Saturday, June 1, 2024

Susah senang jadi Anwar

 

hishamuddin-aun

Teringat sewaktu Abdullah Ahmad aka Dollah Kok Lanas (DKL) baru dilantik sebagai ketua pengarang Kumpulan The New Straits Times (Press) Malaysia Berhad (NSTP) pada 2002, beliau memberitahu satu perhimpunan staf bahawa sesiapa sahaja boleh menegurnya jika dirasakan ada yang tidak kena.

“Saya dah lama dalam politik, jadi kulit (muka) saya tebal… lebih tebal daripada kamu semua. Saya sedia dengar sebarang sungutan,” katanya selepas pelantikannya yang menyusuli pengalaman selaku Ahli Parlimen dari 1974, bekas timbalan menteri, bekas setiausaha politik perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein, merengkok di penjara selama lima tahun di bawah ISA dari 1976 dan duta khas ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama dua tahun.

Tapi siapalah yang berani menegurnya sepanjang khidmat kira-kira 18 bulannya di NSTP yang diingati kerana ketegasannya dalam soal disiplin dan menggalakkan kecemerlangan di samping perkongsian dan komentar sinisnya menerusi kolum mingguannya dalam akhbar NST dan Berita Minggu.

Mengambil sempena apa yang pernah diungkapkan oleh DKL itu, rasanya tidak salah untuk beranggapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga berkulit tebal. Latar belakangnya juga tiada kurangnya dengan pernah menjadi timbalan perdana menteri, dua kali dipenjarakan dengan kali kedua itu mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong, dan akhirnya diangkat sebagai pemimpin nombor satu negara pada 24 Nov 2022.

Cuma, dibandingkan dengan DKL yang tiada staf berani menegur, Anwar pula terlalu ramai yang memberi teguran dek khalayak yang jauh lebih besar dipimpinnya, hingga seolah-olah apa saja yang dilakukan atau diucapkannya serba tak kena kepada sesetengah orang. Berdiam diri dan enggan mengulas dengan niat untuk tidak menghangatkan sesuatu keadaan juga, beliau dihentam. Sama juga jika perdana menteri membuka mulut, lagi kuatlah hentaman diterimanya.

Kita tidak berada di tempat Anwar untuk mengetahui apa yang difikirkannya, apa yang menjadi pertimbangannya untuk membuat sesuatu ulasan atau apa yang jadi keutamaannya hingga beliau pada ketika tertentu memilih untuk berdiam diri atau mengalihkan kepada orang atau pihak lain untuk memberikan komen. Itu semua prerogatifnya tanpa sesiapa boleh memaksa.

Tidak usah toleh terlalu jauh. Sepanjang dua bulan lalu sahaja, Anwar dihujani pelbagai persoalan berkisar ‘titah tambahan’ untuk Najib Razak menjalani tahanan di rumah, keperluan untuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera untuk latihan khusus bidang kardiotoraks, pemberian kontrak kepada suami seorang menteri hinggalah kepada reformasi dijanjikannya sebelum PRU15 yang terus jadi tuntutan.

Adakah jawapan Anwar sekadar menyatakan fakta dapat diterima? Tidak, kerana mereka yang mempersoalkan mahu lebih lagi. Barangkali juga mereka mengharapkan perdana menteri memberi jawapan tidak cermat dengan tujuan memerangkapnya dengan kontroversi berlarutan. Tapi mereka lupa Anwar yang kali terakhir jadi ketua pembangkang dari 2020-2022 lebih licik.

Menjawab soalan mengenai ‘titah tambahan’ berkaitan tahanan di rumah buat Najib, perdana menteri menegaskan enggan terbabit dalam perbincangan hal berkenaan kerana ia bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong. Pendirian kerajaan mengenai semua urusan berkaitan Majlis Raja-Raja tidak boleh dicabar, tambahnya, kekal sejak negara merdeka pada 1957.

“Aneh, luar biasa bila perdana menteri ditanya tentang (titah) adendum pengampunan Najib, dia kata dia tak tahu. Bagaimana perdana menteri Malaysia tak tahu (berkenaannya)? Jika (memang) perdana menteri tak tahu, bermakna dia memang betul bodoh,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin. Sepanjang jadi perdana menteri kelapan dari 2020-2021, rasanya Muhyiddin sendiri tidak pernah dapat reaksi selancang itu tapi Anwar tidak pun menunjukkan tanda terkesan.

Sama juga dengan isu panas permintaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) supaya UiTM membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera untuk latihan khusus bidang kardiotoraks — sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa. Cadangan itu menerima kritikan termasuk mahasiswa UiTM yang mengadakan protes baju hitam dan alumni dengan alasan universiti itu hanya untuk Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kata Anwar, isu berhubung latihan ijazah lanjutan kepakaran atau parallel pathway akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet — menyusuli kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir bahawa isu berkenaan sengaja dimainkan pihak tertentu.

Dilihat paling mengujinya ialah isu pemberian kontrak pengangkutan kepada Asia Mobiliti Technologies Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki tidak melihat sebarang kesalahan berhubung pemberian kontrak inisiatif Mobiliti Selangor kepada Asia Mobiliti kerana ia bukan diberikan oleh kementerian Yeoh.

“Yang itu, serah kepada pihak berkuasa. Kalau ada laporan, siasatannya patut telus. Dan patut ada penjelasan. Apa prosesnya? (Ini) patut dianggap satu kes biasa yang patut disiasat,” katanya.

FMT semalam melaporkan secara serentak dua perkembangan positif membabitkan Anwar. Yang pertama, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan perdana menteri menunjukkan prestasi ‘agak baik’ walaupun berdepan cabaran besar dalam menguruskan ekonomi negara. Pada masa sama, ahli ekonomi mempertahankan perutusan khas Anwar minggu lalu di mana beliau menyentuh mengenai subsidi diesel bersasar yang menjimatkan perbelanjaan negara RM4 bilion setahun.

Ku Li, yang prihatin masalah utama Anwar terletak pada ekonomi yang terkesan akibat penyusutan nilai ringgit dan kenaikan inflasi, turut menegur agenda ‘Reformasi’ yang dijuarainya ketika mengetuai pembangkang sebelum PRU15 didapati perlahan dalam pelaksanaannya.

Ini bagaimanapun sudah dijawab Anwar ketika menyampaikan amanat sempena Konvensyen 25 Tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam 21 April lalu bahawa kerajaan perlu bertindak secara bijaksana dan tidak gopoh dalam merealisasikan perubahan agar tidak mengorbankan kepentingan jangka panjang. Tidak pernah berkompromi soal perjuangan reformasi yang menjadi identiti PKR, perdana menteri berkata ia sedang berjalan, antaranya Malaysia sudah punyai badan kehakiman dan penguatkuasa yang bebas daripada campur tangan politik.

Kepada kritikan Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin bahawa perutusan khas perdana menteri minggu lalu mengenai subsidi diesel bersasar tidak melegakan rakyat yang mahu tahu bila ia akan dikuatkuasakan, jawapan Anwar ringkas dan tegas. Katanya, subsidi itu bertujuan untuk menarik balik subsidi kepada warga asing dan golongan kaya.

Ahli ekonomi mengalu-alukan perutusannya sebagai cuba membina keyakinan rakyat dengan menerangkan manfaat yang bakal diterima negara daripada inisiatif itu. Selain kerajaan dapat membuat penjimatan menerusi rasionalisasi, kebanyakan rakyat kekal tidak terjejas — sama seperti subsidi bersasar untuk air dan elektrik — malah kumpulan rentan akan tetap menerima sokongan kerajaan.

Ini dituruti penjelasan Anwar pada 26 Mei bahawa perutusannya minggu lalu hanya memberi gambaran dan kerangka besar berkaitan pelaksanaan inisiatif dilakukan kerajaan. Segala perincian termasuk berkaitan mekanisme penyelarasan subsidi diesel secara bersasar akan dijelaskan oleh Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dalam masa terdekat.

“Ada orang tanya mengapa semua perdana menteri lakukan. Saya beri gambaran, kerangka besar, kemudian akan ada tindakan susulan. Sebab itu saya beritahu antara dasar dan ‘titik bengik’. Ada yang tidak faham padahal dalam Kamus Dewan ada,” katanya.

Memang sesetengah pihak yang sengaja hendak menimbulkan isu tidak akan pernah faham tapi kesudahannya terserah kepada Anwar untuk memilih cara susah atau senang terhadap mereka. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.