Saturday, March 30, 2024

‘Cinta Ikmal si penjaga kubur’, antara kerjaya dan khidmat bakti

 

Kubur dibersihkan dan ditanam rumput supaya kelihatan indah.

PETALING JAYA: Ibarat telefilem “Cinta Si Penggali Kubur” lakonan Nasir Bilal Khan yang popular kira-kira 19 tahun lalu, begitulah juga bakti dicurah seorang lelaki, Muhamad Ikmal Jalal kepada penduduk di Felda Maokil, Segamat, Johor.

Bezanya, Ikmal, 29, bukan saja menggali malah memulihara “rumah abadi” itu supaya kelihatan indah dan sentiasa terjaga.

Pemegang Sijil Tahap 3 Teknologi Fabrikasi Logam dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Johor Bahru berkata, kerjayanya sebagai pembersih kubur bermula sejak lima tahun lalu apabila pulang ke kampung untuk menjaga ibunya yang sakit dan sering berkunjung ke pusara sambil mencari idea bagaimana untuk membantu penduduk.

Anak ke-10 daripada 11 beradik yang kematian ibunya pada Ogos 2018 menyifatkan, kehidupannya “dekat” dengan kubur kerana sejak remaja dia “senang” berdamping orang tua di kampung yang sentiasa bergotong-royong membersihkan kubur.

“Ketika itu saya turut membantu jika ada urusan kematian,” katanya kepada FMT.

Ikmal berkata, kini semua urusan itu menjadi kerjayanya dan gembira kerana dapat berbakti kepada masyarakat.

Muhamad Ikmal Jalal (kanan) membersihkan kepuk lama yang kotor.

“Setiap hari akan ada orang WhatsApp minta bersihkan kubur. Biasanya jika berada di kawasan Segamat atau sekitar…dalam sehari saya mampu bersihkan dan baik pulih tiga kubur.

“Banyak permintaan saya terpaksa tolak, lebih-lebih lagi jika kawasan itu terlalu jauh dengan tempat tinggal saya. Ketika ini saya sudah ada senarai menunggu kubur yang ingin dibersihkan hingga menjelang Aidilfitri,” katanya.

Katanya, selain membersihkan kubur dia turut menghias pusara lama dengan mengecat kepuk, menanam pokok melur dan “rumput karpet” serta menulis semula kaligrafi nama si mati yang sudah lusuh.

“Untuk kubur lama, bagi orang yang tidak berkemampuan, saya terfikir untuk baik pulih kepuk. Kosnya tak sama macam beli baru dan tidak membazir…cuma kotor jadi saya akan bersihkan kubur, cat semula kepuk supaya nampak indah,” katanya.

Bengkel kepuk

Muhamad Ikmal Jalal.

Pemuda itu berkata, minat “berdamping” dengan kubur akhirnya mendorongnya membuka bengkel pembuatan kepuk yang ketika ini mempunyai dua pekerja.

Katanya, kos membaik pulih kepuk sekitar RM350 hingga RM450 manakala untuk pemasangan baru RM1,300 dan pelanggannya kini bukan hanya sekitar Johor malah Melaka serta Negeri Sembilan.

Menurutnya, dia turut mendapat permintaan membersihkan kubur orang bukan Islam namun terpaksa ditolak atas sebab tertentu.

Kaligrafi nama si mati yang lusuh ditulis dan dicat semula.

Sementara itu, ketika ditanya kritikan diterima yang menyifatkan pembuatan kepuk kubur sebagai haram dan berdosa, Ikmal berkata spesikasinya mengikut syarat ditetapkan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

“Mungkin negeri mereka (pengguna media sosial) tak benarkan buat kepuk sebab itu mereka kritik. Di sini kita buat ikut (spesifikasi) JAIJ, dan ukuran itu mereka yang bagi,” katanya.

Ikmal berkata, selagi ada kudrat dan diberi kesihatan yang baik dia akan terus melakukan pekerjaan itu dan berharap lebih ramai anak muda mengikut jejak langkahnya.

“Keadaan dah berubah…sebelum ini kerja berkaitan urusan kematian dan membersihkan kubur dilaksanakan orang tua, kini ramai anak muda semakin menunjukkan minat,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.