Sunday, January 21, 2024

Hanya 2,000 warga asing tersadai, Papsma sanggah 500,000 menganggur

Papsma bersedia bantu kerajaan menempatkan pekerja asing tersadai kepada majikan baharu. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma) menjelaskan dakwaan ada 500,000 warga asing tersadai tanpa kerja dibuat tanpa fakta dibuat bekas pemimpinnya, baru-baru ini.

Presidennya Kris Foo Yin Choo berkata mereka telah merujuk dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang memberitahu jumlahnya hanya sekitar 2,000 warga asing masih tiada kerja selepas diperdaya ejen.

Kris menjelaskan dakwaan hampir setengah juta warga asing tersadai di Malaysia bukan pendirian pertubuhan itu, sebaliknya “anggaran” peribadi bekas setiausaha agungnya N Sukumaran yang tidak lagi berada dalam jawatankuasa Papsma sejak pemilihan AJK baharu pada mesyuarat agung tahunan 28 Jun lalu.

“Semua dakwaan harus disokong dengan bukti dan sumber rasmi seperti JTK serta pejabat kedutaan negara sumber, tetapi bila semakan maklumat sebenarnya adalah sebaliknya,” katanya kepada FMT.

Pada 11 Jan lalu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata dakwaan 500,000 pekerja asing dieksploitasi dan menganggur di negara ini perlu disokong fakta dan bukti.

Beliau berkata pihaknya bersifat terbuka jika ada laporan rasmi diterima dan akan mengambil tindakan sewajarnya, merujuk kepada laporan media memetik kenyataan Sukumaran.

Sementara itu, Kris berkata ahli Papsma mempunyai lesen status C yang layak membawa pekerja dari luar negara bersedia membantu mencari penempatan baharu bagi warga asing yang terjejas, dengan kerjasama kerajaan.

“Pekerja malang ditipu ejen di negara asal sepatutnya dibantu, isu ini perlu diselesaikan secara baik tanpa menjejaskan imej serta menjatuhkan maruah negara di mata dunia,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.