Wednesday, May 1, 2024

SJK bukan seperti pertubuhan haram, Nik Nazmi beritahu Fadhli

 

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mencabar Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan pemimpin PN yang menghantar anak mereka ke sekolah antarabangsa tidak menggunakan silibus dan peperiksaan kebangsaan.

HULU SELANGOR: Kerajaan persekutuan sentiasa komited dalam memperkasakan sekolah kebangsaan (SK), namun pilihan aliran pendidikan untuk anak merupakan hak ibu bapa, kata Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, terdapat peningkatan kemasukan pelajar Melayu ke sekolah jenis kebangsaan (SJK), termasuk di Kelantan.

Justeru, katanya, tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mencabar calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao menyatakan latar belakang pendidikan rendah dan menengahnya tidak sepatutnya berlaku.

“Adakah Fadhli percaya pelajar lepasan SJK tidak boleh menjadi wakil rakyat? Belajar di SJK bukanlah seperti menyertai pertubuhan haram kerana SJK diiktiraf oleh Perlembagaan dan mengambil peperiksaan kebangsaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menteri sumber asli dan kelestarian alam itu berkata, daripada mengecam SJK, lebih baik Fadhli bertanya anak-anak pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang bersekolah di sekolah antarabangsa yang tidak menggunakan silibus dan peperiksaan kebangsaan.

Pang, 31, yang dipertaruhkan mewakili kerajaan perpaduan bagi PRK Kuala Kubu Baharu mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), masing-masing dalam semua mata pelajaran.

Keputusan akademik itu dikongsikan Pang melalui Facebook kelmarin bagi menjawab cabaran Fadhli.

Pada PRK 11 Mei ini, Pang berdepan tiga pencabar, iaitu Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (bebas).

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu akibat kanser. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.