Wednesday, November 29, 2023

Rompak barang kemas RM1.4 juta, 3 mengaku tak salah

Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata kumpulan membabitkan pelbagai barang kemas bernilai RM1.4 juta. (Gambar Pexels )

PETALING JAYA: Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata kumpulan membabitkan pelbagai barang kemas bernilai RM1.4 juta, awal bulan ini.

Bagaimanapun, semua tertuduh, R Gunasellan, 52; A F Adrian Raj Dominic, 29; dan R Anandan, 35, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak, menurut Harian Metro.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiganya bersama dengan enam lagi masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata parang panjang terhadap Chong Yong Seng, 26; dan Tan Kang Chiat, 26, dan merompak harta dalam milikan mereka membabitkan pelbagai barang kemas yang mengakibatkan kerugian RM1.4 juta.

Perbuatan itu dilakukan di tempat letak kenderaan Jalan Dato Maharajalela, Kuala Kangsar, kira-kira 9.40 pagi, 6 Nov lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Firdaus Nor Azlan manakala tertuduh diwakili peguam Tulasi Ayaoo.

Mahkamah membenarkan semua tertuduh masing-masing dijamin RM20,000 dengan dua penjamin, serta membenarkan syarat tambahan yang diminta oleh pihak pendakwaan iaitu perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai.

Rohaida turut menetapkan 29 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan laporan forensik.

Sementara itu, di mahkamah sama Gunasellan dan Anandan masing-masing dihukum denda RM2,500 atau enam bulan penjara, selepas masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah.

Mereka turut dikenakan pengawasan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi tempoh dua tahun atas pengakuan salah itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.