Tuesday, November 28, 2023

PN fokus ambil alih kerajaan Anwar, bukan calon PM, kata pemimpin Bersatu

 

Razali Idris berkata PN kini fokus menguatkan gabungan itu untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan ditadbir Anwar Ibrahim. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu berkata gabungan Perikatan Nasional (PN) mahu memfokuskan kepada usaha menumbangkan kerajaan perpaduan terlebih dahulu sebelum memikirkan soal calon perdana menteri.

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris berkata secara peribadi beliau beranggapan Presiden Muhyiddin Yassin masih layak dan dilihat bakal terus menduduki kerusi itu apabila memutuskan untuk mempertahankan kedudukannya pada pemilihan tahun depan.

Jumaat lalu, Muhyiddin mengumumkan tidak mempertahankan jawatan itu namun pada keesokannya membuat pusingan U dengan alasan ramai ahli mahunya kekal selain dinasihatkan isterinya Noorainee Abdul Rahman.

“Yang kita fikir nak kuatkan kedudukan dan pembangkang untuk pastikan kerajaan hari ini tumbang, bukan (bila) soal esok atau lusa (perlu tumbang) tetapi usaha sehingga PRU16.
“Beliau (Muhyiddin) salah seorang calon pm dari PN, tetapi kena ada sokongan (rakyat) kalau tiada tak boleh juga,” kata Razali kepada FMT.

Razali yang juga exco Terengganu menegaskan PN tidak ketandusan calon dan mempunyai beberapa nama lain yang layak diangkat sebagai perdana menteri.

Semalam, Muhyiddin dalam siri kempen PRK Kemaman berkata beliau tidak menolak kemungkinan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar bakal menjadi calon perdana menteri bagi PN pada masa depan.

Pengerusi PN itu berkata, pemilihan menteri besar Terengganu itu sebagai calon PRK Kemaman antara langkah strategik untuk memberi gambaran bahawa gabungan tersebut tidak ketandusan pemimpin wibawa.

PRK Kemaman bakal diadakan pada 2 Dis depan membabitkan pertembungan Samsuri dengan calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.