Wednesday, July 24, 2024

2 ditahan bantu siasatan pencemaran bau, henti bekalan air

 

handcuff
Jabatan Alam Sekitar mengeluarkan arahan kepada pengusaha premis untuk kerja pembersihan dalam premis, kawasan longkang dan anak sungai terjejas, yang selesai petang semalam oleh kontraktor dilesenkan.

PETALING JAYA
Dua ditahan bagi membantu siasatan pencemaran bau dan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP 1), SSP2 dan SSP3 semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata hasil pemeriksaan mendapati pencemaran bau itu akibat kebocoran bahan kimia Poly Metha Acrylic Acid (PMAA) dari tangki penstoran, iaitu produk berbentuk cecair dihasilkan sebuah premis.

Menurutnya, JAS mengeluarkan arahan serta-merta kepada pengusaha premis untuk kerja pembersihan dalam premis, kawasan longkang dan anak sungai terjejas, yang selesai petang semalam oleh kontraktor dilesenkannya.

Beliau berkata, kawasan operasi premis dan peralatan kelengkapan disita JAS melalui notis dikeluarkan bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sehingga siasatan selesai.

Tiga sampel bahan bukti diambil dan dikemukakan ke Jabatan Kimia (JKM) untuk ujian penentuan komposisi serta pemadanan,
 katanya menurut Harian Metro.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024) yang memperuntukkan hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun dan denda sehingga RM10 juta, jika sabit kesalahan mencemar sungai.

Pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah menyebabkan henti tugas empat LRA dan ratusan kawasan di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor berdepan gangguan bekalan air.

Wan Abdul Latiff berkata, JAS sudah menyiasat sebuah premis disyaki memproses bahan akrilik di kawasan perindustrian Jalan Kampung Orang Asli, Kuang, Rawang.

Menurutnya, tumpahan produk itu melimpah ke longkang premis bersebelahan hingga ke longkang jalan besar dan Sungai Kuang.

Aliran Sungai Kuang akan memasuki Sungai Kundang, kemudiannya ke Sungai Sembah dan seterusnya memasuki Sungai Selangor. Kebocoran bahan kimia itu menyebabkan pelepasan bau kerana ciri bahan kimia PMAA yang berbau kuat dan tengit.

Katanya, JAS komited menangani sebarang isu pencemaran dan orang ramai diminta melaporkan aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.