Tuesday, June 25, 2024

Rakyat lawan Anwar demi negara atau ‘viewers’?

 

tajuddin rasdi

Diberitakan bahawa suatu demonstrasi dinamakan ‘Rakyat lawan Anwar’ akan diadakan di hadapan Seri Perdana pada 29 Jun ini. Saya mempunyai tujuh soalan terhadap objektif dan motif demonstrasi ini. Saya harap pembaca menimbang soalan ini dengan baik sebelum berpanas untuk menghadiri demonstrasi tersebut.

Soalan pertama saya adalah kenapa demonstrasi ini dinamakan ‘Rakyat lawan Anwar’? Bagi saya yang berusia 62 tahun, saya telah banyak mengikuti demonstrasi reformasi, Bersih dan GERAK dua atau tiga dekad lalu. Saya juga telah membaca banyak lagi demonstrasi seperti demonstrasi Baling diketuai Anwar memperjuangkan nasib petani dan pekebun Melayu. Yang jelasnya semua tunjuk perasaan itu mempunyai topik jelas tentang reformasi institusi, tentang keadilan terhadap penindasan pelbagai. Tidak pernah pula ada ‘Rakyat lawan Mahathir’ atau ‘Rakyat lawan Najib’. Kalau ada pun ia akan ditujukan khusus kepada kerajaan Barisan Nasional. Kenapa perhimpunan ini khusus kepada peribadi Anwar Ibrahim? Tak pelikkah ini?

Soalan kedua, kenapa perhimpunan ini dianjurkan tiga orang ‘influencer’? Kenapa ia tidak dianjurkan bersama NGO dan parti pembangkang? Adakah ‘influencer’ ini membuat perhimpunan demi kebaikan negara atau hanya untuk menambah ‘viewers’ dan ‘subscribers’ mereka? Kenapa ‘influencer’ ini tidak bergerak bersama pihak lain? Kalau ‘influencer’ ini telah mencuba untuk mendapatkan kerjasama NGO lain dan tidak berjaya, maka saya faham dan terima bahawa mereka bertiga berbuat demikian atas dasar ‘kebertanggungjawaban’ individu sebagai rakyat Malaysia. Tetapi sefaham saya perhimpunan ini timbul terburu-buru tanpa usaha lain yang lebih besar dan bermakna.

Soalan ketiga, kenapa ketiga-tiga ‘influencer’ ini adalah orang Melayu? Sefaham saya ada ramai ‘influencer’ bukan Melayu dalam alam YouTube. Kenapa mereka ini tidak diajak bersama? Ada ‘influencer’ Cina, Melayu, India dan ramai lagi. Kenapa Melayu bertiga ini? Adakah tiga ‘influencer’ Melayu ini menjadi ‘proxy’ parti pembangkang yang semuanya Melayu? Ini satu soalan yang cukup penting. Walaupun ‘influencer’ semuanya menafikan mereka mendapat dana atau pembiayaan mana-mana pihak, saya kurang yakin dengan penjelasan tersebut. Beranikah kita untuk berdemonstrasi dan memikul risiko buang kerja kalau ada tindakan polis? Terus terang cakap, saya tak berani sebab saya ada tanggungan dan reputasi kerjaya. Mungkin ‘influencer’ ini tak ada tanggungan dan tak ada kerja tetap maka situasi mereka berbeza daripada kita semua yang ada kerja ada gaji, tak ada kerja tak ada gaji. YouTube tak kisah kita ada kerja atau tidak, janji ada beribu ‘viewers’ dan ‘subscribers’ yang bertambah-tambah sebab isu populis maka pembina ‘content’ dapat duit.

Soalan keempat, adakah ketiga-tiga ‘influencer’ ini pernah membuat kerja kebajikan yang bermakna untuk rakyat? Atau ketiga-tiga mereka tiba-tiba menjelma ‘out of nowhere’ dan jadi popular dalam sekejap masa? Kalau mereka bertiga ini adalah tokoh NGO atau pengamal kebajikan maka mungkin niat mereka boleh dikatakan murni dengan kesinambungan kegiatan kebajikan masing-masing. Adakah mereka ini individu hebat berkebajikan?

Soalan kelima kenapa ‘influencer’ ini menuduh polis bertindak tidak adil memanggil mereka bertiga untuk disoal siasat. Sefaham saya kalau kita buat perjumpaan atau perhimpunan dalam bangunan maka ia tak ada masalah kalau kita tak beritahu polis. Tetapi jika kita berkumpul dengan ramai di luar yang mengancam laluan trafik dan ketenteraman awam maka kita kena bagi notis dan menunjukkan bagaimana perhimpunan kita tidak mengancam orang ramai dan juga laluan kenderaan. Jangan tuduh semberono. Dosa kalau berbuat demikian.

Soalan keenam, apakah penyelesaian terhadap isu dibangkitkan oleh perhimpunan ‘Rakyat lawan Anwar’ ini? Dalam setiap penulisan saya mengkritik pihak kerajaan BN atau perpaduan, saya bersedia dengan ‘blueprint’ penyelesaian saya sendiri. Walau saya mengkritik dasar pendidikan, isu agama atau isu perpaduan siap dengan butiran penyelesaian saya. Saya nak tanya, penganjur bertiga ini ada ke tidak ‘blueprint’ mereka? Kalau kita asyik komplen atau mengadu ini tak kena itu tak kena, maka itu apanya yang kena? Bagi tahulah. Jangan bagi tahu objektif tetapi tak ada metodologi penyelesaian yang terbaik. Nak habiskan hutang negara yang trilion tu macam mana?

Soalan terakhir adalah, di mana geng ‘influencer’ ini waktu gamat bendera putih? Kenapa tak ada perhimpunan ‘Rakyat lawan Muhyiddin’ atau ‘Rakyat lawan Ismail’ sewaktu rakyat sesak tak ada bantuan dan Muhyiddin mencabut kebebasan rakyat dengan deklarasi darurat yang haram sampai ke sudah? Di mana demi negara yang dilaungkan penganjur bertiga ini?

Saya harap rakyat Malaysia dapat meneliti ketujuh-tujuh soalan ini sebelum menempah tikar dan hamparan untuk berhimpun beramai-ramai. Adakah benar-benar ia demi negara atau sekadar demi ‘viewers’ semata-mata. FMT 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.