Tuesday, February 27, 2024

Pasangan silap bancuh susu bayi guna air syabu didakwa esok

 

Polis berkata, pasangan berusia 34 dan 40 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 9 pagi Rabu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri akan didakwa di mahkamah esok kerana tersilap membancuh susu bayi mereka dengan air syabu minggu lalu.

Ketua Polis Petaling Jaya, Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, pasangan berusia 34 dan 40 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 9 pagi.

“Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya menurut Harian Metro.

Akhbar itu sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri khayal ditahan kerana tersilap membancuh susu bayi mereka dengan air syabu di sebuah flat di Taman Medan, di sini, pada 19 Feb lalu.

Polis dilaporkan berkata, pasangan terbabit menghantar bayi lelaki setahun empat bulan mereka kepada neneknya berusia 55 tahun di Seri Kembangan pada hari kejadian.

Menurut laporan, ibu mangsa mengaku tersilap membancuh susu bayi menggunakan air syabu milik suaminya selepas neneknya bertanyakan sebab mangsa tidak berhenti menangis, terlalu aktif dan sukar dikawal semasa dalam jagaannya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.