Thursday, June 27, 2024

Bersatu sedia pertaruh Annuar, Tok Pa di Gua Musang, Jeli

 

annuar musa n mustapa
Bersatu Kelantan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti dan PN untuk membuat keputusan, jika PRK diadakan kelak serta ada cadangan mencalonkan Annuar Musa (kiri) dan Mustapa Mohamed (kanan) bertanding di kerusi Gua Musang serta Jeli.

PETALING JAYA: Bersatu Kelantan sedia memberi laluan kepada ahli politik berpengaruh, termasuk Annuar Musa dan Mustapa Mohamed bertanding di Parlimen Gua Musang serta Jeli, jika PRK diadakan kelak.

Ketua Bersatu Kelantan Kamaruddin Md Noor berkata langkah menghantar dua ahli politik itu ke Dewan Rakyat bagaimanapun perlu mendapat persetujuan pucuk pimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu.

“Kita serah kepada pucuk pimpinan untuk buat keputusan muktamad, jika ada cadangan (calonkan Annuar dan Mustapa).

“Perbincangan dibuat peringkat atas kita (Bersatu Kelantan) menerima apa saja keputusan, selepas peringkat akar umbi memberi maklum balas kerana yang lebih penting kemenangan untuk Bersatu dan PN,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bekas Adun Nenggiri, Azizi Abu Naim, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, mendapatkan injunksi sementara untuk menghentikan PRK bagi kerusi DUN itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan pelaksanaan PRK DUN Nenggiri.

Selain Azizi, lima Ahli Parlimen yang turut dihentikan keahlian Bersatu kerana menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ialah Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Adun Selat Klang, Abdul Rashid Asari pula menyokong Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Semuanya gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Annuar ialah bekas Ahli Parlimen Ketereh selama tiga penggal, manakala Mustapa lebih dikenali sebagai Tok Pa pula memenangi kerusi Parlimen Jeli sejak 1995, sebelum menarik diri daripada bertanding pada PRU15.

Kamaruddin yang juga Adun Ayer Lanas berkata, Bersatu sedia mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang, Jeli dan DUN Nenggiri jika PRK diadakan selepas wakil rakyatnya menyuarakan sokongan kepada Anwar.

“Kita yakin mampu mempertahankan ketiga-tiga kawasan ini dan ada calon sesuai memandangkan kerjasama dan persefahaman Bersatu, PAS di Kelantan cukup baik dan kita boleh mengulangi persefahaman ini dalam PRK nanti.”

Katanya, Bersatu sudah melantik wakilnya untuk menjalankan tugas Adun bayangan selepas siri pengkhianatan wakil rakyatnya dalam membela nasib rakyat di Gua Musang, Jeli dan Nenggiri. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.