Tahun 2023 akan meninggalkan banyak kenangan pahit dan manis untuk sektor pendidikan. Tentunya semua ini bermula dengan terbentuknya kerajaan perpaduan diterajui Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kesepuluh (PMX) pada November 2022.
Bagi kepimpinan pendidikan, sejarah baharu tercipta apabila susuk wanita pertama sebagai menteri pendidikan dinobatkan Fadhlina Sidek. Sebagai seorang berlatar belakang dalam bidang undang -undang dan aktivis NGO, tentunya tanggungjawab diamanahkan menjadi ujian besar.
Fadhlina bermula baik apabila dalam tempat seminggu di Kementerian Pendidikan (KPM), beliau telah berjaya mengistiharkan hala tuju kepimpinannya yang berasaskan tujuh Teras KPM. Tentunya ini bukanlah ideologi atau falsafah syumul untuk menjayakan sistem pendidikan negara.
Tujuh teras ini menjadi bidang tumpuan dijanjikan Fadhlina untuk dijayakan sepanjang beliau menjadi menteri pendidikan.
Walaupun di atas kertas ia cukup baik, seimbang dan selari dengan aspirasi dan keperluan sistem pendidikan negara, cabaran terbesar bukanlah menggubal teras tersebut sebaliknya lebih tertumpu kepada keberkesanannya sehingga dapat dirasakan sehingga ke akar umbi.
Selepas setahun berlalu, rakan-rakan guru dan ibu bapa masih merasakan tujuh teras itu sebagai sesuatu yang agak asing dan tidak nampak secara jelas keberhasilannya. Apatah lagi, sejak awal lagi tidak pernah dinyatakan apakah kayu ukur pencapaiannya.
Misalnya, sehingga sekarang soal kesejahteraan guru masih menjadi persoalan dalam kalangan guru. Isu beban tugas guru berlebihan masih berterusan, soal sistem komunikasi dan hubungan KPM,jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah, pengetua dan guru besar dengan guru juga dikatakan pendidik tidak banyak berubah berbanding tahun sebelumnya.
Malah bila ditanya pada rakan-rakan guru, apakan mereka merasakan kelainan setahun ini berbanding tahun-tahun yang lalu? Rata-ratanya memberi maklum balas bahawa mereka masih merasa pengalaman, persekitaran dan budaya kerja sama.
Begitu juga dengan isu keciciran pembelajaran murid yang juga belum selesai sepenuhnya. Malahan isu sekolah daif dan isu kemiskinan, dimensi yang banyak mempengaruhi prestasi dan pencapaian pendidikan anak-anak juga belum ada noktah sejak setahun yang lalu.
Antara perkara terbaik paling awal berlaku kepada sektor pendidikan negara pada 2023 apabila perdana menteri sendiri telah turun ke padang dan mengarahkan masalah kedaifan tandas sekolah yang sekian lama terbelenggu dan tidak pernah selesai, diambil tindakan segera.
Atas iltizam politik PMX, walaupun ada ‘dijenakakan’ segelintir pembangkang sebagai ‘PM tandas’, nyata usaha penambahbaikan tandas sekolah mendapat pujian dan sokongan dari seluruh
rakyat Malaysia khususnya ibu bapa dan guru. Hari ini, kita bersyukur kerana murid selesa menggunakan tandas sekolah serba baharu.
Satu hal tidak boleh kita nafikan, kepimpinan Fadhlina sejak November 2022 banyak dibebankan dengan isu pendidikan yang terpaksa diwarisi dalam kepimpinan pendidikan sebelumnya. Isu
pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), pentaksiran bilik darjah, dan kekurangan guru.
Selain itu, isu pendidik bersara awal, kemudahan sekolah daif, beg berat dan banyak lagi isu yang sebenarnya terpaksa beliau tanggung kerana kepimpinan pendidikan yang terdahulu
tidak berjaya menyelesaikan dengan baik.
Tentunya kelemahan dalam melaksanakan penyelesaian kepada semua isu pendidikan ini juga harus ditudingkan kepada pengurusan tinggi KPM yang sudah lama berkhidmat. Menteri silih berganti tetapi pasukan kementerian masih orang sahaja.
Jadi mengapa mereka ini tidak selesaikan isu yang sekian lama berlarutan? Misalnya isu tandas sekolah daif, rosak, kotor dan busuk yang terpaksa menunggu arahan terus dari PMX sendiri.
Tahun ini juga mencatatkan sejarah dengan usaha Fadhlina meringankan beban tugas guru. Setelah dihujani dengan sebegitu banyak keluhan dari pendidik, beliau bingkas mengarahkan Majlis Penasihat Pendidikan Negara (MPPK) untuk segera menelitu isu beban tugas guru.
Akhirnya, dokumen tujuh langkah mengurangkan beban tugas guru dihasilkan. Jelas sekali ia membuktikan KPM sendiri akhirnya terpaksa mengakui bahawa bebanan tugas guru memang berlebihan dan
perlu dikurangkan. Tidak dinafikan isu yang telah lama disuarakan tidak diberi perhatian kepimpinan sebelum ini.
Maklum balas guru selepas itu amat positif dan menggembirakan. Namun, malangnya walaupun telah ada arahan jelas untuk mengurangkan beban pendidik, di peringkat pelaksanaan rata-ratanya berpandangan tiada perubahan ketara.
Mereka masih merasakan beban seperti dahulu. Contohnya, walaupun telah dinyatakan guru tidak lagi boleh diarah menjadi pengawas peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun realitinya tidak. Ramai guru mengeluh apabila mereka tetap dinamakan sebagai pengawas peperiksaan seperti sebelumnya.
Begitu juga dengan isu Rancangan Pengajaran Harian yang diarahkan supaya diringkaskan hanya kepada tiga elemen sahaja tetapi di peringkat sekolah sebahagian guru mengakui mereka diminta mengekalkan RPH sedia ada.
Di sebalik pelbagai isu pendidikan negara belum diselesaikan, dua kejayaan Fadhlina yang mesti diucapkan tahniah ialah usaha menambah perjawatan guru baharu bagi memastikan sekolah
mempunyai bilangan pengajar mencukupi. Kedua, menyelesaikan penggubalan Dasar Pendidikan Digital dimulakan menteri sebelum ini Radzi Jidin pada 2020 hingga 2022.
Inisiatif lain belum jelas keberkesanannya. Konsep Karamah Insaniah sedang dipopularkan Fadhlina masih di awangan, kurang mendapat sambutan dan perhatian di kalangan masyarakat khususnya ibu bapa. Walaupun idea untuk membangunkan elemen Karamah Insaniah itu sejajar dengan prinsip Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan secocok dengan nilai murni masyarakat Malaysia.
Kejayaan lain juga masih samar. Dalam penggubalan Kurikulum Baru 2027 yang cuba menekankan komponen pendidikan karakter, rakyat masih tertanya apakah ia akan berbeza dengan kandungan nilai
sedia ada dalam silibus pendidikan Islam, pendidikan Moral, penerapan nilai murni, dan kegiatan kokurikulum sedia ada sekarang?
Nampaknya 2023 bukan tahun memihak kepada sektor pendidikan, selain masih bergelumang isu keciciran pembelajaran akibatnya kesan pandemik belum pulih sepenuhnya, data-data rasmi pendidikan membuktikan prestasi kita masih tidak memuaskan. Ramai yang tidak berminat dengan aliran sains tulen apabila ke tingkatan empat.
Antara puncanya bimbang penguasaan Matematik dan Sains yang rendah akan menyebabkan mereka berkemungkinan gagal dalam SPM. Selain itu, ada murid yang terkesan bila melihatkan ramai graduan sains tulen menerima gaji permulaan rendah dan sebahagiannya pula masih sukar mendapat pekerjaan.
Walaupun situasi ini tidak sepenuhnya benar, persepsi ini cukup meluas di kalangan murid dan ibu bapa mereka. Ini juga mempengaruhi keputusan mereka untuk meneruskan pelajaran di dalam aliran sains tulen.
Data rasmi Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (Pisa) 2022 membuktikan prestasi sistem pendidikan negara kita secara keseluruhannya masih tidak memuaskan. Malah membimbangkan melihat
kemerosotan teruk bagi kemahiran Matematik, Sains dan membaca. Malah Malaysia berada di tangga paling bawah dari segi kemerosotan skor untuk komponen tersebut di kalangan negara Asia Tenggara.
2024 pastinya memberikan cabaran lebih besar untuk sistem pendidikan negara berbanding 2023. Pertamanya, perdana menteri sendiri telah mengungkapkan cabaran beliau kepada kepimpinan KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menjadikan tahun ini sebagai pemula membina sistem pendidikan berkualiti.
Kedua, selepas setahun kerajaan perpaduan memerintahkan negara, tentunya rakyat mula menilai kemampuan sebenar kepimpinan pendidikan. Pada rakyat biasa, fasa ‘berbulan madu’ dan fasa
‘belajar’ sudah tamat selepas setahun berlalu.
Pada tahun kedua pentadbirannya di KPM, Fadhlina perlu menunjukkan keupayaan sebenar kepimpinan pendidikan negara kepada rakyat. Jika ditakdirkan masih belum ada bertambah baik, tentunya masyarakat mula bangun bersuara dan mengkritik lebih keras demi kepentingan anak-anak mereka. -FMT
Anuar Ahmad adalah Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Malaysia Profesor Negara.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.