Friday, December 1, 2023

Adakah kita akan boikot sampai kita pun mati

 

Terdapat satu tingkah laku kita, ia dinamakan amuk; yang saya tidak pasti apakah ia juga wujud dalam kalangan masyarakat lain.

Acap kali amuk itu tercetus oleh satu perasaan, gumpalan sikap dan seterusnya keinginan yang membuak-buak. Misalkan, ada pemuda mungkin dinafikan hak bercinta dan menikahi idamannya. Beliau lalu menyerang majlis perkahwinan gadis tersebut. Tatkala amukan itu, para pengantin sebagai sasaran akan terkorban. Akan tetapi selalunya dalam proses itu, mereka yang tiada kena mengena seperti tetamu majlis akan mendapat bahana juga.

Dalam ekonomi, nampaknya kita juga sedang mengamuk. Semuanya ekoran peristiwa 7 Okt 2023, apabila Hamas menculik tebusan dari perbatasan Israel membawa kepada episod kekejaman dan genosid yang amat dahsyat di Gaza, Palestin.

Gelombang boikot segera merebak. Berlaku di semua benua dan kota. Gerakan BDS (Boycott, Divestment and Sanctions) yang dulu suam kuku kini kembali galak marak. Jika di tempat lain, boikot yang dilakukan adalah tersasar dan punya objektif tertentu atau pihak yang ingin ditalu; nampaknya boikot di sini semacam disikapi amuk. Maka ia menjadi boikot yang bukan sahaja mengenai pihak yang ingin dikatuk tetapi kelihatannya pukulan itu ikut melibas beberapa pihak lain.

Gerakan BDS adalah sebuah pergerakan internasional. Strategi kerja mereka adalah untuk melumpuhkan ekonomi Israel, seperti mana yang pernah dilakukan oleh dunia dalam tahun 1980-an terhadap Afrika Selatan agar kita membasmi Dasar Apartheid dan membebaskan Nelson Mandela.

Pada 9 Julai 2005, lebih 170 pertubuhan masyarakat sivil Palestin melancarkan gerakan BDS ini terhadap Israel dan ia segera disahut oleh pelbagai gerakan sivil tanpa mengira kaum dan agama. Dalam rayuan mereka, gerakan BDS Palestin meminta masyarakat dunia menghukum dan berhenti berurusan secara ekonomi dengan Israel sehinggalah pertamanya, penaklukan dan pendudukan Israel di daerah dan kawasan Arab diakhiri termasuk dengan merobohkan tembok pemisah di Tebing Barat.

Keduanya, pengikirafan sepenuhnya hak-hak warga Israel berketurunan Arab Palestin. Ketiga; menghormati, melindungi dan mempromosi hak-hak pelarian Palestin untuk pulang ke kediaman dan harta benda mereka seperti dinyatakan oleh Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Implikasi boikot atau pemulauan ekonomi sebetulnya sangat berkesan. Ia tidak boleh dicampuri oleh pihak berkuasa misalnya. Mungkin ada sesetengah negara memperkenalkan Akta Anti Boikot untuk melindungi produk atau pihak tertentu, akan tetapi harus dikatakan boikot adalah pilihan peribadi. Meskipun demikian, boikot tetap boleh menjadi kerja bergotong-royong dan boleh menjadi amukan (yang menimpa orang tidak bersalah sekali).

Keberkesanan boikot misalnya pernah terlihat pada tahun 2002 apabila masyarakat di dunia Arab memilih untuk tidak membeli barangan dari Amerika Syarikat. Produk francais milik sebuah firma perniagaan Kuwait yang memiliki Pizza Hut dan Baskin Robbins melaporkan kerugian 45 persen di Jordan, sejumlah 40 persen di Mesir dan 20 persen lagi di kawasan Teluk. Seterusnya masyarakat Timur Tengah menghukum Coca-Cola dan di seluruh Timur Tengah, berlaku penurunan jualan sebanyak 10 peratus. Di Arab Saudi pada tahun 2001, jualan KFC dan Burger King pula pernah turun 50%. Ketika kemarahan umat Islam memuncak oleh penghinaan terhadap Nabi Muhammad saw, produk Denmark iaitu Arla Foods mengalami penurunan dari 430 juta dolar kepada hampir sifar.

Kadangkala jenama tertentu dihubungkan dengan negara tertentu. Seperti McDonald dikait dengan Amerika, Sony dengan Jepun, Lego dari Denmark, atau Ikea dengan Sweden. Pemboikotan secara rawak akan berlaku dan meskipun syarikat atau jenama ini – mungkin – tidak menyokong pembunuhan atau perang di mana-mana tempat, mereka akan tetap menerima hukuman. Pembeli akan menghubungkan sikap negara asal produk itu dengan jenama yang diperagakan di pasaran.

Hari ini, oleh boikot amuk kita itu terdapat laporan produk atau jenama tertentu telah dipulau dan menerima penyusutan keuntungan yang serius. Di banyak tempat dilaporkan kafe atau restoran (atau barangan lain) yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat, United Kingdom dan Israel ikut menerima kerugian serius. Lebih lama Israel berpesta bunuh di Palestin, lebih teruk mereka akan ikut dikatuk. Gencatan senjata nampaknya tidak menggencatkan boikot. Dalam masa sama ekoran gerakan ini, produk atau jenama lain khusus buatan tempatan akan mendapat laba tinggi.

Sebetulnya, boikot harus dilakukan secara strategis. Malah gerakan BDS memang menuntut strategi dalam melakukan pemulauan. Bukan dengan hanya boikot satu-satu produk untuk satu tempoh kemudian melangganinya lagi. Jika kita rajin sedikit di dalam talian dan mencari senarai yang disaran BDS kita akan menemukan produk zionis tegar yang mesti dihindari itu hanya ada beberapa.

BDS menggariskan produk yang wajib dipulau berserta alasannya. Sebagai contoh dinyatakan Booking.com wajib diboikot kerana menyewakan kediaman yang dirampas di wilayah diduduki kepada pelancong luar. HP dan produk sukan Puma juga dinyatakan secara jelas pro Israel. Ada produk yang tidak boleh diboikot kerana amat dominan dalam hidup tetapi boleh ditekan berulang-ulang, misalnya pelayar Google.com. Atau dicadangkan agar jangan menonton filem-filem Disney yang mana ada produk terbaru Marvel didakwa mengangkat apartheid. Ada pula produk yang boleh dipulau secara organik iaitu banyak jenama makanan segera ala Barat.

Seperti yang saya katakan awal tadi, di negara lain; boikot itu bersasar dan ada seninya. BDS malah menyatakan boikot bersasar ini sepertinya pukulan maut. Dalam hal kita di sini, ia hanya melimpah tanpa kejelasan.

Kelihatan boikot di sini bagaikan amuk tanpa panduan. Maka ada banyak juga produk yang menerima bahana libasan amuk ini. Produk seperti Zus Coffee, US Pizza, Speedmart dan Grab pun ikut dilibas sama dalam amuk besar ini.

Seperti yang telah saya nyatakan tadi, sukar untuk pihak berkuasa atau pihak yang disasar ini mengawal naratif dalam keadaan amuk ini. Mereka hanya boleh berdoa agar ia segera berakhir. Dalam libasan amuk ini, orang kita akan ikut menghujahkan argumen lain misalnya ada produk kopi dipulau kerana disandarkan kepada Dewa Greek justeru tidak Islami, atau aplikasi tertentu diboikot kerana ahli keluarga pemiliknya meluah perasaan tentang keadaan di Israel yang dipetik tanpa conteks. Ingatan ini akan membawa kepada pertikaian atau argumen seperti Grab tidak melayan stafnya (atau riders dalam hal ini) dengan cara yang baik, membalun komisen besar dan bermacam-macam lagi. Dalam amuk, pelakunya ada pewajaran sendiri.

Di pihak yang menjadi sasaran boikot, mereka pula hendaklah belajar dari kejadian ini. Kalau kita berkasihkan tempat jatuh zionis maka jangan dipanik apabila dibilang iblis kerana mengenang Tel Aviv. Jika kamu berniaga, maka pelajarilah psikik kumpulan pelanggan atau pembeli kamu. Bukan dengan meremehkannya.

Boikot yang ada hari ini mesti dilakukan secara strategik. Ia tidak harus dilepaskan membabi buta bagaikan orang mengamuk. Nanti ada mangsa tidak bersalah. Kadang kala mangsa begini memang ada sipi-sipi dengan mangsa amuk sebenar (ya misalnya kenapa dia hadir sebagai tetamu di majlis perkahwinan gadis idaman si pengamuk?); atau kadang-kala kebetulan lalu lalang melintas di situ tetapi ikut sekali kena libas.

Apabila semua ini berakhir kita akan menyedari ada dalam kalangan kita ikut menerima nahas amuk ini terdiri daripada kalangan ahli keluarga kita sendiri.

Seperti amuk apabila kejadian itu berakhir. Selalunya kejutan akan berlaku. Kita akan melihat betapa banyaknya korban yang telah ditetak oleh parang amuk dari perang tersebut. Sasaran boikot mungkin mati, yang gah pasti akan datang kembali; akan tetapi yang tragisnya ialah amuk juga sering menyebabkan mereka yang tidak bersalah terbunuh.

Amuk boikot tanpa strategi seperti yang berlaku sekarang mungkin dapat dikatakan menembak kaki sendiri. Atau seperti kisah keluar berburu, membidik sasaran seperti rusa tetapi malang sekali termuntah peluru mencederakan pembantu atau anak sendiri.

Barangkali kita akan mendengar kisah-kisah pedih dan sedih riders penghantar makanan, anak-anak universiti yang bekerja sambilan di kafe tertentu, pekerja kilang makanan atau pemandu e-hailing OKU yang memerlukan pendapatan. Waktu itu ya amuk boikot sudah reda, tetapi yang terpukul secara sengaja atau tidak sengaja sudah pun menjadi mangsa. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.