Monday, July 22, 2024

100-million-ringgit man

 

hishamuddin-aun“Yang enam orang tu (bekas Ahli Parlimen Bersatu menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim) pindah kerana (nak dapat) peruntukan. Saya pindah untuk memilih susah bersama rakyat,” kata Jailani Khamis dalam sidang media di Parlimen pada 16 Julai bagi mengumumkan keanggotaannya sebagai ahli PAS. Susah yang dicarinya, susahlah yang akan dapat.

Disambut laungan takbir oleh Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang menyertainya di rostrum ketika itu, bekas Adun Rembia dari Umno itu menyambung: 

Kalau rakyat sekarang susah dengan dasar-dasar menekan (oleh) kerajaan, ini kita bersama-sama susah sama susah, senang sama senang.

Bersemangat ucapan ringkasnya ketika sidang media oleh Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengumumkan Jailani – digantung keahlian Umno selama enam tahun – diterima menyertai PAS pada 10 Jun tahun lalu. Oleh kerana penyertaannya dalam PAS sebelum undang-undang antilompat parti diluluskan DUN Melaka pada 31 Julai 2023, maka kerusi DUNnya didakwa tidak perlu dikosongkan.

Ditanya mengapa keahlian Jailani dalam PAS diumumkan setahun kemudian, Takiyuddin berkata ia adalah 

strategi
 parti itu dengan mengambil kira enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong perdana menteri – Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) – tidak dikosongkan kerusi mereka di Dewan Rakyat.

Sekali imbas ia bermaksud PN terlepas enam kerusi Parlimen dan mendapat satu kerusi DUN sebagai ganti. Barangkali itu yang dimaksudkan Takiyuddin sebagai 

strategi
 di sebalik penambahan satu kerusi pembangkang kepada tiga tidak pun mengurangkan majoriti 2/3 kerajaan pimpinan Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh di DUN Melaka.

Pengumuman itu menjadi penamat kepada satu teka-teki yang panjang membabitkan Jailani sejak beliau menghadiri majlis pengumuman calon PN bagi PRK DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor pada 23 Ogos tahun lalu. Mendakwa mewakili Muafakat Nasional (MN) dan bukan atas kapasiti Adun Umno dalam majlis itu, Jailani menolak ia adalah sabotaj kepada Umno.

Dihadapkan ke Lembaga Disiplin Umno hasil satu surat tunjuk sebab kepadanya, Jailani sebaliknya meminta dipecat parti atas alasan ia tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan Melaka yang masih memiliki majoriti walaupun kehilangan satu kerusi. Umno yang seakan-akan dapat mengagak niatnya untuk berpindah parti kemudian menggantungnya enam tahun.

Sebagai latar belakang, Jailani bertanding kerusi DUN Rembia atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada PRU14, namun beliau kembali ke pangkuan Umno pada 2021 selepas meninggalkan parti itu pada 2016. Beliau bersama beberapa Adun PH ketika itu membuat keputusan menyertai kerajaan Melaka pimpinan PN, sekali gus menyebabkan kerajaan negeri diterajui PH tumbang.

Jailani kemudian menjadi wakil rakyat bebas selepas dilucutkan keahlian PKR sebelum mengumumkan secara rasmi menyertai Umno. Beliau kemudian mempertahankan kerusi Rembia atas tiket BN pada PRN 2021 selepas menewaskan empat pencabar dengan majoriti 860 undi. Bagaimanapun, Jailani mengumumkan tidak menyokong pentadbiran Rauf pada 2023 dan dilihat menghadiri program PN.

Selepas arena politik negara memiliki seorang 

10-million-ringgit woman
 selepas bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu pada Februari 2020, kini Jailani pula bersiap sedia diangkat sebagai 
100-million-ringgit man
 berikutan penyertaannya dalam PAS.

Pada 23 Jun 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Zuraida membayar RM10 juta kepada PKR kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu. Ia susulan saman difailkan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail pada 28 Sept 2020 untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida yang telah menandatangani bon RM10 juta berdasarkan terma dan syarat ditetapkan.

Hakim Akhtar Tahir membenarkan saman PKR itu selepas mendapati bon tersebut merupakan kontrak yang sah dan mengikat sambil menolak hujah Zuraida bahawa beliau menandatangani bon itu dalam keadaan dures atau paksaan sebagai tidak berasas. 

Bukti menunjukkan beliau menandatangani bon itu dengan pengetahuan penuh mengenai kandungannya dan menandatanganinya secara sukarela yang beliau mahu bertanding dalam pilihan raya itu atas tiket PKR,
 katanya. Zuraida telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Menyusuli pengumuman mengenai penyertaan Jailani dalam PAS, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengingatkan Adun Rembia itu akan keperluan membayar RM100 juta kerana melanggar perjanjian ditandatangani ketika menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka.

Jailani mungkin terlupa semua calon BN ada menandatangani perjanjian ketika ingin menjadi calon pilihan raya lepas, iaitu seseorang akan didenda RM100 juta jika lompat parti. Jadi, nasihat saya dah boleh sedia duit bayar denda dan lawan PRK Rembia (jika ada),
 kata Akmal yang turut mempersoalkan tindakan PAS menerimanya selepas membantah keputusan speaker Dewan Rakyat mengekalkan kedudukan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong perdana menteri.

Lupa tidak boleh dijadikan alasan oleh Jailani yang harus memikirkan buruk baiknya sebelum membuat keputusan berpindah parti. Benar seperti diumumkan oleh Takiyuddin bahawa penyertaannya dalam PAS sebelum undang-undang antilompat parti diluluskan DUN Melaka pada 31 Julai tahun lalu tetapi perjanjian ditandatanganinya ketika menjadi calon BN adalah sejurus sebelum PRN Melaka pada 20 Nov 2021.

Kelmarin, Rauf mengesahkan bahawa mengikut aku janji itu, Jailani perlu menanggung kos ganti rugi wang yang dibelanjakan kepada calon atas nama parti dengan jumlah kos yang munasabah.

Beliau tandatangani dan bersetuju untuk tanggung kos (parti) jadikan beliau sebagai wakil rakyat sekiranya beralih kepada parti lain. Aku janji ini ditandatangani semua wakil rakyat. Selepas perjanjian (aku janji) ini dipersetujui, barulah parti beri watikah untuk jadi calon BN,
 kata Rauf yang bagaimanapun menambah amaun ganti rugi yang akan dituntut belum boleh didedahkan lagi kerana akan diteliti dari sudut perundangan dan dibawa kepada pimpinan tertinggi parti.

Kelmarin, Jailani turut dilaporkan mendakwa keputusannya menyertai PAS kerana BN gagal melaksanakan manifesto yang dijanjikan pada PRN Melaka 2021. Sambil menekankan beliau tidak sanggup 

berbohong
 kepada rakyat yang mengundi BN berpandukan manifesto itu, Jailani mempersoalkan bagaimana beliau nak sehaluan dengan kerajaan sedangkan manifesto dimungkiri. Tetapi itu juga tidak melepaskannya daripada tanggungjawab mematuhi aku janjinya ketika menjadi calon BN.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan bukti jelas Jailani menandatangani perjanjian RM100 juta sebelum bertanding PRN Melaka. Ia katanya sekali gus menafikan dakwaan Jailani tidak terikat sebarang perjanjian dengan Umno apabila menyertai PAS. Malah, Jailani turut membuat akuan bersumpah dan bukti jelas antaranya dia perlu membayar balik kepada BN sebanyak RM100 juta jika melanggar perjanjian.

Bukan Jailani sahaja, tetapi semua calon BN dari Umno, MCA dan MIC menandatangani perjanjian sebelum bertanding PRN dan PRU. Ini adalah salinan asli yang telah pun dimatikan setemnya bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di mana ditandatangani pesuruhjaya sumpah dan disaksikan oleh saksi-saksi. Ini tandatangan Jailani paling jelas sekali,
 kata Asyraf yang menunjukkan dokumen berkaitan.

Soal ganti rugi? Saya akan bercakap bila waktunya tiba,
 kata Jailani dalam reaksi ringkas kerana telah dinasihati tidak menjawab persoalan mengenai perkara itu. Dalam pada itu, beliau harus sedar Umno tidak berolok-olok mahu mengambil tindakan mahkamah ke atasnya sebagai ingatan kepada wakil rakyat parti itu yang lain demi mengelakkan maruah parti itu daripada diperkotak-katikkan.- FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.