Friday, December 1, 2023

SPRM tolak gesaan Dr M benar Aman Palestin salur bantuan RM10 juta

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya memandang serius kes itu kerana ia adalah kepentingan awam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak gesaan Dr Mahathir Mohamad supaya membenarkan Aman Palestin menyalurkan dana bantuan RM10 juta daripada akaun yang dibekukan bagi membantu rakyat Palestin berdepan musim sejuk.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan dana itu sehingga semua siasatan selesai, melibatkan penggunaan derma awam berjumlah jutaan ringgit.

“Sebagai badan penguatkuasaan antirasuah, SPRM memandang serius kes ini kerana ia adalah kepentingan awam, dan berkemungkinan akan menjadi contoh bagaimana derma awam boleh dan tidak boleh digunakan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Mahathir menggesa SPRM membenarkan Aman Palestin Berhad menggunakan RM10 juta daripada akaunnya yang dibekukan untuk membantu penduduk di Gaza.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau bimbang penderitaan penduduk yang dijangka bertambah menjelang musim sejuk selepas berdepan serangan dan kekejaman Israel.

Sekiranya SPRM tidak membenarkan dana itu disalurkan, Mahathir berkata SPRM turut sama mendera rakyat Palestin yang sedang menderita akibat deraan Israel.

SPRM sebelum ini membekukan 41 akaun bank milik Aman Palestin dan beberapa entiti lain berjumlah RM15.8 juta susulan siasatan ke atas dakwaan penyalahgunaan dana sumbangan berjumlah RM70 juta.

Kes itu disiasat mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 serta Kanun Keseksaan.

Isnin lalu, Aman Palestin memberi tempoh tiga hari kepada SPRM menyahbeku akaunnya atau berdepan tindakan perundangan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.