Tuesday, April 2, 2024

KPDN sita 2 tan gula pasir disorok di Kelantan

 

Sebanyak 2,016kg gula pasir disita di sebuah premis dekat Kok Lanas. (Gambar KPDN)

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyita 2,016kg gula pasir dipercayai cuba disorok peniaga di sebuah premis dekat Kok Lanas, semalam.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata serbuan dijalankan selepas menerima aduan orang awam mengenai peruncit terbabit menyimpan barang kawalan melebihi kuantiti dibenarkan.

“Serbuan dilakukan pada 12 tengah hari mendapati seorang peniaga runcit berlesen barang kawalan menyimpan sejumlah gula pasir melebihi had yang dibenarkan di dalam lesen di premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan bekalan 1961.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Azman berkata pihaknya turut menyita 425 liter minyak petrol bersama sebuah kereta jenis Mitsubishi Pajero dekat Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor di Tumpat.

Katanya, rampasan melalui Ops Bersepadu Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan dilakukan pada 11.45 malam, bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengakalan Kubor.

“Maklumat pasukan risikan mendapati sebuah rumah dijadikan transit simpanan sementara sebelum membawa muatan barang kawalan untuk diselewengkan.

“Kita mendapati suspek membuat pembelian pengisian minyak petrol ke dalam tangki kereta yang diubah suai berulang kali di beberapa stesen minyak sekitar Tumpat,” katanya yang turut menjumpai 11 tong jerikin berisi minyak petrol.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.