Thursday, January 4, 2024

Diffan Norman, bunga segar sinema Malaysia

 

Bagaimana menuliskan puisi dengan gambar bergerak? Seperti mana yang dilakukan oleh Diffan Sina Norman dalam karya-karyanya. Diffan mungkin belum dikenal secara meluas oleh penggemar sinema Malaysia, sebahagian besar alasan untuk ini kerana beliau menghasilkan sehingga setakat ini filem-filem pendek. Namun demikian, untuk nota, karya filem pendek beliau bukan calang-calang. Ia ditayangkan di pesta-pesta filem berprestij dunia, khusus beberapa kali mendapat perhatian di Sundance, tempat suara baharu sinema dunia berhimpun.

Filem pendek didefinisikan bukan sahaja kerana ia pendek dari segi rentang masa, sesetengah pengkritik berpendapat ia haruslah di bawah 40 minit, atau ada yang menyebutkan di bawah 30 minit. Akan tetapi filem pendek sebetulnya mencabar kerana ia bentangan idea tertumpu, yang mempunyai fokus yang tidak bercempera, gagasan baharu dan segar seharusnya belum pernah ditonton (atau dibaca); selain menghadirkan watak-watak berbekas dan sangat mengeruk khalayak secara emosinya. Naratif filem pendek yang unggul harus mengejutkan, juga kadang-kala mengajarkan.

Diffan Norman pembikin filem yang perlu diekori.

Seperti mana cerpen di dalam bidang sastera, filem pendek tidak memiliki plot rancu, selalunya dengan satu konflik yang mengheret audien sehingga ke sudah meskipun konsepnya langsung dan agak mudah. Dalam filem pendek, seperti mana dalam cerpen, konsep karya mesti agak abstrak dan renungan utama kita ialah kehendak protagonis atau watak lain. Kehadiran antagonis menjelmakan kandungan yang terisi kegawatan, atau keghairahan, dan kadang-kala kegerunan. Konflik filem pendek tidak perlu terlalu gasak, kadang-kala ia memadai dengan hanya getaran. Biasanya perbezaan yang diapungkan menjadi tajam untuk menjadi tarikan.

Cerpen dalam kesusasteraan adalah latihan untuk pengarang-pengarang muda sebelum berpindah ke novel. Kerap juga cerpen disorot sebagai industri ringan manakala novel adalah industri berat. Seperti itulah juga filem pendek, dan filem penuh.

Demikianlah Diffan Norman mengerahkan seluruh kudrat, kreativiti, dan bakat beliau. “Kekasih”, dan “Pasture Prime” bertanding untuk kategori Short Film Grand Jury Prize di Sundance Film Festival. Manakala “Wow” ditayangkan di Singapore Film Festival tahun lalu dengan menampilkan bintang emas kita, Noorkumalasari.

Menonton tiga buah filem pendek Diffan iaitu “Kekasih”, “Wow”, dan “Pasture Prime” memberi kesan menakjubkan, satu kesan yang sukar saya ungkapkan dengan kata-kata iaitu transendental.

Untuk karya-karya yang dapat dikatakan transendental, ia perlu memiliki beberapa ciri.

Pertamanya ia perlu mencengangkan dengan naratif ‘berlaku kreatif’. Naratif ‘berlaku kreatif’ tidak sama dengan sekadar menyuguhkan kreativiti. Ia ‘berlaku kreatif’ kerana penonton dilibatkan untuk juga berkreatif khusus dengan memikir. Penonton tidak hanya dibiarkan melalak tersedu sedan dek emosi, atau digeletek terbahak-bahak gara-gara komedi, tetapi dengan naratif ‘berlaku kreatif’, khalayak mesti juga memikir, mentafsir, dan menganalisis supaya kreativiti itu tidak hanya disogok dan disudukan. Dalam hal ini, penonton tidak sekadar disuap tetapi mereka perlu sendiri menghadam. Dalam proses itu penonton akan berwacana di dalam cepu kepala.

Naratif ‘berlaku kreatif’ ditampilkan dengan lambang abstrak untuk berhujah dengan umat yang abstrak. Oleh sebab itu, keduanya karya transendental akan mengandungi simbol atau perlambangan untuk dikupas. Lambang ini kadang-kala sangat khas dan juga hanya betul-betul diketahui pembikin. Tetapi ia tidak menghalang kita penikmat karya menebak-meneka rahsia sedia ada.

Di dalam filem “Kekasih” karya Diffan sebagai misalnya bunga mawar menjadi lambang cinta yang memabukkan, kemudian dek kerana ia menjadi melulu, ia juga memusnahkan. Apabila saya menyebutkan Diffan ‘berlaku kreatif’ seibarat mengarang puisi, ia mengesahkan estetika yang dikincah Diffan adalah dengan menggunakan seragam puitika yang lain dari pernah ditempuh oleh sinema Malaysia.

Menonton “Kekasih” entah mengapa membawa saya ke bait awal puisi Hafiz Shirazi; “Mawar telah memerah merah, putiknya telah pecah, dan mabuk dengan kegembiraan adalah burung bulbul.”

Mansor, saintis bidang botani lakonan Nasir Bilal Khan luluh lantak oleh kematian isterinya, berhasrat untuk tidak melepaskan Rozita (Fauziah Nawi) dan berusaha melawan takdir untuk menghidupkan terus arwah. Tentu dalam pergelutan dan pergulatan itu Mansor yang terpana dan mabuk oleh cinta menemukan transenden pada mawar, dan merubah bentuknya sendiri buat selama-lamanya.

“Kekasih” demikian bertenaga, menjadi antara 66 buah pilihan dari lebih 8,000 penyertaan di Sundance Film Festival, Utah pada 2014. Ia memang mengharumkan nama negara tatkala itu.

Diffan Norman bersama Fauziah Nawi, bintang “Kekasih”.

Dalam “Wow”, yang menampilkan Bront Palarae sebagai Zaman, sarjana yang menolak kekudusan peranan ibu (Noorkumalasari), Diffan menggunakan segenap keabstrakan dari segi naratif, teknologi, dan juga hiburan. Ia mempunyai seru wow yang membawa kita kepada kesakralan seorang ibu menghukum anaknya yang telah berjaya dan diusaikan dengan penampilan ala ‘gospel Islami’ di hujung sebuah ‘talk show’ yang penuh elemen mengejutkan.

“Wow” tampil di Singapore Film Festival 2023, dan mendorong perbincangan yang beraneka macam. Pokoknya “Wow” mengenai cinta sang ibu yang tergamak menghancurkan anaknya, sesuatu yang amat melawan naratif di dunia munasabah dan waras. Tidak syak lagi ia datang luar sedar dari dongeng dan lipur lara Tanggang.

Filem terbaru Diffan, “Pasture Prime” sekali lagi terpilih untuk bertanding di Sundance yang kali ini membawa sama sekali latar berbeza. Kini, menetap di Texas, Diffan memberi kita lingkungan koboi Amerika dengan gaya penceritaan Melayu-Parsi yang membuahkan kelongoan.

Memberi tumpuan kepada ‘lelaki Marlboro’ yang penuh misteri, Diffan dan Carolyn Purnell memberikan satu ode khas untuk budaya habitat baru Diffan, tetapi dengan mengasahkan konflik cinta obses Shirley yang penghujungnya membuatkan kita terkesima.

Karyawan filem jarang boleh menyerap persekitaran baharu dan menterjemahkan sepersisnya. Satu-satunya pengkarya filem yang saya tahu mampu sedemikian ialah Ang Lee, kuat identiti Cina Taipehnya, tetapi saat mengarahkan Sense and Sensibility atau Brokeback Mountain memberikan kita keaslian dunia yang mendanainya.

Demikian aneh dan segar, karya Diffan yang akan paling ditunggu-tunggu adalah kerja panjangnya, Sitora satu dedikasi untuk arwah P Ramlee yang dikerjakan dengan Studio Fangoria, Amerika Syarikat. Dengan mengambil kira karya pendeknya, tentu sahaja kita akan tertanya-tanya bagaimana Diffan menggarap Sitora. Saya tahu ia pasti mendebarkan.

Saya percaya Diffan akan menjadi warna meriah untuk sinema Malaysia. Ia memberi jalur penceritaan berbeza, berakar oleh dua tradisi iaitu Melayu-Parsi dan kuat nilai humanisasi (kebudimanan), liberasi (keihsanan), dan transendensi (kerohanian). Pengalaman luasnya di Los Angelas pasti membantu, dan apa yang hebat ialah Diffan tidak menanggalkan jati diri lokalnya, dan berusaha melibatkan bakat berpotensi dari negara ini.

Ia juga nampaknya kental menepis hakisan luar yang cuba menggigit karyanya, sesuatu yang belum tentu ada pada karyawan lain apabila terghairah atau terpesona mencari peluang di luar. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.