Saturday, January 27, 2024

PAS perlu reformasi

Kata Ahmad Samsuri Mokhtar, naib presiden PAS, sebarang tanggapan yang menyamakan partinya dengan Taliban (atau seumpamanya) adalah satu “kesilapan”. Beliau mengakui ada juga tanggapan bahawa PAS sebuah parti ekstremis. Pasti menurut beliau itu juga satu kesilapan kerana tanggapan itu “100% tidak benar sama sekali”.

Tetapi di mana kesilapannya? Tidak boleh dinafikan tingkah laku PAS dan kenyataan pemimpinnya mengakibatkan tanggapan yang Samsuri sebut tadi tercipta dan dipercayai ramai terutama masyarakat bukan Melayu Islam. Malah ada juga dalam kalangan Melayu Islam sendiri.

Namun, Samsuri menegaskan “di Malaysia kita amat memahami struktur masyarakat terdiri daripada kepelbagaian etnik serta agama dan PAS merupakan parti yang sudah relevan serta boleh diterima masyarakat dalam negara ini,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia awal bulan ini.

Benar PAS “diterima oleh masyarakat” bak kata Samsuri. Tetapi itu sebahagian masyarakat (diakui mungkin besar) iaitu orang Melayu sahaja. Namun ada juga orang Melayu yang tidak terima. Lalu PAS tidak punya cukup kerusi di Parlimen untuk memerintah negara secara mutlak. Dan PAS sendiri tahu, undi komuniti bukan Melayu bukan diberi kepadanya. Suatu masa dulu ada sokongan pengundi bukan Melayu bukan Islam untuk PAS. Itu masa Pakatan Rakyat lama dulu. Sekarang tidak lagi.

Presiden PAS Hadi Awang tahun lalu mengarahkan ahli partinya berusaha mendapatkan sokongan orang bukan Melayu. Bagaimana? Beliau tidak jelaskan. Dan dalam pada itu PAS termasuk Hadi terus mengeluarkan kenyataan mengguris perasaan orang bukan Melayu dan menakutkan mereka. Sebenarnya turut menakutkan sebilangan orang Melayu juga.

Itu dilakukan untuk mendapat sokongan (baca undi) orang Melayu. Tetapi bagi pengnalisis Mazlan Ali, PAS perlu memperjuangkan isu lebih besar berbanding terlalu menumpukan kepada Melayu dan Islam.

“Slogan ‘PAS for All’ dan ‘Negara Berkebajikan’ suatu ketika dulu adalah yang terbaik. PAS perlu menumpukan isu yang lebih sejagat seperti melawan rasuah, mengukuhkan perpaduan dan mewujudkan urus tadbir berintegriti,” katanya kepada FMT baru-baru ini.

Nasihat yang baik tetapi rasanya pernah diluah dan sudah didengar PAS sebelum ini. Namun, ia boleh dikatakan tidak dihindari kerana “main” isu bangsa dan agama lebih menguntungkan. Tengok saja keputusan enam PRN tahun lalu. Sekadar contoh. Lantas PAS tetap dengan tema kepimpinan ulamanya yang tidak dinafikan menarik sokongan ramai orang Melayu.

Lalu mengapa Hadi mahu PAS pujuk dan memikat orang bukan Islam? Pada hemat saya PAS terperangkap – mahu sokongan solid orang Melayu Islam dan pada masa sama mahu sokongan padu orang bukan Islam – formula untuk memerintah negara.

Bagaimanapun kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar kepada FMT tempoh hari, garis keras dalam jalur pemikiran ustaz dalam PAS menyebabkan parti itu dijauhi kelompok bukan Islam.

Obsesi mengangkat tema “kepimpinan ulama” menjadikan peranan kumpulan lain dalam pimpinan PAS menjadi sempit, kata Hisomuddin. “Kumpulan lain” dimaksudkan ialah golongan profesional, progresif dan aktivis yang kata beliau seakan berlaku “inferiority complex” bila melibatkan kedudukan dan hierarki tertinggi parti.

Padahal menurut Hisomuddin, PAS mesti bijak mengeksploitasikan imej sederhana pemimpin kelompok profesional seperti Samsuri sendiri dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan. Saya setuju cuma berbeza pendapat mengenai Takiyuddin. Walaupun beliau seorang profesional yakni peguam, kata-kata khususnya kenyataan beliau kerap juga berbaur garis keras ala “geng ustaz”. Mungkin selaku setiausaha agung naratif beliau mesti seirama dan senada kepimpinan
ulama parti.

Apa pun menurut Hisomuddin “ketokohan kepimpinan muda dan bukan ustaz daripada latar belakang profesional sewajarnya diangkat dan ditolak ke hadapan”.

Hakikatnya, PAS mesti lakukan reformasi. Jika alergik dengan istilah itu gunakan perubahan. Tetapi PAS memang ada golongan profesional sebelum ini pun. Yang paling dikenali golongan profesional seperti Dzulkefly Ahmad, Mujahid Yusof, Hatta Ramli, Allahyarham Salahuddin Ayub. Semuanya disifatkan berwibawa, progresif dan moderat di samping Islami. Mereka diterima orang Melayu dan bukan Melayu. Ada yang melihat mereka sebagai demokrat Islami.

Namun, kita tahu apa yang terjadi kepada mereka. Pada pemilihan PAS tahun 2015 mereka kalah. Ditewaskan oleh apa yang digelar “geng ustaz” (baca pasukan ulama). Ertinya PAS mahu geng ustaz yang bergaris keras bukan kelompok profesional yang “moderate”. Itu keputusan parti yang mesti dihormati. Maka bolehlah disimpulkan “apalah PAS tanpa ulama”. Begitu? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.