Saturday, January 27, 2024

Lokasi tanah runtuh Cameron Highland diteroka secara haram

 

Lima warga Myanmar dikhuatiri tertimbus selepas rumah dihuni mereka terlibat dalam kejadian tanah runtuh semalam. (Gambar Bernama)

CAMERON HIGHLANDS: Lokasi kejadian tanah runtuh di Kampung Raja, Blue Valley, semalam merupakan kawasan Hutan Simpan Sungai Wi D yang diterokai secara haram sejak tahun lepas oleh pengusaha kebun sayur.

Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman, berkata pemilik kebun warga tempatan itu pernah ditahan dan sitaan peralatan dilakukan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Pahang pada April tahun lepas.

“Peneroka itu ada membuat permohonan permit penggunaan tanah hutan, namun Jabatan Perhutanan tidak memberi sokongan kerana keadaan cerun yang tinggi melebihi 35 darjah.

“Ia disebabkan ada risiko bahaya iaitu jika berlaku hujan yang banyak, cerun itu tidak dapat menampung dan berlaku gelinciran,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Beliau berkata pemantauan akan dilakukan secara berterusan oleh jabatan-jabatan berkaitan bagi menangani isu pencerobohan hutan di kawasan berkenaan.

Menurut Syed Ahmad, kes itu disiasat mengikut Seksyen 81 Akta Perhutanan Negara.

Dua mayat mangsa kejadian tanah runtuh itu yang ditemukan semalam dikenal pasti sebagai Law Ha Phey, 36, dan Ki Shing Om, 48 tahun.

Tiga lagi mangsa terlibat ialah Shing Law Har, 56, Om Myu, 37, dan seorang wanita Thang Moung, 25 tahun.

Semua mangsa warganegara Myanmar itu merupakan pekerja di ladang sayur di situ. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.