Friday, December 15, 2023

Diskaun tol, minyak lebih baik daripada kurang saman trafik, kata pakar

 

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menghentikan penawaran diskaun saman trafik termasuk ketika sambutan setahun kerajaan perpaduan, minggu lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pemberian diskaun tol, bahan bakar kenderaan atau insurans lebih relevan kepada pengguna jalan raya berbanding tawaran diskaun saman trafik, kata pakar pengangkutan.

Wan Agyl Wan Hassan mencadangkan ganjaran itu diberi kepada pengguna yang tidak melakukan kesalahan dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

Wan Agyl Wan Hassan.

Menurut rakan kongsi pengurusan dalam firma perundingan pengangkutan Agyl & Partners itu, penawaran diskaun saman dalam apa jua sambutan perlu dihentikan seperti dibuat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Akuinya, tindakan itu mungkin tidak popular di kalangan ramai namun perlu dilakukan untuk mendidik pengguna berhubung keselamatan jalan raya.

“Ini kerana mereka rasakan kalau kena saman tidak perlu risau kerana boleh bayar pada hujung tahun dengan (tawaran) diskaun,” katanya kepada FMT.

Pada 9 Dis lalu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata JPJ telah menghentikan penawaran diskaun saman trafik termasuk ketika sambutan setahun kerajaan perpaduan, minggu lalu.

Bagaimanapun, polis menawarkan diskaun sehingga 50% untuk saman trafik terpilih pada program di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

Law Teik Hua.

Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM) Law Teik Hua menyambut baik pemberian topi keledar dilaksanakan Kementerian Pengangkutan berbanding diskaun saman trafik.

Bagaimanapun, beliau berpandangan inisiatif itu mungkin menelan kos tinggi dan boleh diganti dengan pemberian pelekat reflektif yang lebih murah namun berkesan mengurangkan risiko kemalangan.

“Kos lebih murah berbanding beri topi keledar dan membolehkan motosikal dilihat pengguna jalan lain,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.