Friday, October 27, 2023

Takut dimarahi pulang lewat, remaja buat laporan palsu diculik

 

Polis berkata siasatan mendapati remaja itu hanya mereka cerita diculik kerana bimbang dimarahi bapa akibat lewat pulang ke rumah.

PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun sanggup membuat laporan polis palsu mendakwa dia diculik, gara-gara bimbang dimarahi bapa kerana lewat pulang ke rumah.

Ketua Polis Nilai Abdul Malek Hasim berkata remaja berkenaan membuat laporan pada Rabu di Balai Polis Lenggeng mengatakan dirinya diculik di perhentian bas di sebuah sekolah di Lenggeng.

“Pengadu memaklumkan suspek seorang lelaki telah menariknya masuk ke dalam kereta dan telah mengikat tangan serta mulutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, remaja terbabit memberitahu bahawa suspek telah membawanya ke lokasi yang tidak diketahui namun telah berjaya melarikan diri.

Bagaimanapun katanya, hasil siasatan mendapati kejadian culik itu hanya rekaan remaja terbabit kerana bimbang dimarahi bapanya.

“Ini kerana dia terleka bermain di rumah rakannya dan telah lewat untuk pulang ke rumah.

“Justeru orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.