Wednesday, November 1, 2023

Peruntukan: PN sengaja beralasan

 

Dah dua minggu sejak Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin diminta tunjuk bukti bagi dakwaannya seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) diugut supaya menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Dalam pada tiada perkembangan yang didengar, tiba-tiba seorang lagi anak buahnya mengambil tindakan serupa.

Bolehkah kerajaan terus dipersalahkan konon kerana zalim hingga menyusahkan rakyat yang perlukan pembangunan di kawasan mereka? Atau ketua pembangkang yang terus bersikap keras pula dan enggan berunding bagi mendapatkan penyelesaian terhadap isu ini yang sudah berlarutan sekian lama?

Rakyat harus tertunggu-tunggu apakah Hamzah akan menimbulkan tuduhan lain pula kali ini? Atau akan ada lagi ahli dari blok pembangkang yang akan terus mengenakan tekanan ke atas ketua pembangkang itu dengan mengambil tindakan sama dan mengutarakan alasan serupa?

Sehingga ada pencerahan lanjut, keduanya harus berkemungkinan.

Umum tahu tiada undang-undang yang menyekat mana-mana Ahli Parlimen – tidak terkecuali blok pembangkang – untuk menyatakan sokongan terbuka kepada perdana menteri dan tidak juga terjejas oleh undang-undang anti-lompat parti selagi tidak isytiharkan keluar parti. Pada masa sama, kepimpinan PN pula tidak dapat berbuat apa-apa untuk membendungnya daripada berleluasa atas kedegilan parti itu sendiri.

Mari kita lihat persamaan tindakan dua Ahli Parlimen PN setakat ini. Pada 12 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengumumkan menyokong perdana menteri. Keputusan itu dibuatnya setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya. Ia juga didorong hasrat mendapatkan peruntukan yang akan disalurkan kepada mana-mana Ahli Parlimen yang menyokong dasar-dasar kerajaan perpaduan.

Kelmarin, Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman menyatakan sokongan kepada Anwar yang dijelaskannya selepas mengambil kira semua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan kos sara hidup semakin tinggi serta gangguan bekalan air dan bekalan elektrik berterusan. Keputusannya adalah tanpa sebarang paksaan atau tekanan mana-mana pihak dan melakukannya dengan seikhlas hati demi kepentingan rakyat Labuan agar tidak terus menjadi mangsa keadaan dan ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan kerana perbalahan naratif politik.

Seperti Iskandar sebelumnya dan sama juga dengan Suhaili, kedua-duanya menyatakan akan terus taat setia dan kekal sebagai Ahli Parlimen Bersatu dan tidak berniat keluar parti. Pun begitu, sama seperti Iskandar diberi surat tunjuk sebab oleh Lembaga Disiplin Bersatu atas dakwaan melanggar peraturan dan disiplin parti, Suhaili boleh menjangka akan diarah berbuat yang sama. Sebarang perbezaan tentunya akan menimbulkan isu lain pula.

Ketika ini pun, ada banyak perkembangan yang menekan PN yang tidak membolehkan pengerusinya Muhyiddin Yassin berpeluk tubuh. Di satu pihak, PN berdepan kecaman selepas Ahli Parlimen Langkawi Mohd Suhaimi Abdullah didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur seksis, jelik, dan lucah ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 pada sidang Dewan Rakyat, Khamis lalu. Kalau pun ini dilihat remeh, ia tidak memperelok imej PN malah sekadar memburukkannya.

Presiden PAS Hadi Awang pula, dalam mengarahkan PAS menarik undi bukan Islam dalam muktamar parti itu 20 Okt lalu, harus tersentak apabila Suhaili menyokong perdana menteri. Yang nak dikejar pun mereka belum tentu dapat, yang dah ada pula tak terjaga. Gesaan terbarunya supaya kerajaan berlaku adil kepada pembangkang termasuk diberikan peruntukan sama rata kerana kedua-dua pihak bukannya musuh tidak menyelesaikan apa-apa. Juga tegurannya bahawa tindakan kerajaan hanya memberi peruntukan kepada ahli Parlimen yang menyokong kerajaan sebagai tidak mengikut ajaran Islam, tetap berbalik kepada syarat asas – perundingan.

Ahli Parlimen Pasir Mas dari PAS Ahmad Fadhli Shaari sebelum ini lantang mempersoalkan di Dewan Rakyat terhadap apa perlunya berunding untuk dapatkan peruntukan sama rata sambil menuntut kerajaan menyatakan sebab-sebab dan syarat-syaratnya.

Seperti ditegaskan Anwar sebelumnya, kerajaan tidak mempunyai niat jahat untuk menahan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tetapi mereka hendaklah mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof seperti amalan kerajaan bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob sebelumnya. Jaminan Anwar ialah “hari ini berunding, tandatangani prinsip-prinsip perjanjian, esok peruntukan diluluskan”.

Lanjutan daripada itu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam catatan Facebook pada 12 Okt menjelaskan peruntukan wang rakyat tetap diberikan oleh kerajaan seperti biasa dalam bentuk projek dan bantuan terus kepada rakyat di sesebuah kawasan, cuma yang jadi masalah ialah peruntukan Ahli Parlimen untuk memohon wang bagi tujuan-tujuan politik wakil rakyat.

“Secara prinsip kerajaan bersetuju untuk beri tapi perlu dirundingkan terlebih dahulu kerana melibatkan syarat-syarat untuk pastikan peruntukan tersebut selari dengan dasar tatakelola yang ditetapkan. Kerajaan tidak mahu peruntukan yang diberi (contohnya RM1 juta) tidak sampai kepada rakyat, akhirnya digunakan oleh sekelompok ahli Parlimen dan geng masing-masing atau membayar TikTokers bagi tujuan politik,” katanya.

Baru-baru ini, Iskandar sendiri menafikan dakwaan mengisytiharkan sokongan kepada perdana menteri kerana diancam dengan tuduhan rasuah. Beliau mempertahankan alasan berbuat demikian agar dana kerajaan dapat disalur kepada pengundi kawasannya dan bukan ditekan mana-mana pihak. Malah, selepas ‘hilang’ dari Dewan Rakyat beberapa minggu, beliau membuat kemunculan semula kelmarin.

Seperti soalan yang dilontarkan Rafizi, adakah dari awal lagi pembangkang takut dengan syarat-syarat tatakelola yang akan dikenakan yang menghalang mereka daripada berbelanja sesuka hati bagi tujuan politik daripada peruntukan wang rakyat itu?

Jika jawapan mereka “tidak”, maka sesiapa saja boleh buat kesimpulan bahawa mereka tidak punya sebab untuk mengelakkan rundingan dengan Fadillah atau mereka sebenarnya mahu mengada-adakan alasan agar kerajaan perpaduan pimpinan Anwar dapat terus diperburukkan.

Pilihan sebenarnya ada di tangan mereka sendiri melainkan PN sanggup menghadapi risiko akan ada lagi Ahli Parlimennya yang menyusuli langkah Iskandar dan Suhaili selepas ini. Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, percaya pemeteraian suatu perjanjian kepercayaan dan perbekalan akan meredakan tekanan dalam kalangan PN.

“Ahli di bawah perlukan peruntukan tapi pimpinan tak nak berunding. Tidak ada kenyataan tuntas berkenaan tawaran yang dibuka Putrajaya kepada pembangkang. Hanya PN akan terjejas jika situasi itu berlarutan,” katanya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.