Wednesday, January 24, 2024

Impian tak termimpikan

 

Filem Ola Bola pada 2016 yang diilhamkan daripada kejayaan Malaysia menjuarai pertandingan pra-Olimpik 1980 dianggap berjaya kerana ia mengimbau semangat, keunikan, dan kekuatan kepelbagaian bangsa dalam skuad kebangsaan ketika itu. Juga ia mendedahkan peminat bola sepak kita kuat bernostalgia terhadap kejayaan yang selepas itu semakin gersang.

Pada malam 6 April 1980 yang bersejarah di Stadium Merdeka, skuad negara yang dilatih Karl-Heinz Weigang itu menundukkan Korea Selatan 2-1 hasil jaringan pendahuluan Bakri Ibni dan gol dramatik James Wong untuk Malaysia meraih hak bersama Kuwait dan Iran selaku wakil Asia ke temasya di ibu kota Rusia yang bagaimanapun diboikot kemudian.

Selepas 39 hari ditayangkan di pawagam, Ola Bola nyata terus mendapat sambutan hangat penonton apabila mencatat pungutan pecah panggung RM16 juta. Cukup sekadar itu kerana kita bukan mahu membincangkan filem berkenaan, sebaliknya betapa peminat bola sepak negara terus kehausan kejayaan sejak itu.

Sama ada ia berkaitan dengan rangsangan daripada filem pada 2016 itu atau tidak, skuad Malaysia mampu mengulangi kemenangan ke atas Korea dua tahun kemudian – kebetulan dengan keputusan 2-1 juga – dalam perlawanan peringkat kumpulan Sukan Asia 2018 yang dianjurkan Indonesia. Korea kemudian bangkit daripada kekalahan tidak diduga itu untuk kesudahannya muncul juara.

Safawi Rasid muncul wira apabila meledak kedua-dua gol – yang pertama itu gol nasib apabila penjaga gol lawan terlepas bola daripada tangkapan – dalam aksi di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung yang turut menyaksikan Malaysia menamatkan kemarau kemenangan selama 44 tahun ke atas Korea Selatan dalam temasya terbesar Asia berkenaan.

Kali terakhir skuad negara menewaskan Korea ialah dalam perlawanan pusingan kedua Kumpulan A pada Sukan Asia Tehran 1974 dalam perjalanan untuk meraih pingat gangsa – pencapaian tertinggi skuad negara hingga hari ini. Dua gol daripada Harun Jusoh dan satu lagi jaringan Ali Bakar memadai untuk kita mengatasi lawan 3-2 yang membalas menerusi gol Lee Hoi-Taek dan Park Yi-Cheon pada 13 September 1974.

Lebih dahulu sebelum itu, Malaysia turut melakukan kejutan terbesar dalam pertandingan pra-Olimpik 1971 yang dianjurkan Korea ketika pasukan tuan rumah itu dan Jepun – pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1968 dengan Kunishige Kamamoto sebagai penyerang digeruni – menjadi pilihan hangat untuk muncul juara.

Namun, didahului oleh kemenangan 3-0 ke atas Jepun hasil gol Syed Ahmad Syed Abu Bakar (2) dan Looi Loon Teik pada 23 September 1971, Malaysia menundukkan Korea 1-0 ihsan jaringan Syed Ahmad dua hari kemudian. Kemenangan selanjutnya ke atas China 3-0 dan Filipina 5-0 dalam perlawanan terakhir pada 2 Oktober 1971 menabalkan Malaysia selaku juara kelayakan Kumpulan 1 untuk mengiringi Burma dan Iran ke temasya Munich.

“Memang benar tiada siapa menjangka kita mampu menjuarai peringkat kelayakan di Seoul. Tiada seorang pun wartawan hadir membuat liputan, apatah lagi penyokong. Namun, beberapa pegawai kedutaan dan keluarga mereka hadir. Merekalah yang menjerit-jerit memberi sokongan sambil mengibar bendera. Semuanya dianggarkan 20 orang,” kata penyerang Mohamad Bakar mengimbau kenangan itu dalam satu temu bual dengan Berita Harian yang tersiar pada 17 Julai 2016.

“Jika skuad negara berdepan 11 pemain Korea, 20 penyokong Malaysia pula berdepan puluhan ribu penyokong tuan rumah yang memenuhi stadium. Bayangkan detik itu. Tetapi sorakan gegak-gempita penyokong tuan rumah terus tenggelam apabila Syed Ahmad menjaringkan gol kemenangan Malaysia (pada minit ke-51),” katanya.

Malam esok Korea tampil lagi dalam pertemuan yang menawarkan habuan berbeza – kemenangan akan mengangkat skuad Taeguk Warriors itu selaku juara Kumpulan E sambil sekurang-kurangnya keputusan seri akan menghindarkan Malaysia pulang sebagai harimau tidak berkuku dan tidak bertaring yang bakal menjadi igauan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin.

Hamidin pada 6 Januari lalu melahirkan harapan agar pasukan negara sekurang-kurangnya membawa pulang mata dari Piala Asia di Doha, dengan mengandaikan keputusan positif mampu diraih ketika menentang Jordan dan Bahrain. Malangnya, Harimau Malaysia diaibkan 4-0 oleh Jordan pada 15 Jan dan tewas 0-1 kepada gol minit terakhir Bahrain, Sabtu lalu.

“Kalau untuk memperkatakan mengenai realistik sudah tentu untuk dapat mata. Mungkin ada seri atau menang dan mesti ada matalah. Kalau pulang kosong tu tak berapa baguslah. Impian kita juga mahu layak ke pusingan 16. Katakanlah kita seri dengan Jordan dan menang dengan Bahrain, sekurangnya kita sudah dapat empat mata,” katanya dalam temu bual Bola Itu Life di Astro Arena.

Kebetulan daripada pertemuan dalam Sukan Asia 2018 itu, kedua-dua pasukan sekali lagi diundi dalam Kumpulan E. Melanjutkan kebetulan itu, pemain dari skuad 2018 yang masih kekal ialah Dominic Tan, Syahmi Safari, Akhyar Rasid, Safawi, Faisal Halim, Matthew Davies, Syihan Hazmi, dan Syamer Kutty Abba sambil Korea masih diperkuatkan oleh Son Heung-Min, Hwang In-Beom, Jo Hyeon-Woo, Song Bum-Keun, Kim Min-Jae, dan Hwang Hee-Chan.

Tapi kebetulan itu terhenti setakat itu saja ketika Korea (23) kini meninggalkan Malaysia (130) lebih 100 anak tangga di bawahnya dalam ranking dunia FIFA, dengan perbandingan di atas kertas selepas mereka menundukkan Bahrain 3-1 dan seri 2-2 dengan Jordan membayangkan Harimau Malaya akan menjadi ratahan mereka.

Ketua jurulatih Kim Pan Gon yang mengambil tanggungjawab penuh atas dua kekalahan awal itu bagaimanapun kekal bersifat pragmatik dengan mengharapkan semua pihak mengambil sikap positif terhadap skuad negara biarpun gagal untuk mara ke pusingan 16. Sambil mempertahankan bahawa pemain-pemainnya sudah melakukan yang terbaik, hakikatnya ialah Harimau Malaya kini berada di mana ia sepatutnya dan keadaan itu harus diterima semua.

Bersesuaian dengan perlawanan malam esok (jam 7.30) adalah penampilan terakhir di peringkat Piala Asia – ia mungkin perlukan 40 tahun lagi untuk kita kembali – apa yang diharapkan daripada pemain-pemain ialah tentangan sengit dan semangat melawan terpuji agar kalah pun biarlah bermaruah. Ia harus bermula dengan Pan Gon membuat pilihan kesebelasan yang tepat dan formasi yang bersesuaian dengan kemampuan pasukan.

Kemenangan seperti kali terakhir pada 2018 mungkin satu impian yang tak termimpikan pada ketika prestasi semasa Harimau Malaya mencadangkan ia belum mampu mengikis gemuruh, rasa gayat, dan kecetekan pengalaman bertanding buat kali pertama di peringkat tertinggi ini selepas 43 tahun. Tapi, siapa tahu?

Lagipun, peminat bola sepak kita bersifat pemaaf dan memahami – sebagaimana mereka berpusu-pusu memenuhi pawagam menonton Ola Bola untuk dibuai nostalgia kejayaan silam yang sudah lebih 40 tahun belum menunjukkan petanda mampu berulang dalam masa terdekat. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.