Monday, January 29, 2024

Kes kusta meningkat 40% pada 2023

 

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata peningkatan itu berikutan pengukuhan aktiviti mencari dan mengesan kes kusta secara bersasar di lapangan. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kes kusta baharu dalam negara meningkat sebanyak 40% kepada 256 kes pada 2023 berbanding 183 kes tahun sebelumnya.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan sempena Hari Kusta Sedunia berkata peningkatan berkenaan berikutan pengukuhan aktiviti mencari dan mengesan kes secara bersasar di lapangan.

“Pengukuhan aktiviti ini adalah selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mencapai sasaran sifar kes kusta tempatan baharu menjelang 2030.

“Pengesanan awal kes dan kontak rapat dapat mengawal penyakit kusta daripada terus merebak, manakala rawatan awal dapat mengurangkan dan mencegah komplikasi penyakit dan kecacatan kekal,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) juga turut melaksanakan pemberian rawatan profilaksis Dos Tunggal Rifampicin kepada kontak rapat dan komuniti berisiko seperti saranan WHO sebagai langkah tambahan dalam mengurangkan risiko penyakit kusta.

Hari Kusta Sedunia disambut pada hari Ahad terakhir Januari setiap tahun untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat bahawa penyakit itu masih wujud dan boleh menjangkiti kepada yang berisiko.

Tema Hari Kusta Sedunia pada tahun ini adalah “Hentikan Kusta” yang menyeru kepada semua individu, masyarakat, agensi kerajaan dan bukan kerajaan, pihak berkepentingan untuk bersama-sama dalam usaha mencegah penularan dan menghentikan jangkitan kusta di Malaysia.

Dzulkefly berkata individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan kusta perlu menjalani ujian torehan kulit atau biopsi kulit bagi pengesahan diagnosis.

“Penyakit ini boleh sembuh dengan pengambilan ‘Multi Drug Therapy’ (MDT) yang perlu diambil setiap hari dalam tempoh 6 hingga 18 bulan.

Namun jika lewat atau tidak mendapatkan rawatan, pesakit boleh mendapat komplikasi seperti buta, kelemahan dan kecacatan kekal di otot kaki dan tangan,” katanya.

KKM juga menyeru setiap individu dan masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti yang boleh mewujudkan kesedaran mengenai penyakit kusta.

“Persekitaran yang positif dan menyokong kepada pesakit dan individu yang terkesan dengan penyakit kusta amat diperlukan supaya kualiti hidup pesakit dipertingkatkan, stigma dan diskriminasi dapat ditamatkan dan sasaran sifar kes kusta baharu tempatan dapat dicapai,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.