Thursday, July 18, 2024

Bekas CEO MARii dipenjara setahun, denda RM100,000

 

madani
Mohamad Madani Sahari dijatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM100,000 serta hukuman penjara setahun dan harta RM3.4 juta dilucuthakkan oleh dua hakim. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR
Seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) institut automotif dijatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM100,000 oleh dua Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu bagi mendapatkan kontrak penyediaan latihan automotif RM6.4 juta dan wang tunai RM5 juta pada 2019 serta 2021.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara terhadap bekas CEO Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Mohamad Madani Sahari berjalan serentak bermula hari ini.

Di depan Hakim Rozina Ayob, Madani, 57, dijatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM100,000 selepas dia menukar pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan menipu lembaga pengarah MARii dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai harga ditawarkan LPS Learning Platform ialah RM6.4 juta, sedangkan harga sebenar RM2.3 juta.

Perbuatan itu mendorong lembaga pengarah menyerahkan kontrak RM6.4 juta kepada LPS Learning Platform dengan meluluskan cadangan pelantikan syarikat itu sebagai penyedia latihan bagi Wilayah Tengah, Pantai Timur, Selatan serta Sabah dan Sarawak pada harga kontrak keseluruhan RM6.4 juta.

Rozina turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan, jika gagal membayar denda itu.

Kesalahan itu dilakukan di bilik mesyuarat sebuah hotel di Jalan Stesen Sentral Dua di sini antara 10.50 pagi hingga 3.35 petang 14 Dis 2019 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman minimum penjara setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Di depan Hakim Suzana Hussin, Madani dijatuhkan hukuman penjara setahun dan harta RM3.4 juta dilucuthakkan selepas menukar pengakuan bersalah atas satu lagi pertuduhan pilihan, iaitu memperoleh wang tunai RM5 juta untuk dirinya daripada seorang lelaki 49 tahun atas arahan seorang lelaki 38 tahun di sebuah bank Seksyen 15, Shah Alam pada 8 Julai 2021.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, 41 pertuduhan utama bawah Seksyen 403 dan 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang dihadapi Madani sebelum ini dipertimbangkan sebagai 

take into consideration
 bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, Mohd Asraf Mohd Tahir, Haresh Prakash Somiah, Nurul Atiqah Mohd Alias dan Noor Syafina Mohd Radzuan, manakala tertuduh diwakili peguam Azizul Shariman dan Ariff Azami Hussein. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.