Thursday, May 30, 2024

Alkisah Hang Tuah, Hang Tuha, atau Hang Toh

 

Mohsin Abdullah

Setiap bangsa perlu wira. Begitu juga orang Melayu. Mahukan seorang wira sebagai idol perkasa yang boleh dicontohi untuk menyuntik semangat juang, dijadikan lambang keberanian serta kesetiaan. Maka diangkat Hang Tuah yang dilihat memenuhi kriteria wira. Sememangnya Hang Tuah dikenali sebagi pahlawan Melayu.

Cuma ada yang pertikaikan bab kesetiaaan. Ada dalam kalangan Melayu khususnya golongan muda waktu saya sendiri orang muda dulu kala yang berpendapat Hang Tuah terlalu setia terhadap Sultan Melaka.

Setia lebih-lebih kata mereka, sehingga demi kesetiaan sanggup bunuh sahabat rapat yang mengamuk kerana menentang kezaliman ke atas Hang Tuah sendiri. Saya kira setiap orang Melayu tahu akan kisah Hang Jebat bangkit membela Hang Tuah.

Maka ada dalam kalangan orang muda memilih Hang Jebat sebagai wira kerana berani membela golongan yang dianiayai, juga berani menuntut dan menegakkan keadilan. Sifat itu kata mereka patut dijadikan contoh dan ikutan.

Saya ulangi argument itu berlaku pada waktu saya muda dahulu. Tidak tahu sama ada anak muda zaman ini berdebat atau melontar pertanyaan adakah Hang Tuah atau Hang Jebat wira Melayu? Mungkin anak muda Melayu zaman now tak amik pot.

Mungkin juga mereka tak peduli persoalan adakah Hang Tuah benar-benar wujud? Ini juga kerap ditimbulkan dalam kalangan masyarakat Melayu untuk sekian lama. Ada yang percaya ada yang tidak. Persoalan ini lebih penting dijawab kerana jika jawapannya Hang Tuah benar wujud maka persoalan siapa hero bolehlah diteruskan. Jika tidak wujud maka pertanyaan siapa hero tidak patut timbul in the first place.

Pun begitu cerita Hang Tuah atau perkara yang ada kaitan dengannya sering mendapat perhatian umum sehingga ke hari ini. Umpamanya kisah kerisnya. Bukan hanya pasal Taming Sari. Tak perlulah saya jelas apa itu Taming Sari. Umum sudah maklum. Ini cerita keris lain.

Pada 21 Mei lalu, FMT melaporkan kerajaan Melaka menerima dua artifak iaitu keris sundang dan sepasang keris hukum dipercayai kepunyaan Hang Tuah yang diwarisi turun temurun sejak kira-kira 600 tahun lepas.

Menurut Ab Rauf Yusoh, ketua menteri Melaka, artifak berkenaan diterima daripada seorang yang bernama Tun Muhammad Amin Ahmad yang dikatakan waris ke-11 Hang Tuah yang berasal dari Bintan, di Kepulauan Riau, Indonesia.

Saya tidak berhasrat mengulangi huraian yang disampaikan Ab Rauf mengenai keris itu. Cuma memetiknya berkata dua artifak itu bakal menjadi tarikan pada pameran Hang Tuah yang akan diadakan bulan depan.

Kata Ab Rauf, beberapa artifak yang menurutnya peninggalan sejarah Hang Tuah dari Jepun, India, dan Turki akan turut dipamerkan. Semua artifak itu kata beliau untuk tatapan rakyat khususnya generasi muda.

Tetapi menurut laporan MalaysiaNow 24 Mei lalu, pameran anjuran kerajaan Melaka itu untuk meraikan Hang Tuah membuka kembali perdebatan lama mengenai kewujudan pahlawan Melayu itu selepas kemunculan dua keris yang dikatakan tadi yakni milik Hang Tuah.

Portal itu melaporkan pakar sejarah “mempertikaikan kewujudan keris yang diserahkan kepada ketua menteri Melaka” sambil memetik Ahmat Adam yang mendalami kajian mengenai watak Hang Tuah berkata sumber sejarah tidak pernah merakamkan mengenai senjata yang dikaitkan dengan mana-mana pahlawan silam Melayu.

Ahmat dilapor menerbit sekurang-kurangnya dua buku hasil kajiannya mengenai Hang Tuah. Beliau dipetik berkata nama ‘Hang Tuah’ itu sendiri disalah baca dan ungkapan sebenar menurutnya adalah ‘Hang Tuha’ atau ‘Hang Toh’. Menurut bukunya “Hikayat Hang Tuha”, Hang Tuha merupakan gelaran dan bukan nama sebenar seorang laksamana disebabkan pantang larang Melayu tidak membenarkan nama pembesar disebut kecuali nama gelarannya.

“Dalam ungkapan nama gelar Hang Tuha atau Hang Toh, ia adalah deskripsi bagi Laksamana Melaka yang namanya tidak diketahui,” kata Ahmat yang juga percaya watak Hang Tuah merupakan mitos semata-mata.

Kata ketua menteri Melaka pula, penyelidik dari University Islam Melaka, Universiti Malaya, dan Universiti Putra Malaysia mengkaji pelbagai sumber mengenai Hang Tuah sebagai persediaan untuk pameran Jun ini. Katanya sepuluh penyelidik serta pakar sejarah dilantik untuk melengkapkan kajian penyelidikan mengukuhkan kewujudan Hang Tuah menerusi sumber baharu.

Yang jelas bila disebut Hang Tuah pertikaian dan kontroversi tercetus. Pernah terjadi dahulu dan sedang terjadi sekarang.

Selain Taming Sari, kegagahan dan kecekapan bersilat serta bijak bermuslihat (memikat Tun Teja untuk menjadi isteri Sultan Melaka antara contoh), Hang Tuah bagi mereka yang percaya pahlawan Melaka itu benar wujud, dikenali juga dengan kata-kata ‘tidak Melayu hilang di dunia’. Kata-kata itu disanjung masyarakat Melayu dan digunakan bagai azimat dalam menghadapi apa juga cabaran pada apa juga waktu dan ketika.

Pun begitu yang pasti polemik mengenai Hang Tuah sendiri tidak akan hilang, kalau tidak di dunia, setidak-tidaknya di negara ini dalam kalangan orang Melayu. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.