Wednesday, July 10, 2024

Antara bengong, bodoh, bahlul

 

hishamuddin-aun

Apakah ramai yang tersalah tembak apabila Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Rafizi Ramli dipersalahkan dalam kekalahan calon kerajaan perpaduan pada PRK Sungai Bakap, Sabtu lalu? Tidak hanya daripada penganalisis politik, malah ia turut membabitkan ‘tembakan persahabatan’ (friendly fire) daripada Barisan Nasional (BN) sendiri.

Belum pun bedah siasat menyeluruh atas kekalahan itu dilakukan, nampaknya sudah ada pihak-pihak yang menuding jari kepada menteri ekonomi itu. Kerana ceramah tiap malamnya, terutama pada minggu terakhir kempen, maka dia menjadi sasaran mudah sambil lain-lain yang terbabit sama dalam kempen PH-BN memilih untuk bersembunyi dan mendiamkan diri.

Apa salah Rafizi? Konon beliau dalam ceramah perdana terakhir PH-BN pada Jumaat lalu dengan menggelar pengkritik sebagai ‘bahlul’ dan ‘bodoh’ kerana mempersoalkan ‘formula’ kerajaan perpaduan dalam menyelesaikan isu ekonomi sebagai kesudahannya memakan diri apabila calon PH Joohari Ariffin tewas kepada Abidin Ismail dengan majoriti 4,267 undi — berbanding majoriti 1,563 undi di pihak PH pada PRN Ogos 2023 – Sabtu lalu.

Penganalisis pula berpandangan status Rafizi sebagai menteri tidak mewajarkan beliau menggunakan perkataan kasar ketika berkempen pada PRK Sungai Bakap, sebaliknya lebih cocok mengamalkan sikap rendah diri untuk mendapatkan keyakinan rakyat. Harus sudah lumrah apabila berada di pihak yang kalah, macam-macam akan dicungkil untuk menutup kekalahan, cuma yang tidak adilnya ia dipersalahkan hanya kepada seorang. Ramai juga terlepas pandang dalam konteks apa Rafizi menggunakan perkataan berkenaan.

Hairannya tiada ‘rakan sepasukan’ yang tampil mempertahankan timbalan presiden PKR itu, yang patut menimbangkan untuk tidak turut serta dalam kempen PRK Nenggiri pada 17 Ogos dan biarkan kepada BN yang beria-ia mahu bertanding kerusi N43 dalam kawasan Parlimen Gua Musang itu berjuang untung nasib mereka sendiri.

Barangkali inilah yang membezakan jentera kempen kerajaan perpaduan dengan Perikatan Nasional (PN). Tewas dalam PRK sebelum ini dengan yang terbaru di Pelangai dan Kuala Kubu Baharu, kita tidak pula dengar PAS, Bersatu dan Gerakan bercakaran atau saling menyalahkan kecuali menerimanya sebagai tanggungjawab bersama dengan mengambil iktibar daripada sebarang kekurangan untuk memperbaikinya.

Kasihan kepada Rafizi kerana ramai yang memilih untuk menyerkap jarang daripada menghalusi isi ucapannya yang sebenarnya untuk menjawab hujah Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang lebih dahulu menggunakan kata-kata nista seperti itu dan bukan bermaksud kepada pengkritik formulanya, jauh sekali kepada pengundi Sungai Bakap.

Menghuraikan dengan panjang lebar formula ekonominya – berpandukan kepada kadar pertumbuhan ekonomi semasa, penurunan kadar pengangguran, kadar pertumbuhan gaji tahunan, kadar inflasi menurun, kadar kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dan prestasi pasaran saham yang masing-masing terus meningkat – Rafizi mempersoalkan hujah Muhyiddin kononnya ekonomi negara merudum.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin kempen dia dari tahun 2020 sampai sekarang sama saja. Dia kata kesianlah rakyat Malaysia ni, jatuhkanlah Anwar Ibrahim ni sebab rakyat sedang menderita ekonomi tengah merudum, dia dok ulang benda yang sama. Saya tanya balik kut mana ekonomi merudumnya, cuba bagitau, eh jangan sembang je. Kalau nak kata ekonomi merudum, bagi bukti satu persatu,” katanya.

Daripada semua petunjuk ekonomi sejak kerajaan perpaduan mengambil alih Putrajaya selepas PRU15, tambahnya, semuanya jauh lebih baik daripada masa Muhyiddin jadi perdana menteri kelapan selama 17 bulan (1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021).

“Pertumbuhan ekonomi insya-Allah tahun ini kita melepasi 4%, pasaran saham naik tak turun-turun dari Julai tahun lepas, kadar pengangguran sekitar 3.5% ketika ini antara terbaik dalam tempoh 7-8 tahun lepas, kenaikan gaji swasta untuk tahun 2023 ke 2024 adalah antara tertinggi dalam tempoh 6-7 tahun lepas, inflasi 1.8% antara terbaik di dunia, zaman Muhyiddin inflasi 4%. Ringgit tahun ini adalah satu-satunya mata wang di rantau ini yang mengukuh berbanding dengan dollar, mata wang lain semua jatuh termasuklah Singapura. Jadi kut mana yang ekonomi merudum?

“Akhir sekali kita tahu permainan mereka. Dia akan guna emosi untuk mengapi-apikan terutamanya yang Melayu supaya agenda membodohkan rakyat ini dengan hanya dia main api sentimen, rakyat tak pandang dah semua fakta ni, dia tak pandang. Dia dok tanya kamu raja formula, mana formula kamu? Memang bahlul, formula tengah berjalanlah, bodoh,” katanya.

Huraian Rafizi itu patut dilihat sebagai menangkis hujah Muhyiddin di ceramah perdana PN pada 28 Jun apabila mendakwa kerajaan tidak pandai mengurus ekonomi dan keadaan rakyat yang lebih pentingkan soal nak hidup, nak makan, nak cari duit, nak hantar anak ke sekolah dan mahukan barang murah.

“Saya bercakap ni ada sedikit pengalaman dulu. Saya pernah jadi menteri perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna. Tanggungjawab kita ialah memantau supaya negara kita mempunyai cukup bahan-bahan keperluan. Antara yang paling utama kita nak tentukan beras mesti ada dan cukup. Sekarang ni cerita beras dah tenggelam. Ini cara madanon buat kerja — it’s ok let’s wait for the time when people will forget. Tak apa tak usah buat apa-apa.

“Memang pun dia bodoh…perdana menteri bodoh, menteri pun bodoh tak boleh selesaikan masalah beras. Sekarang bila berhadapan dengan krisis, tak ditangani sampai dibiarkan begitu saja. Saya juga pernah jadi menteri pertanian, jadi cakap ni ada authority sedikitlah. Orang Sungai Bakap ada tanggungjawab bagi satu isyarat kuat, baik di Pulau Pinang ini atau di Putrajaya, memberitahu bahawa kami tak suka, kami tak setuju, kami tak sokong dasar yang dibuat oleh kerajaan hari ini,” katanya.

Maksudnya Muhyiddin kata perdana menteri dan menteri bodoh, Rafizi pula jawab Muhyiddin bahlul, yang diperjelaskannya: “Bila saya kata bahlul dia marah, dia kata apalah menteri panggil bahlul. Ada sebab perkataan bahlul itu wujud, ini ialah kepada orang yang Allah dah bagi akal, yang boleh baca, mengira, yang boleh tau fakta dah dibentangkan, dia dah melaluinya, tapi dia buat-buat tak tau dan bodoh, namanya bahlul.”

Malah, lebih dahulu Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada ceramah perdana PN di Bandar Tasek Mutiara pada 22 Jun turut tidak terhindar mengungkapkan: “Soal isu kenaikan ataupun subsidi diesel sekarang menyebabkan kenaikan yang sangat berganda. Kerajaan beri jaminan harga barangan tidak akan naik walaupun diesel naik. Tuan-tuan percaya ke tidak? Bengong la kalau tuan-tuan percaya.”

Meski tidak dinyatakan Tuan Ibrahim, jenakanya itu (kalau boleh dianggap demikian) bermaksud kerajaan yang membuat jaminan itu sama bengong jugalah.

“Bila harga kos pengangkutan naik, diberi RM200, kita tau dah memang tak boleh elak kenaikan. Ni ada orang kata siapa kata diesel naik, saya isi RM10 boleh. Dulu saya isi RM10 boleh, sekarang pun boleh. Tak taulah cara fikir dia.

“Saya ingat ada seorang pak cik dok heret motor, saya kata pasal apa pak cik, kenapa rosak ke? Dia kata habis minyak, dulu buh RM5 sampai rumah, sekarang buh RM5 tak sampai rumah. Ah itulah akibat dia,” katanya lagi tapi kita pun tahu apa lanjutan daripada ceritanya itu.

Jika PAS dikata bengong, Bersatu dikata bahlul dan PH dikata bodoh, nampaknya tinggallah Umno yang cerdik kerana Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh menyatakan formula bahlul dan bodoh daripada raja formula telah mendatangkan hasil di Sungai Bakap – ketika ‘tembakan persahabatan’ itu tidak pun perlu sambil kedua-dua parti akan bekerjasama dalam PRK Nenggiri nanti. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.