Wednesday, December 6, 2023

Umno usah terus dalam penafian

 

Hari-hari yang Umno-Barisan Nasional boleh dakwa tahu semua perkara sudah lama berlalu. Sama juga dengan anggapan bahawa kerajaan tahu semua sudah lama berakhir. Keputusan PRK Kemaman Sabtu lalu bukanlah satu petunjuk kepada benarnya anggapan sedemikian, sebaliknya sekadar satu peringatan yang ia tidak boleh disangkal.

Bertanding dalam PRK yang mereka tahu tidak akan menang – Umno-BN tentunya tidak akan beri kemenangan percuma kepada lawan – hairannya mereka tetap ‘melenting’ bila kalah, tetap nipis telinga dengan reaksi kemenangan PAS-Perikatan Nasional mempertahankan kerusi berkenaan. Tidak cukup dengan itu, Umno seakan-akan terus dalam penafian seolah-olah kemenangan telah diragut daripada mereka.

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar yang berdepan pertandingan satu lawan satu dengan calon BN Raja Affandi Raja Noor bukan sekadar menang seperti diramalkan, malah majoriti 37,220 undi yang diperolehnya adalah 10,041 undi mengatasi majoriti 27,179 Che Alias Hamid pada PRU15, yang kemenangannya dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya kerana didapati wujud unsur rasuah. Sasaran PAS untuk meraih majoriti 30,000 undi tercapai sambil harapan BN untuk mengurangkan majoriti lawan ternyata meleset jauh.

Apa yang nak dihairankan dengan reaksi kemenangan PAS. Sebagai parti yang menang, mereka boleh mencanangkan apa sahaja – daripada Samsuri sebagai calon perdana menteri masa depan, keputusan Kemaman sebagai pungutan suara penolakan terhadap kerajaan perpaduan, Gelombang Hijau terus berpengaruh, hinggalah kepada Umno sekali lagi gagal untuk memenangi hati orang Melayu.

Ia tiada pun beza dengan ketika Pakatan Harapan-BN menang PRK Pulai, Simpang Jeram, dan Pelangai sebelum ini apabila mereka turut ‘melalak’ berhari-hari lamanya. Dalam PRK, sudah lumrah ada yang menang dan bila menang akan bersorak sesuka hati. Cuma apabila lawan menang, pihak yang kalah hendaklah menerima giliran mereka ‘disekolahkan’.

Harus PRK Kemaman pedih untuk diterima Umno, dengan Presiden Zahid Hamidi menolak keras ia suatu bentuk pungutan suara yang terus berpihak kepada gabungan PN melainkan ia cuma satu kepompong kecil mewakili 141,000 pengundi. Lebih daripada itu, ia dianggapnya tidak menunjukkan ada peningkatan sokongan kepada calon PAS, sebaliknya berlaku kekurangan pengundi putih Umno keluar mengundi.

Cukupkah sekadar nak sedapkan hati yang 68.3% sahaja pengundi putih BN keluar mengundi sebagai alasan? Atau tidakkah penting juga diselidiki kenapa 31.7% lagi enggan keluar rumah? Atau daripada peratusan itu ramai yang mengundi calon lawan sebagai tanda protes terhadap parti atau calon? Apa saja berkemungkinan sebenarnya kecuali ada analisis menyeluruh untuk mengenal pasti sebab-sebabnya.

Umno-BN kini sebagai parti kerdil berbanding zaman kegemilangan silamnya tidak boleh terus teraba-raba atau mengada-adakan alasan sekadar untuk sedapkan hati. Kekalahan hari ini boleh bertukar menjadi kemenangan pada hari esok andai ada keikhlasan bagi mencari punca-puncanya dan mengambil langkah-langkah dan strategi untuk mengatasinya. Penafian hanya bermakna tidak mahu belajar daripada kesilapan dan kesudahannya akan melakukan kesilapan yang sama berulang-ulang.

Apa pula kelaziman Umno? Parti itu dilihat cenderung menolak pandangan penganalisis luar. Tapi itu bukan pun menghairankan kerana penganalisis kerap terdorong untuk menganjurkan dapatan dan saranan yang akan ditolak mentah-mentah oleh kepimpinan Umno dan sentiasa disokong majlis kerja tertingginya.

Ambil contoh penganalisis merumuskan Zahid perlu berundur apabila Umno kalah teruk pada PRN enam negeri 12 Ogos lalu. Ketika itu, Umno tewas di 89 kerusi DUN dan hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandinginya di samping 18%daripada kemenangan itu sumbangan Umno Negeri Sembilan sebanyak 14 kerusi. Ramai dalam Umno yang mempertahankan Zahid bahawa prestasi buruk itu tidak boleh dipersalahkan kepada presiden semata-mata.

Susulan daripada itu, Umno membuat kaji selidik mengenai kekalahan teruknya itu hasil input di peringkat negeri dan sayap parti seperti disahkan Naib Presiden Khaled Nordin. Cuma hasilnya tidak didedahkan atas kepentingan parti daripada dimanfaatkan lawan. Selepas kekalahan di Kemaman, Naib Presiden Johari Abdul Ghani pula mengumumkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno akan mengadakan perbincangan lebih lanjut untuk menilai apakah faktor yang menyebabkan kekalahan teruk berkenaan.

Ini selari dengan pandangan penganalisis bahawa Umno Terengganu perlu memulakan strategi dan tawaran lebih baik untuk kekal relevan. Hussain Yusri Zawawi dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata antara faktor kekalahan BN di Parlimen itu ialah kepimpinan Umno Terengganu yang lemah dan bersifat konservatif. Lantaran itu, sarannya, ia patut diubah ke arah yang lebih matang dan profesional untuk mendapat perhatian rakyat Terengganu semula, bukan menumpukan kepada politik peribadi dan hanya melihat kelemahan kerajaan.

Kepada Ahli MKT Umno Ahmad Maslan, sebarang analisis juga hendaklah menyelidiki janji-janji kerajaan Terengganu kepada pengundi dalam tempoh berkempen, yang mungkin lebih menarik daripada apa yang ditawarkan BN berbanding membuat kesimpulan BN telah ditolak bulat-bulat. Apakah umpan Samsuri bakal diangkat selaku pemimpin nombor satu negara sebelum PRU16 lagi sesuatu yang tidak mampu ditangkis Umno?

Pada penghujungnya, analisis awal terbaik harus datangnya daripada orang nombor dua Umno sendiri Mohamad Hasan yang menyimpulkan kekalahan pada PRK Kemaman itu menyerlahkan Umno masih jauh untuk mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu terhadapnya. Jujur dan pahit ditelan tapi ia harus tidak terlalu jauh tersasar daripada hakikat. Mengetuai jentera kempen Umno di Kemaman, Tok Mat berpeluang mendengar sendiri maklum balas pengundi di samping dapat mengukur sejauh mana sokongan mereka.

Menurut timbalan presiden Umno itu, ikhtiar mengembalikan kepercayaan Melayu ke pangkuan Umno adalah perjalanan jauh dan memakan masa panjang tapi langkah-langkah ke arah itu hendaklah bermula segera. Bukan bertangguh-tangguh dan bukan menyapu semua habuk dan kotoran ke bawah hamparan daripada dilihat ramai. Benar seperti dikatakannya Umno hanya tewas seperti pelbagai kekalahan yang pernah dilalui tapi pasti akan ada kemenangan di lain hari.

Pandangan penganalisis Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia bahawa BN-PH sukar untuk menang di Kelantan dan Terengganu dalam tempoh dua penggal mendatang kerana naratif Melayu-Islam masih menebal di samping Gelombang Hijau masih berlanjutan, harus menakutkan buat Umno. Atau lebih buruk lagi jika ramalan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa Umno bakal berkubur pada PRU16 jika terus bekerjasama dengan DAP, tidak langsung diendahkan.

Andai Umno dapat terima yang hari-hari ia tahu semua perkara sudah lama berlalu, ada baiknya ia bermuhasabah dan mendengar pelbagai pandangan daripada terus berasa selesa dalam penafian. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.