PETALING JAYA: Seorang pemimpin Parti Pesaka Bumiputera (PBB) menggesa rakan-rakan segabungan jangan ganggu amalan semasa berkait kerusi pilihan raya.
Naib Presiden Abdul Karim Rahman Hamzah berkata parti lain tidak perlu mencuba mengambil sesuatu kawasan yang merupakan kubu kuat rakannya dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan menggesa amalan itu dipertahankan.
“Jika kita benarkan, terdapat kebarangkalian tinggi kita tidak mungkin dapat kawal keadaan apabila parti-parti luar, parti-parti besar, parti-parti nasional, juga bertanding,” katanya, lapor Borneo Post.
Karim mengulas komen Presiden Parti Demokratik Progresif, Tiong King Sing, yang berkata tidak ada istilah sebarang kerusi milik parti asal, sebaliknya ia perlu dikembalikan kepada pengundi yang menentukan calon.
Menurut hujah Tiong itu, PDP juga harus bersedia mempertahankan kerusinya daripada parti komponen GPS yang lain, kata Karim.
“Kalau itu yang kamu mahu, ini bermakna kamu boleh tanding kawasan saya dan kami boleh bertanding kawasan kamu,” katanya.
Karim berkata GPS akan memanfaatkan pengalamannya dalam rundingan kerusi terdahulu untuk mencapai suatu penyelesaian yang baik.
Beliau juga mempertahankan amalan semasa yang digunapakai selama bertahun-tahun.
“Kenapa perlu ganggu? Apabila kita gangguan amalan itu, pada penghujungnya rakyat akan rugi apabila berlaku perpecahan. Kita tidak mahu keadaan itu berlaku,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.