Tuesday, July 9, 2024

‘Beli lagi murah banding pajak’, kata Wan Saiful berkait aset pasukan keselamatan

 

wan saiful wan jan
Wan Saiful Wan Jan berkata aset milik pasukan keselamatan seperti tentera laut dan polis dilaporkan usang berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen pembangkang menyarankan kerajaan menggunakan kaedah belian terus bagi perolehan aset pasukan keselamatan berbanding kaedah pajakan yang menurutnya menelan belanja lebih besar.

Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berkata, aset milik pasukan keselamatan seperti tentera laut dan polis dilaporkan usang serta dikerah melebihi tempoh hayat, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini.

“Soalan saya apa perancangan terkini kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini, sebab ini masalah besar melibatkan kebajikan tentera laut, dan keselamatan mereka, membahayakan nyawa mereka.

“Adakah benar kerajaan akan ganti semua ini dan adakah proses nak dijalankan pembelian secara terus atau pajakan, bila dibuat pajakan 15 tahun hingga RM15 bilion itu satu kos tinggi,” katanya di Dewan Rakyat.

Wan Saiful berkata, jika penyelenggaraan dilakukan secara berkala kos mendapatkan sesebuah aset akan menjadi lebih rendah.

“Kenapa kaedah ini (pajakan) yang mungkin dipertimbangkan, sedangkan pembelian secara terus dan penyelenggaraan secara berkala mungkin kosnya lebih rendah,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kaedah sama akan digunakan bagi perolehan aset pasukan keselamatan yang lain.

“Saya nak tanya jika kita perluaskan lagi skop penjagaan keselamatan, bukan TLDM semata-mata, tapi kita tahu TLDM dibantu APM (Angkatan Pertahanan Awam) dan polis yang ada pasukan udara.

“Banyak lagi pasukan keselamatan yang kita baca dalam media dari hari ke hari mengalami masalah peralatan mereka agak usang,” katanya.

LKAN mendapati, terdapat kira-kira 26 kapal iaitu 53.1% daripada keseluruhan 49 kapal telah melebihi usia guna antara sembilan hingga 25 tahun dan masih digunakan untuk tujuan operasi.

Analisis audit selanjutnya terhadap 26 kapal yang melebihi usia guna tersebut mendapati sebahagiannya digunakan secara ‘high-tempo’ melebihi antara lima hingga 156 hari.

Manakala untuk tempoh antara 2020 hingga 2022, bilangan kapal beroperasi secara high-tempo adalah masing-masing sebanyak 14 kapal (53.8%), 19 kapal (73.1%) dan 16 kapal (61.5%). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.