Saturday, January 27, 2024

Harimau Malaya buktikan ada kelas

 

“Korea Selatan layak ke peringkat kalah mati di sebalik mencicirkan mata lagi selepas satu perlawanan umpama roller-coaster dari mula hingga akhir sambil Malaysia meninggalkan kejohanan ini dengan rasa megah dan maruah dikembalikan selepas bersaing sengit dengan salah satu pasukan pilihan untuk menjulang Piala Asia.”

Kesimpulan itu yang dibuat seorang pengulas berbahasa Inggeris di penghujung siaran langsung perlawanan Malaysia-Korea Selatan malam kelmarin menceritakan segala-galanya mengenai bagaimana lawan di tangga ke-23 dunia itu berhabis-habisan, namun tetap gagal menenggelami cabaran Harimau Malaya yang menyerlahkan semangat melawan, keberanian dan permainan terbaiknya dalam penyertaan sulung di Piala Asia selepas 43 tahun.

Gara-garanya ahli politik berhenti bertelagah seketika. Keriuhannya juga dapat dirasakan daripada penonton skrin gergasi di Stadium Nasional, restoran mamak hinggalah ke rumah terpencil di penghujung kampung.

Dengan hanya satu perlawanan di Stadium Al Janoub di Al Wakrah, Qatar itu yang berkesudahan seri 3-3, banyak perkara yang sebenarnya terungkai. ‘Dosa’ Harimau Malaya yang dilihat jinak dalam dua perlawanan pertama ketika diaibkan 0-4 oleh Jordan dan tunduk kepada gol minit terakhir Bahrain dalam kekalahan 0-1, seakan-akan semuanya terpadam dengan sekelip mata tanpa perlu diimbau lagi.

Malah, apa jua kekhilafan Kim Pan Gon dalam mempersiap pasukan untuk dua perlawanan pertama itu dikira terampun dengan keputusan terbaru kelmarin harus mengembalikan kepercayaan bahawa pada kepakarannya, Harimau Malaya harus menyerahkan perancangan untuk peningkatan berterusan selepas ini – pada ketika pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026 Mac ini makin menggamit.

Pada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin pula, peminat dan media tidak terkecuali terhutang maaf andai meragui keyakinannya bahawa Harimau Malaya mampu mengelak daripada pulang tangan kosong dari Qatar – tanpa mata dan tanpa sebarang jaringan – di sebalik harapan mara ke pusingan 16 buat julung-julung kalinya selepas empat percubaan masih tidak kesampaian.

Sanjungan terbesar, bagaimanapun, adalah milik kesebelasan Harimau Malaya yang memanfaatkan perlawanan menentang Korea Selatan itu bagi membuktikan tiada kerdilnya mereka hingga mampu menyaingi sebuah pasukan berkelas dunia. Segala andaian sebelum ini bahawa Harimau Malaya cetek pengalaman dan berasa gayat dengan tahap saingan setinggi ini di samping tidak pun bertaraf Asia, sudah mereka lontar jauh-jauh.

Sebenarnya, itulah corak permainan yang didambakan peminat yang tidak terlalu mengharapkan keajaiban kecuali mereka memberikan tentangan bersemangat serta bermain dengan penuh kesungguhan dan kerjasama sepasukan dan andai kalah pada penghujungnya pun biarlah ia secara bermaruah.

Tidak ramai, malah mungkin hanya Pan Gon yang sudah dilanjutkan kontraknya hingga 31 Dis 2025, yang percaya pemain-pemain ini mampu mengangkat permainan mereka ke tahap sehebat malam kelmarin hingga mendorong jurulatih itu memulangkan paku buah keras.

Kepada soalan apa yang diberitahunya kepada pemain pada rehat separuh masa ketika ketinggalan 0-1, ini jawapannya: “Semalam anda hentam saya, mahu saya keluar (dipecat), hari ini anda tanya bagaimana saya memotivasikan pemain. Inilah yang sentiasa kami lakukan. Kami berhimpun umpama sebuah keluarga. Kami sentiasa memberi motivasi terbaik kepada pemain… ini tugas kami. Tapi anda tak boleh buat seperti ini… semalam anda hentam saya dan mahu saya keluar tapi hari ini anda puji saya.”

Pesanannya kepada peminat bola sepak Malaysia sehari sebelum menentang Korea Selatan harus kini berbekas: “Bagi saya, tidak kiralah kita menjaringkan satu atau dua gol jika kita mempunyai persiapan yang baik. Mengapa penyokong tidak boleh menghormati kami jika kami tidak menang? Adalah penting bagi kami untuk membina keyakinan dan belajar daripada perlawanan ini supaya kami tidak takut untuk bertemu pasukan besar lain pada masa hadapan.”

Ada segelintir mungkin mendakwa kejayaan mengikat Korea Selatan sebagai satu “skandal” tapi tiada apa-apa yang dapat menafikan Harimau Malaya pujian yang selayaknya mereka terima selepas dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk meraih keputusan 3-3. Di atas kertas, Korea mengatasi Malaysia dengan berjurang 107 anak tangga dalam ranking dunia dan 82-18 % daripada segi penguasaan bola tapi di penghujung perlawanan, kedua-dua pasukan adalah setaraf daripada segi keupayaan.

Skuad Taeguk Warriors itu mungkin dikatakan sengaja mengelakkan menang bagi menghindarkan pertemuan dengan juara empat kali Jepun dalam pusingan kalah mati selanjutnya tapi harus tiada logiknya mereka menurunkan barisan terkuat serta mendapatkan tiga gol jika itu yang mereka hasratkan. Juga tiga gol Harimau Malaya juga bukan datang dengan sendirinya atau sengaja dihadiahkan lawan.

Malah, gol penyamaan 1-1 oleh Faisal Halim (m-51) hasil kemahirannya menggelecek diangkat setaraf dengan Liga Perdana Inggeris (EPL) di mana kapten Korea Selatan Son Heung-Min beraksi untuk Tottenham Hotspur. Ia juga adalah jaringan pertama Malaysia di peringkat Piala Asia sejak gol Indra Putra Mahayuddin dalam kekalahan 1-5 kepada China di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jul 2007. Dua lagi gol Malaysia diraih menerusi sepakan penalti Arif Aiman Hanapi (m-62) dan Romel Morales (m-90+15).

“AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) hendaklah menghukum Korea Selatan dan Jordan kerana mereka menyengajakan keputusan perlawanan,” kata Haider Karim dalam satu hantaran di laman Facebook AFC Asian Cup seusai perlawanan. “Ini adalah satu manipulasi jelas oleh Korea Selatan (yang mahu mengelakkan Jepun dalam pusingan 16) dan FIFA hendaklah menilainya dengan serius dan ambil tindakan,” kata Mashaan Alrramly pula. “Malaysia bernasib baik kerana Korea mahu elakkan Jepun,” tambah Chanachai Tanasootr. Malah, ada puluhan lagi hantaran seumpamanya.

Tapi ada yang membantu menjawab dakwaan berkenaan, antaranya hantaran Vincent Joy yang berbunyi: “Jika Korea Selatan enggan muncul juara kumpulan, Son boleh saja gagalkan sepakan penaltinya. Lagipun, Malaysia dapatkan gol pada minit terakhir.” Kata Dza Fariza pula: “Tahniah Malaysia, what a game. Luka di hati dapat diubati sepenuhnya dengan game terbaik Piala Asia lawan team world class Korea Selatan. Kita bukan lemah tapi kita kurang dari segi fizikal dan pengalaman, InsyaAllah kita pulang bukan dengan tangan kosong tapi pulang dengan satu pengalaman dan sejarah yang berharga untuk masa akan datang.”

Meskipun perbuatan pasukan menentukan kedudukan dalam kumpulan demi mengelakkan lawan tertentu di peringkat kalah mati tidak menyalahi peraturan, kita percaya pasukan dengan reputasi besar seperti Korea Selatan – layak 11 kali ke Piala Dunia termasuk 10 kali berturut-turut di antara 1986-2022 selain mara ke separuh akhir pada 2002 – tidak akan mempertaruhkan imej cemerlangnya hanya untuk keputusan seri dengan lawan di tangga ke-130 dunia.

Berbanding hanya menumpukan kepada penguasaan bola dalam separuh pertama untuk sekadar mendahului satu gol, skuad Taeguk Warriors itu sebenarnya cemas dan berhempas-pulas dalam separuh kedua yang antara lain menyaksikan jurulatih Jurgen Klinsmann memasukkan pemain kelab Wolverhampton Wanderers Hwang Hee-Chan untuk menajamkan serangan.

“Ini bukan keputusan yang kami mahu tetapi Malaysia bermain dengan sangat baik,” kata Hee-Chan dalam temu bual selepas perlawanan sambil Heung-Min mengungkapkan: “Malaysia melakukan tugas yang fantastik, mereka berjuang bermati-matian hingga ke penamat. Dan ia tidak benar (tanggapan) kami mahu mengelakkan Jepun.”

Faisal yang menebus persembahan hambar dalam dua perlawanan pertama dengan aksi lincah dan sentuhan jaringannya malam kelmarin harus menyimpulkan bagi pihak rakan-rakannya apa ertinya penyertaan Harimau Malaya kali ini: “Walaupun kita tak layak, sekurang-kurangnya kita berjuang untuk maruah kita.”

Kepada Harimau Malaya, peminat berhutang sokongan berterusan dan selamat meneruskan perjuangan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.