Tuesday, July 9, 2024

Penyertaan dalam BRICS beri manfaat kepada syarikat, ekonomi negara, kata Anwar

 

Free Malaysia Today
Bulan lalu, Malaysia telah menyatakan hasrat untuk menyertai kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan). (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Penyertaan Malaysia dalam anggota kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) diyakini memberi manfaat kepada syarikat dan ekonomi negara, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ini kerana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara anggota cecah AS$26.6 trilion iaitu 26.2% daripada KDNK dunia.

“Maka kalau kita membuka jalur ini kita yakin beri manfaat untuk syarikat-syarikat dan ekonomi negara kita,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Lee Chuan How (PH- Ipoh Timor) yang meminta perdana menteri menyatakan dasar dan hala tuju Malaysia susulan hasrat untuk menyertai BRICS.

Dalam pada itu, Anwar tidak menolak kemungkinan permohonan Malaysia ke dalam BRICS akan mengambil sedikit masa.

Beliau berkata tetapi dengan hubungan negara dalam BRICS sangat baik, ada kemungkinan Malaysia jadi ‘country partner’ dalam konteks yang segera.

Tambahnya, memang ada keperluan Malaysia menyertai BRICS dan kerajaan juga sudah sudah mengkaji kemungkinan dan implikasi, terutama dalam hubungan dengan negara anggota kumpulan ekonomi BRICS sebelum memohon untuk menyertai kumpulan ekonomi itu.

Beliau berkata terdapat negara yang menganggotai BRICS turut menjadi anggota dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

“Justeru tidak ada sebab untuk Malaysia tidak membuat pertimbangan untuk menyertainya.

“Tidak ada sebab mengapa kita dan beberapa negara ASEAN yang sekarang sudah memohon untuk bersama BRICS, harus bimbang kerana ketetapan kita bukan mencampuri urusan domestik dan politik negara masing-masing.

“Kita menekankan keutamaan perdagangan dan perluasan jaringan supaya negara dan rakyat, terutama pedagang, peniaga dan pelabur memperoleh manfaat,” katanya - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.