Tuesday, January 30, 2024

Lagu sekarang tak sedap

 

Kawan saya, Faizal seorang jurugambar sepenuh masa tiba-tiba bertanya, “Kenapa lagu-lagu 80-an kita dengar sedap berbanding lagu sekarang?” membuat saya mengambil sedikit masa untuk menjawab. Nak kena betulkan posisi duduk dahulu dan kena fikirkan dari sisi mana mahu dikorek.

“Aku rasa bukan sebab pemisahan jurang generasi,” katanya lagi. “Ia berkait dengan cara hidup kita yang telah berubah.”

Beberapa bulan dahulu, kawan saya seorang pemuzik dan penggubah lagu yang kerap kita lihat dia bermain “keyboard” untuk band mengiringi M Nasir, Firdaus Mahmud menyatakan kepada saya apabila dia melihat carta 50 lagu popular masa kini; semuanya berkisar tentang cinta dan kecewa yang…begitu-begitulah. Saya setuju tetapi jika kita tinjau lagu-lagu sepanjang zaman pun yang menjadi siulan memanglah lagu-lagu cinta yang “begitu-begitulah” juga. Tentang putus cinta, kecewa dan harapan. Apa bezanya?

Saya dengar lagu dendangan Alleycats, Freedom, Razis Ismail, Francissca Peter atau Ramlah Ram pun meleleh juga bunyinya. Ya, meleleh memanglah meleleh tapi sedap bukan? Merdu dan menusuk kalbu. Kenapa sekarang kebanyakannya tak semerdu dulu dan gagal membuat kalbu tertusuk? Yalah, ada jugalah yang sedap tapi kebanyakannya macam ada sesuatu yang tak cukup bagai masakan tak cukup asam dan garamnya, malah kebanyakan lagu hari ini secepat mana ia naik begitulah cepatnya ia jatuh dan dilupakan. Tak melekat lama di jiwa. Saya bertanya apa yang tak kena?

Apakah mesin-mesin teknologi digital ini yang membuatkan hasil muzik kita jadi kurang sedap kerana sentuhan manusia telah diminimumkan? Sebab kerja seni ini pun dipanggil kerja tukang. Sekiranya sentuhan mesin dilebihkan maka jiwanya jadi kuranglah. Macam sambal belacan guna mesin pengisar manalah sedap berbanding hasil tumbuk di lesung. Itu tanggapan saya. Tetapi rupanya teman saya ini melihat lebih menyeluruh lagi nampaknya. Menurut Faizal, segalanya berubah bila kehidupan kita semakin laju dan mahu cepat. Pergi kerja kena cepat, balik kerja terkejar-kejar. Di sinilah diam tak diam kita dan generasi yang kita lahirkan mengalami perubahan. Kita makan apa yang sempat sewaktu pagi, “processed food” dan air minuman “3 in 1”.

Kita makan tengah hari di kedai sambil gelisah melihat jam bergerak untuk masuk kerja semula. Waktu balik kerja kita singgah di pasar malam beli makan malam untuk keluarga kita. Badan letih mana sempat nak masak, bungkus sahajalah! Kualiti makanan yang kita hadap setiap hari kurang baik. Kita lama-kelamaan menerima ini sebagai cara hidup kita. Zat-zat makanan segera dan perlumbaan hidup yang sentiasa kena cepat ini kemudian telah sebati dengan diri kita dan akhirnya menjadi diri kita sepenuhnya. Kita dan generasi ambil makanan segera dari luar yang tidak sesuai dengan kesemulajadian kita tetapi pada masa sama, kita mengambil makanan tempatan yang semakin rendah mutu penyediaannya. Kehidupan yang terburu-buru hendak cepat ini ditambah lagi dengan sajian lagu, drama, filem “berperisa segera” dibikin oleh generasi yang sama dengan kita. Prinsip kita – telan sahajalah asalkan boleh. Janji kenyang (baca: perut dan minda). Ia bukan lagi tentang sedap atau tidak. Asal boleh.

Kita telah “skip” banyak proses dalam disiplin hidup. Kalau berkarya pun kita lompat terus kerana kita sendiri merasakan ada sesuatu langkah itu tidak perlu. Buat lakaran tidak perlu, terus lukis saja. Tak payah ada “storyboard”, “shoot” aja terus. Rekod sikit-sikit dulu, boleh “pause” nanti kita “ejas-ejas” dengan menggunakan teknologi. Tak payah berkias-ibarat berbahasa bunga-bunga, itu semua sudah lapuk, zaman ini zaman terus-terang sahaja. Akhirnya disiplin itu pupus sebab tidak lagi diamalkan dan kaedah baharu yang menyisihkan disiplin tersebut pun mengambil tempat. Kemahiran menguasai elemen-elemen yang berjiwa itu pun hilang. Maka penghasilannya pun begitulah, tawar tak ada roh. Arakian, hasil yang tawar ini telah kita dan generasi hari ini terima, malah akan bersambung hingga ke generasi seterusnya. Hasil zaman inilah yang kita rasa paling sedap. “Rasa” lazat yang dahulu telah kita lupakan, kita sudah tidak dapat bayangkan apa rasa sedap yang dimaksudkan oleh orang terdahulu kerana sedap zaman sekarang inilah yang dikira paling sedap. Maksud “keaslian” bukan lagi merujuk kepada keaslian yang dahulu tetapi keaslian hari inilah yang akan diingati oleh generasi kini dan seterusnya.

Rupa-rupanya perbualan saya dengan Faizal bukan lagi hanya dalam ruang lingkup lagu dan pembikinannya tetapi ia menjadi lebih besar tentang kehidupan betapa faktor pemakanan juga berupaya mencorakkan hidup kita sebagai manusia.

Anda mungkin pernah dengar frasa “you are what you eat” yang mana sebuah uji kaji tentang bagaimana pemakanan berupaya mempengaruhi kesihatan dan kegembiraan kita. Inilah bagi saya kunci segala persoalan. Makanan yang masuk ke dalam perut bukan setakat mengenyangkan, menyihatkan fizikal kita tetapi juga bertujuan mengenyangkan rohani dan intelek. Kepuasan dan kegembiraan kita ada hubungkaitnya dengan apa yang masuk melalui tekak kita.

Sebab itu bila membincangkan kenapa lagu-lagu sekarang tidak sedap sebenarnya ia bukan lagi hanya berkisar tentang muzik, lagu, filem, drama, selera makan, novel dan teater tetapi tentang cara hidup. Malah tidak keterlaluan ia turut merangkumi perihal penghayatan hidup beragama.

“You are what you eat” ini perlu kita ambil serius. Nikmat menghayati kelazatan makanan yang betul-betul sedap penyediaannya sudah semakin hilang. Perlumbaan hidup yang serba pantas telah menghakis ketenangan kita sehingga semua yang hendak kita layan pun bersifat segera dan tergesa-gesa. Tidak ada rileks-rileks sedangkan dalam solat pun tenang sekejap termasuk dalam rukun, yang dipanggil tamakninah. Paling malang apabila kita semua tidak menghayati lalu mengabaikan apa itu tamakninah. Dalam urusan hidup yang lain juga perlu ada tamakninah. Mesti bertenang sejenak untuk mengembalikan semula anggota jasmani, mental, rohani dan intelektual ke kedudukan asalnya sebelum bergerak lagi bagi meneruskan urusan seterusnya. Benar atau benar? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.