Suatu hari beberapa tahun lalu ketika saya menyapa dan bergurau dengan seorang anak jiran yang sedang bermain di bawah pangsapuri yang kami inapi itu; kerana saya suka bergurau dengan kanak-kanak dan kanak-kanak pula senang dengan saya, tiba-tiba dia membalas gurauan saya dengan nada mengejek, “yey!yey! Pak cik tak ada kerja. Mak saya cakap pak cik tak ada kerja.”
Saya tergamam. Kanak-kanak biasanya jujur, apa yang dia dengar dia akan cakap. Kanak-kanak ini nampak gayanya membocorkan maklumat bahawa saya menjadi bahan perbualan di kawasan kejiranan kami itu. Mungkin mak dia hairan sebab saya kelihatannya seperti penganggur yang memanjang aja ada di rumah, tidak seperti suaminya dan kaum bapa lain yang pagi-pagi buta sudah keluar rumah ke tempat kerja.
Suami mereka mungkin seorang pegawai kerajaan atau pekerja industri. Mungkin juga peniaga atau apa saja. Pendek kata, kerja bermaksud ‘kena keluar rumah’ pergi ke suatu premis sama ada di pejabat, kilang, atau kedai. Saya dilihat tidak begitu maka saya disyaki sebagai penganggur oleh mak cik-mak cik yang apabila suami pergi bekerja, mereka pula jadi ‘CCTV’ di kejiranan. Memerhatikan hal-hal keliling, tentang apa yang jiran mereka buat. Dan dicatatkan dalam buku laporan kerja mereka barangkali, yang saya ini tak bekerja. Aduh!
Memang kita semua hendak tak hendak kena kerja untuk hidup, kak oi! Apatah lagi kita yang sudah berkeluarga dan punya tanggungan terhadap anak-isteri dan orang tua di kampung. Wanita pun hari ini sama juga tanggungjawabnya, kena bekerja tak kiralah untuk biaya perbelanjaan diri sendiri, untuk membela nasib ibu ayah, juga dan lebih hebat lagi main peranan membantu suami mengukuhkan ekonomi keluarga. Macam-macam kerja dibuat oleh ibu bapa untuk menyara keluarga.
Sewaktu kanak-kanak, saya sering mengikut mak ke pasar. Dari rumah, kami berjalan kaki sahaja sebab pasar tidak sampai setengah kilometer. Dalam perjalanan balik, mak singgah di sebuah rumah. Mak mengambil kunci rumah itu yang disorok di suatu tempat. Tuan rumah tersebut, yang saya kenal siapa orangnya tiada di rumah pada waktu itu tetapi mak masuk lalu menuju ke bilik air. Mak kemudiannya membasuh pakaian yang sudah direndam dalam sebuah besen besar. Saya yang masih belum bersekolah waktu itu berasa pelik mengapa mak basuh baju orang. Tak cukupkah kain baju kami adik-beradik untuk dibasuh maka pakaian orang pun dia nak buat? Rajin sungguh mak, fikir saya waktu itu.
Sehinggalah apabila saya dewasa walaupun saya tak pernah tanya dan mak tak pernah cerita, baharulah saya faham yang mak mengambil upah dengan tuan rumah tersebut sebagai tukang dobi demi membantu abah menambah-nambah duit belanja dapur. Mengenangkan ini selalunya membuat saya sebak.
Abah seorang buruh. Dia pemandu traktor Jabatan Pertanian. Di borang maklumat murid saya ketika hendak diisi pekerjaan bapa, ayah menulis ‘penggerak jentera’ di ruangan tersebut. Saya tidak faham tetapi saya mengagak tugasnya ialah membantu para pekebun dan peladang yang mendapatkan khidmat jabatan tersebut untuk mengerjakan ladang dan kebun mereka. Dengan traktornya dia membajak dan menggembur tanah. Bila balik rumah, pakaian dan badannya pasti comot dengan tanah, selut, atau lumpur kering. Adakalanya abah bawa balik ke rumah traktor itu. Saya cukup seronok memanjat dan duduk di kerusi pemandu. Saya pegang stereng dan mulut saya buat bunyi enjin. Saya belek-belek tayar traktor yang besar itu dengan bangga.
Tidak langsung saya terfikir betapa penatnya abah. Tidak langsung saya tahu apakah sepanjang bekerja itu abah dimaki-hamun atau dimarah? Abah tak pernah bawa balik cerita-cerita hal kerja di rumah. Yang abah bawa balik adalah beras, ikan, dan sayur agar kami tak lapar. Ya kami tak pernah berlapar selama hidup ini.
Dalam menyambut Hari Pekerja pada setiap1 Mei saya sering menganggap ibu bapa kita adalah wira sebenar. Mereka berhadapan bermacam cabaran demi membela nasib kita. Hari Pekerja, dahulu yang saya tahu hanyalah sekadar cuti umum sahaja, dapatlah berehat. Apa latar sejarahnya saya tidak tahu. Apa perjuangan kaum buruh pada kurun ke 19 sehingga kita boleh menikmati cuti pada tarikh 1 Mei itu, saya tak langsung terlintas untuk menggalinya.
Di Malaysia, pengiktirafan terhadap sambutan Hari Pekerja hanya bermula ketika Tun Razak menjadi Perdana Menteri. Sebelum itu, cadangan 1 Mei sebagai cuti umum Hari Pekerja ditolak kerana perjuangan tersebut selalunya dikaitkan dengan haluan kiri walhal ia perjuangan kaum buruh dalam menuntut waktu bekerja lapan jam sehari, bukannya berbelas jam diperah ikut suka hati oleh tauke besar.
Presiden Amerika Syarikat ke-26, Theodore Roosevelt watak yang bertanggungjawab melakukan reformasi ini. Dia menyambut suara kaum pekerja yang memperjuangkan nasib mereka dan mengiktiraf sumbangan kaum buruh kepada dunia. Di Malaysia, pada tanggal 20 Mei 1972, Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail mengumumkan setiap 1 Mei sebagai cuti umum demi meraikan kaum buruh. Lama-kelamaan istilah ‘buruh’ ditukar kepada ‘pekerja’.
Sumbangan buruh kasar atau pekerja bawahan sangat besar tetapi kita tak nampak sebab kita sering melihat yang besar-besar sahaja. Maka itu, tiada penghargaan untuk mereka daripada kita. Apabila kita meletakkan tong sampah di depan rumah, kita tidak pernah bertanya ke mana sampah ini pergi, siapa yang angkat, dan siapa yang bawa. Yang kita tahu, sampah sudah tiada. Kalau dua tiga hari sampah tak diambil, kita akan memekak. Baharulah kita sedar rupanya ada manusia yang buat kerja untuk kelicinan hidup kita.
Selama ini tahu-tahu rumput tepi jalan sudah dipotong, sedar-sedar longkang-longkang keliling taman perumahan telah dibersihkan. Siapa yang menyapu sampah tengah malam di kota Kuala Lumpur, kita peduli apa. Siapa yang menyusun semula ikan-ikan dan sayur-mayur yang kita belek di pasar basah, kita tak ingat. Yang kita tahu, bangun esok hari semuanya sudah sedia untuk kita nikmati.
Peranan kita semua atas dunia ini sama sahaja meskipun berbeza kerjaya. Kita saling memerlukan. Seorang doktor, peguam, guru, ahli politik, wartawan atau seniman dalam perjalanan menuju tempat kerja akan singgah di gerai nasi lemak mak cik, atau makan roti canai mamak. Begitulah rantaiannya. Begitulah dunia bergerak.
Orang yang lulus cemerlang sijilnya akan duduk di kerjaya mengikut kelulusannya. Dia dengan peranannya. Yang berkelulusan rendah pula berkhidmat mengikut kesesuaian posisinya. Tanpa salah satu mereka, kita takkan maju.
Berbalik kepada mak budak yang mengatakan saya ini tak ada kerja di awal tulisan saya tadi, kalau tak bekerja macam mana saya nak bayar sewa rumah, atau nak jelaskan segala bil dan belanja makan-minum anak-anak, kak oi? Saya bukan bomoh tarik duit dan bukan anak hartawan ternama.
Sebenarnya ada di antara kita memang tidak tahu dalam dunia ini wujud pekerja bebas yang tidak terikat dengan mana-mana pihak. Kami mengambil upah daripada mana-mana badan, syarikat atau orang perseorangan yang mahu mendapatkan perkhidmatan kami. Maknanya kami ini peniaga tetapi kami tak menjual barang. Kami gunakan bakat, kemahiran, dan kebolehan serta dibayar mengikut sesebuah projek berdasarkan persetujuan bersama. Itulah kami yang saban bulan berusaha mencari rezeki dengan menggunakan bakat serta kemahiran yang kita ada. Alhamdulillah!
Cuma, di tanahair tercinta kita ini – kerja seni masih dianggap sebagai kerja main-main, kerja mudah sebab dikatakan tidak pakai modal banyak hanya pakai bakat sahaja. Kadang-kadang kena tipu, tak dibayar penuh seperti yang dijanjikan. Justeru, sempena Hari Pekerja ini saya ingin mengajak masyarakat agar mengubah tanggapan mereka yang seperti mak cik jiran saya itu sebaliknya iktiraf kerjaya seperti penulis, pelukis, jurugambar, pereka grafik atau penggiat seni lain juga sebagai sebuah pekerjaan yang berhak dibayar dengan setimpal.
Walaupun tidak makan gaji bulan tetapi ini juga sebuah profesi buat membayar bil dan juga nasi! Ia bukan untuk kami berbangga-bangga dengan mak cik jiran itu tadi sebaliknya ia satu keperluan. Kita semua memerlukan di antara satu salam lain.
Aku hanyalah seorang buruh kasar
Di tengah kota besar turut merasa bangga
Kerana telah berjasa
Kerana tanpa kami
Tak mungkin terlaksana
Sebuah kota yang menjadi impian sezaman
– Senandung Buruh Kasar nyanyian kumpulan Kembara
- FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.