PETALING JAYA: Portfolio dipegang para menteri Umno berhubung rapat dengan rakyat dan berkaitan ekonomi, kata pemimpin parti itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi menarik perhatian kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang menaungi agensi strategik seperti Majlis Amanah Rakyat, serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Kementerian Perladangan dan Komoditi yang peranannya berkait hasil negara dan peluang kerja.
“Umno tidak semestinya berharap kepada jawatan menteri kewangan untuk bersuara mengenai isu-isu ekonomi.
“Banyak saluran lain di mana Umno masih boleh berperanan dalam isu ekonomi terutamanya isu ‘ekonomi rakyat’,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Pengerusi Tetap Pemuda Umno, Wan Agyl Wan Hassan berkata partinya perlu memastikan pandangannya mengenai ekonomi terus didengar bagi mengelak parti itu menjadi tidak relevan.
Beliau berkata Umno perlu bimbang kerana tidak lagi mewakili Kementerian Kewangan susulan rombakan Jemaah Menteri minggu lalu.
Puad bagaimanapun mengingatkan menteri Umno menaungi banyak agensi strategik seperti Mara, Felcra, Ketengah, dan Kejora.
Beliau juga berkata agensi seperti Felda dan Matrade dipengerusikan oleh ‘orang Umno’.
“Justeru bukan isu Kementerian Kewangan atau suara ekonomi yang penting.
“Yang penting ialah ‘prestasi menteri’ dalam melaksanakan dasar,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.