Saturday, December 30, 2023

Derita Palestin dan Rohingya

 

Penderitaan dan kesengsaraan sememangnya sudah lama dialami rakyat Palestin. Begitu juga Rohingya. Mereka juga sengsara. Mungkin rakyat Palestin lebih lama menderita berbanding mereka namun derita tetap derita. Bagaimanapun kita atau ada dalam kalangan kita lebih sayang rakyat Palestin berbanding Rohingya. Sekurang-kurangnya begitu gambarannya pada permukaan. Hakikatnya rakyat Palestin dan Rohingya masih terseksa dan diseksa.

Sejarah panjang mencatat pelbagai peristiwa yang akhirnya membawa kepada “negara” Israel terdiri. Antaranya penjajahan British pada 1917 dan migrasi ratusan ribu Yahudi dari Eropah dan Rusia ke bumi Palestin dari 1920 hingga 1948. Ada juga apa yang dipanggil pelan pembahagian tanah PBB 1947, yakni pemberian 2/3 tanah Palestin kepada Yahudi.

Pada 14 Mei 1948, selepas tamat mandat British ke atas Palestin, gerakan Zionis mengumumkan kewujudan Israel, entiti yang ramai sehingga sekarang sifatkan sebagai haram. Tercetuslah malapetaka. Sehari kemudian iaitu 15 Mei 1948, rakyat Palestin mengisytiharkan Hari Nakbah atau hari malapetaka kerana lenyapnya negara Palestin daripada peta dunia dan terjadinya penghapusan etnik terhadap rakyat Palestin. Lebih 700,000 diusir dari tanah air sendiri dan menjadi pelarian. Ribuan dibunuh.

Orang Rohingya pula merupakan kelompok etnik Indo-Aryan beragama Islam dari negeri Rakhine di Burma atau Myanmar. Pada 2017 puluhan ribu orang Rohingya dibunuh, dirogol, dan dilempar hidup-hidup ke dalam api yang marak. Peristiwa ini dikenali sebagai Genocide Rohingya. Ini disahkan pelbagai agensi antarabangsa. Lebih 200,000 (ada laporan menganggarkan lebih 700,000) waktu itu melarikan diri ke Bangladesh dan ditempatkan di kem pelarian. Sehingga kini Cox Bazar di Bangladesh ada kem pelarian terbesar di dunia menempatkan ratusan ribu pelarian.

Badan hak asasi antarabangsa menyatakan orang Rohingya kumpulan minoriti paling tertindas di dunia. Menurut Amnesty international, orang Rohingya “terus-menerus menderita akibat pencabulan hak asasi manusia oleh tentera junta Myanmar sejak 1978.”

Kata badan itu, kempen ketenteraan Myanmar tahun itu yang dinamakan Operasi Nagamin menyasarkan orang awam dan “mengakibatkan pembunuhan, rogol dan pemusnahan masjid serta penindasan agama secara besar besaran.”

Di Palestin, Zionis menduduki Tebing Barat dan Baitul Maqdis di mana rakyat Palestin ditindas setiap hari berpuluhan tahun lamanya. Israel memperluaskan kawasan dengan menempatkan peneroka haram di tanah milik rakyat Palestin. Peneroka ini dilindungi tentera supaya terus menetap di kawasan kediaman baharu dan menghalang percubaan rakyat Palestin mendapatkan semula tanah mereka.

Gaza pula dikepung dengan dawai berduri. Penduduk diawasi setiap detik menerusi CCTV dan pergerakan terbatas. Bekalan termasuk makanan serta perubatan dikawal rapi tentera Israel. Mereka tentukan apa boleh masuk apa tidak. Itu ketika ‘aman’. Sekarang kita tahu apa yang sedang dilakukan ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu. Keganasan dan kekejaman tentera Israel terus menjadi-jadi. Ethnic cleansing atau genocide? Bagi saya sama sahaja. Keduanya bererti pembunuhan beramai-ramai bertujuan menghapuskan rakyat Palestin, lelaki, wanita, tua, muda, kanak-kanak. Sama ada Islam atau Kristian semua disasar.

Bagi orang Rohingya – mereka juga melalui pengalaman menakutkan dan masih berisiko dilakukan sedemikian rupa jika pulang ke kampung halaman. Yang masih ada di kampung halaman bahaya sentiasa dihadapi. Yang berjaya lari takut pulang. Tentera junta Myanmar sedia menunggu selaku “welcoming party”.

Lantas ratusan ribu jika tidak juta pelarian memohon perlindungan dan penempatan sementara di Bangladesh khususnya dan beberapa negara lain termasuk Malaysia, Pakistan, Thailand, and Indonesia terutama Aceh yang lazim menerima mereka dengan tangan terbuka atas nama kemanusiaan dan saudara seagama.

Namun sejak kebelakangan timbul sentimen anti-Rohingya di Aceh dan kemuncaknya 27 Disember lalu ada kumpulan mahasiswa bertindak mengasari dan mengusir pelarian Rohingya dari pusat penempatan – tindakan yang dimarahi pelbagai pihak di Aceh.

Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk pelarian atau UNHCR dalam kenyataan menyebut etnik Rohingya di Aceh menjadi sasaran kempen kebencian “terancang oleh pihak tertentu”. Tidak dinamakan siapa pihak yang merancang itu. Penyebaran maklumat menerusi media sosial tanpa bukti dan tidak diselidiki memburukkan lagi keadaan.

Di Malaysia pernah ada kempen kebencian seperti itu tercetus beberapa tahun lalu. Setahu saya tidak sampai cetus keganasan. Mujurlah. Apa pun ada di antara kita yang ‘berbulu’, ‘menyampah’, ‘meluat’ serta ‘menyirap’ dengan orang Rohingya berbanding perasaan kita terhadap rakyat Palestin. Kita bersatu hati melahirkan simpati dan sokongan. Demonstrasi pro-Palestin diadakan sehingga ke hari ini. Pelajar Palestin jika datang ke negara ini diberitakan akan diberi biasiswa untuk belajar di universiti. Anak-anak Rohingya tidak boleh ke sekolah. Sekadar contoh.

Diakui orang Rohingya bukan malaikat. Ada yang berlebih-lebih, tak sedar diri, dan tidak menghargai pertolongan kepada mereka. Bagaimanapun harap jangan paint all with the same brush. Artikel ini tidak menyarankan sayang kita kepada Palestin dihentikan untuk diberi kepada Rohingya. Tidak sama sekali begitu. Yang diharapkan layanan baik yang sama diberi.

Palestin dan Rohingya kedua-dua mangsa kekejaman. Mereka sudah lama derita dan masih derita. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.