Tuesday, November 28, 2023

Tidak bincang dasar, perhimpunan Bersatu lebih fokus ‘drama’ Muhyiddin, kata Shahril

 

Shahril Hamdan berkata Bersatu sepatutnya membincangkan tawaran mereka untuk menyelesaikan isu membabitkan rakyat.

PETALING JAYA: Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada minggu lalu dilihat gagal menjadi platform membincangkan dasar kerajaan, dakwa bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan.

Shahril berkata persidangan itu sebaliknya hanya ‘menghidangkan’ drama pusingan U membabitkan Presiden Muhyiddin Yassin yang menarik balik hasratnya tidak mempertahankan kedudukan pada pemilihan tahun depan.

Menurutnya, selain itu kebanyakan ucapan pemimpin dan perwakilan hanya berkisar kesediaannya mengambil pentadbiran kerajaan ditadbir Anwar Ibrahim yang didakwa semakin rapuh.

“Saya tak dapat (lihat) apa-apa perbahasan dan liputan bercakap tentang dasar dan apa mereka akan buat jika jadi kerajaan.

“Lebih dengar kerajaan rapuh dan bila-bila boleh sedia ambil alih (kerajaan). Ayat basi diulang-ulang,” katanya dalam siaran podcast Keluar Sekejap bersama bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

“Kemudian ada drama paling hebat apabila Muhyiddin kata tak pertahan jawatan presiden tetapi dalam masa sehari buat pusingan U kerana ahli dan selepas perbincangan keluarga.”

Dalam ucapannya dasarnya Jumaat lalu, Muhyiddin mengumumkan hasratnya untuk tidak mempertahankan kerusi presiden pada pemilihan akan datang bagi memberi laluan kepada pucuk pimpinan baharu.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu pada keesokannya mengubah fikiran atas dorongan isterinya Noorainee Abdul Rahman yang menasihatkannya tidak mengecewakan ahli parti yang masih memerlukannya.

Sementara itu, Khairy berkata pengunduran Muhyiddin jika menjadi realiti akan menyebabkan Bersatu berpecah kerana perebutan jawatan presiden yang menawarkan peluang menduduki jawatan perdana menteri.

“Itu hadiah terbesarnya, katalah dalam empat tahun ini kerajaan Madani yang tidak memberi inspirasi, orang dah bosan dan pengundi bukan Melayu tak keluar mengundi…tiba-tiba PN boleh menang.

“Siapa yang jadi presiden Bersatu ini boleh jadi perdana menteri, nilainya sangat berharga,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.