Tuesday, January 30, 2024

Ketuai jawatankuasa kerana pengalaman jualan murah, kata wakil Bukit Gantang

 

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal program Jualan Termurah Madani akan diperluas ke lebih banyak kawasan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bermula secara kecil-kecilan di Bukit Gantang tiga tahun lalu, program jualan murah oleh Ahli Parlimennya Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal kini diperluas ke kawasan lain dengan bantuan kerajaan.

Program Jualan Termurah Madani itu yang bermula di Parlimen Lembah Pantai dengan kemuncaknya di Padang Awam Klebang Restu di Ipoh, Ahad lalu menawarkan barangan asas 60% lebih murah daripada harga pasaran.

Antara makanan asas yang dijual menerusi program itu termasuk ayam, ikan, sotong, udang, serta sayur-sayuran dan buah-buahan.

Bagi Syed Hussin, wakil rakyat Bersatu, ia juga membantu membuka ruang kepadanya dipilih sebagai ketua jawatankuasa berkaitan isu menangani harga makanan dan kos sara hidup di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol).

Bercakap kepada FMT, Syed Hussin percaya pelantikannya yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, minggu lalu berkaitan usahanya menyediakan platform untuk orang ramai menikmati barangan asas pada harga murah.

Menurutnya, sifat terbuka Anwar memilihnya – seorang wakil rakyat pembangkang untuk mengetuai jawatankuasa membuktikan usaha kerajaan membantu rakyat dengan program sedia ada yang telah berjaya.

“(Keputusan) itu sebab beliau memang mengamalkan sikap terbuka untuk bantu rakyat.

“(Jika) ada kaedah-kaedah boleh (kita laksana untuk) bantu rakyat, beliau akan minta kita ketengahkan,” katanya yang akan memperluaskan program Jualan Termurah Madani ke seluruh negara serta menambah kekerapannya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.