Tuesday, July 23, 2024

Gerak tuntut peranan KPT di institusi awam dikendur

 

Free Malaysia Today
Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) mahu diubah sistem subordinasi politik yang sedia wujud kepada hubungan lebih menghormati dan berinteraksi secara kritikal. (Gambar fail)

PETALING JAYA
Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) menyerahkan memorandum mengandungi enam cadangan pembaharuan pendidikan tinggi kepada Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir di Putrajaya.

Dalam kenyataan, NGO kumpulan akademik itu berkata, antara cadangan dikemukakan adalah peruntukan khas menjalankan kajian menyeluruh dan bebas mengenai keadaan sektor pendidikan tinggi, selain mendesak pentadbiran universiti distruktur semula.

“Langkah ini adalah permulaan penting ke arah pembaharuan pendidikan. Sudah terlalu lama, universiti di Malaysia berada di bawah pengaruh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Hubungan ini perlu diubah dari sistem subordinasi politik yang sedia wujud kepada hubungan yang lebih menghormati dan berinteraksi secara kritikal,
 menurut ahli jawatankuasa Gerak.

Menurutnya, peranan Jawatankuasa Pencarian Nasional juga perlu dihidupkan semula bagi memastikan ketelusan dalam proses pelantikan jawatan seperti naib canselor, timbalan naib canselor, pengerusi, dan lembaga pengarah baharu.

Cadangan seterusnya adalah pindaan dan pemansuhan undang-undang menyekat kebebasan akademik termasuk Akta 605 serta Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

“Hanya melalui pindaan Akta 605, kakitangan akademik dapat bebas untuk berpartisipasi dalam kehidupan akademia tanpa takut dikenakan tindakan tatatertib oleh perkhidmatan awam.

Akta Auku juga memberi kesan negatif terhadap kecemerlangan akademik kerana ia menghalang pemikiran analitik dan bebas yang penting untuk menghasilkan pengetahuan baharu dan kesarjanaan objektif,
 katanya.

Selain itu, Gerak meminta kerajaan mengkaji semula kebergantungan universiti tempatan terhadap sistem penarafan universiti antarabangsa, sambil mencadangkan kaedah penilaian alternatif yang bersifat kualitatif untuk menilai universiti tempatan.

Gerak juga mahu kerajaan menangani amalan paksaan pengarang bersama dalam artikel penyelidikan antara penyelia pelajar PhD dan siswa, yang disifatkan satu bentuk eksploitasi terhadap pelajar.

Terakhir, NGO itu turut mencadangkan sistem kehadiran dihapuskan, kerana amalan berkenaan tidak sesuai dilaksanakan dalam profesion pensyarah kerana keterlibatan mereka dalam menjalankan penyelidikan memerlukan masa fleksibel. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.