Elin Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah.

Jika kes itu yang dimaksudkan Hadi sekali lagi perlu ditanya bukankah langkah dua anak beranak itu termaktub dalam rangka hak yang dijamin dalam perlembagaan? Kalau begitu bukankah langkah mereka memfail petisyen hak mereka?

Walaupun tanpa memberi butiran dan memberitahu kes apa yang beliau maksudkan Hadi menuntut kerajaan lebih peka dan tegas membela undang-undang syariah agar ia (yakni undang-undang berkenaan) “tidak dicabar oleh pihak tidak berkepentingan”. Saya bertanya lagi “tidak dicabar” atau “sudah dicabar”? Ada beza tu.

Apapun Hadi yang juga timbalan pengerusi PN seterusnya memberi amaran jika kerajaan gagal mempertahankan kekebalan undang-undang syariah pihaknya (yakni pembangkang) akan bertindak.

“Kalau PH (Pakatan Harapan) tidak mahu bertindak kami (PN) akan bertindak. Bagaimana kami akan bertindak, tunggu dan lihat,” kata Hadi.

Saranan, gesaan, tuntutan juga amaran Hadi kepada kerajaan adalah hak beliau selaras perlembagaan. Hadi lihatnya sebagai sesuatu yang “dipersetujui oleh parti yang terlibat dalam kemerdekaan”. Perkara 10 (1) (a) memperuntukkan setiap warga negara Malaysia mempunyai kebebasan bercakap dan bersuara.

Namun tentunya molek jika Hadi bercakap dengan lengkap ketika menuntut kerajaan bertindak “or else”…Ertinya memberi butiran “on what he is talking about” dan merujuk secara spesifik kes atau kes yang beliau maksudkan.

Kerana tanpa butiran lanjut sukar atau mustahil kerajaan boleh mengambil apa-apa tindakan. Bagaimana mahu ambil tindakan jika tak tahu hujung pangkalnya? Soal besar begini tidak bolehlah main lepas serkap jarang dan tembak sembarangan oleh pihak yang menuntut tindakan diambil mahupun pihak yang dituntut ambil tindakan.

Kita tidak mahu Hadi dilihat sengaja tidak memberi butiran lengkap kerana mahu memerangkap kerajaan. Iaitu kerajaan tidak ambil tindakan kerana tidak tahu ke mana yang hendak dituju tetapi dituduh sengaja tidak membela Islam. Tuduhan yang boleh menguntungkan pihak yang menuduh dan merugikan pihak yang kena tuduh. Khususnya jika ditinjau pada segi mencapai sokongan (baca undi) orang Melayu-Islam. Hadi tak main “game” macam tu kot?

Menurut laporan Malaysiakini tempoh hari Hadi sudah berkali-kali menuduh PH “merungkai perlembagaan” dan “mencabar Islam” termasuk semasa gabungan itu menjadi kerajaan selepas PRU14 pada 2018. Ini tuduhan ramai sudah tahu.

Terbaru Hadi mengulangi dakwaan berkenaan pada muktamar tahunan PAS di Shah Alam hujung minggu lalu. Ini pun ramai dah tahu. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.