Friday, January 5, 2024

Umno dengan suara sumbang dalaman

 

Memulakan penulisan pertama untuk kolum saya dengan bercakap mengenai apa dilontarkan beberapa pemimpin akar umbi Umno kepada FMT akhir tahun lalu. Begini laporan portal berita ini yang disiarkan 30 Dis 2023.

“Beberapa pemimpin akar umbi Umno menyuarakan kebimbangan bahawa parti itu akan kehilangan sokongan pengundi Melayu jika terus ‘mesra’ dengan Pakatan Harapan”. Mengapa? Bagaimana? Tidak pula mereka huraikan.

Menurut laporan 30 Dis itu lagi “Pemimpin-pemimpin tersebut, yang enggan dikenali berkata Umno seharusnya melayan PH seperti cara parti itu melayan Perikatan Nasional semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob”.

PN menjadi kerajaan ialah dengan merampas kuasa politik menerusi pintu belakang dan dibantu Umno. Sememangnya Umno ada kuasa “membuli” kerajaan PN. Boleh dikata itulah dilakukannya. Malah apabila Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin kerajaan tumbang.

Berlainan kerajaan yang Umno duduki sekarang. Ia ditubuhkan hasil pencapaian semua parti pada PRU15, November 2022. PH menang jumlah kerusi terbanyak tetapi tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan. Benar Umno (dan parti lain bukan Umno sahaja) membantu penubuhan kerajaan perpaduan. Pun begitu Umno bukan dalam keadaan yang boleh membuli. Tidak seperti waktu tebuk atap melalui Langkah Sheraton dulu.

Dan mengenai layanan ke atas kerajaan Ismail yang disentuh pemimpin akar umbi tadi, takkan mereka lupa Ismail ialah orang mereka yakni naib presiden Umno. Beliau ada presiden dan timbalan presiden “di atasnya”. Lantas memang benar Umno mengawal Ismail walaupun beliau perdana menteri. Keadaan sekarang lain. Umno tidak ada dalam posisi mengawal Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

FMT melaporkan juga pemimpin Pemuda berkata “tiada masalah untuk bekerjasama dengan PH dalam kerajaan di peringkat persekutuan tetapi kita tidak sepatutnya pergi sehingga menghadiri konvensyen mereka atau bekerjasama dalam pilihan raya”.

Ini amat pelik. Beliau tidak mahu Umno bekerjasama dalam pilihan raya. Bukankah ini tanggungjawab Umno selaku anggota kerajaan perpaduan? Untuk memastikan kemenangan kerajaan. Jika kerajaan kalah, Umno juga kalah. Dan tidak dinafikan banyak manfaat untuk Umno duduk dalam kerajaan daripada berada di luar kerajaan. Apa lagi jika selaku pembangkang (namun ada juga pemimpin akar umbi kata lebih baik jadi pembangkang). Kalau tidak mahu bekerjasama dalam pilihan raya apa Umno mahu buat? Jadi pemerhati?

Pemimpin Pemuda tadi juga tidak senang Umno menghantar wakil menghadiri konvensyen PH. Ini amalan lazim tanda semangat berpasukan dan kesetiakawanan. Umno juga menjemput pelbagai parti rakan menghadiri perhimpunan agungnya termasuk Parti Komunis China. Tidak ada masalah buat yang menjemput dan yang dijemput.

Pemimpin Pemuda berkenaan dipetik FMT berkata: “Kita rasa seperti Umno bukan lagi di bawah Barisan Nasional tetapi bawah PH”. Hanya dengan menghadiri konvensyen PH? Benarkah “kita” yang dimaksud beliau rasa begitu? Jika iya then it’s their or Umno’s problemlah in feeling insecure. Or inferior.

Dan kata beliau seperti dilapor FMT “hubungan tersebut terutama dengan DAP adalah sangat merosakkan memandang segala yang pernah Umno katakan tentang parti itu selama berpuluh tahun. Jika saya meletakkan diri saya sebagai pengundi Melayu saya tidak akan mengundi Umno, katanya mengulas mengenai nasib parti itu yang merudum sejak kerjasama dengan PH bermula selepas PRU15”.

Pertama mesti dinyatakan. Umno merudum lama sebelum kerjasama dengan PH dijalin. Ini fakta. Takkan dah tak ingat apa yang berlaku pada PRU14 tahun 2018 dan mengapa ia berlaku?

Mengenai hubungan dengan DAP, diakui setelah sekian lama menyelar serta menyerang parti itu supaya dibenci orang Melayu tentulah sukar untuk berdepan semula dengan orang Melayu dengan nada lain. Takkan nak kata DAP sebenarnya parti bagus, kamu yang fitnah mereka dulu?

Tetapi Mahathir Mohamad telah secara terbuka mengakui beliaulah, semasa menjadi presiden Umno, mencipta kempen memburukkan DAP dan tuduh parti itu cauvinis Cina dan anti-Melayu. Rasanya pengakuan ini boleh digunakan sedikit- sebanyak oleh akar umbi Umno “to come clean with the Malay race”.

Seorang pemimpin Umno bahagian dari Johor pula dilapor FMT berkata “walaupun PH memenangi PRK Pulai dan Simpang Jeram di negerinya, ahli akar umbi Umno tidak berminat untuk membantu calon PH berkempen”.

Bagi saya ini kenyataan yang menikam diri. Satu ia “membuktikan” Umno tidak setia dalam menjalin kesepakatan politik dan dua “membuktikan” PH tidak perlu sokongan Umno berkempen untuk menang di Johor – negeri kelahiran Umno.

Pemimpin itu juga dipetik FMT berkata “tugas kita adalah untuk mendidik pengundi Umno merupakan pilihan yang lebih baik daripada yang lain tetapi apabila presiden memutuskan Umno akan berkempen untuk PH ia menjadikan keadaan lebih teruk.

“Selama berpuluh tahun kita memberitahu pengundi bahawa kita adalah suara Melayu bukan PH tetapi apabila kita diminta untuk bekerjasama, bagaimana kita mahu meyakinkan pengundi?”. Katanya itulah sebabnya sokongan Melayu terhadap PN semakin kuat dalam tempoh singkat.

Saya kira elok diimbas artikel tulisan kolumnis FMT Hishamuddin Aun siaran 6 Dis 2023 yang mengulas kekalahan Umno – BN pada PRK Kemaman. Artikel beliau diberi tajuk “Umno usah terus dalam penafian”. Cukup tepat pada hemat saya. Intipatinya Umno sudah-sudahlah cari alasan.

Dalam konteks artikel saya ini penafian dan alasan diberi oleh pemimpin akar umbi bukan pimpinan tertinggi Umno. Ertinya penjelasan oleh presiden, timbalannya dan rakan-rakan kepada akar umbi parti mengenai soal kerjasama dengan PH tidak tahu untuk berkata lembut, belum berjaya.

Dan seperkara lagi. Walaupun beberapa pemimpin antipresiden (yang dituduh khianat) sudah dipecat atau digantung parti belum “bersih”. Penyokong mereka masih ada dalam parti. Ramaikah jumlah mereka? Kuatkah mereka? Itu presiden Umno&Co lah kena fikir. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.