Friday, July 19, 2024

Dimomok jadikan DAP ‘abang long’ punca Amanah sukar tarik sokongan Melayu

 

amanah
Penganalisis berpendapat Amanah masih gagal memainkan peranan lebih proaktif dalam mendapatkan sokongan Melayu sejak penubuhannya lapan tahun lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA
Seorang pemimpin Amanah tidak menolak punca mereka ditolak orang Melayu di luar bandar kerana momokan lawan konon parti itu pendukung kuat dan menjadikan DAP sebagai ‘abang long’.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad, mengakui tidak mudah mengikis persepsi terhadap parti serpihan PAS itu di kawasan terbabit sedangkan layanan berbeza dalam kalangan orang Melayu di bandar.

Beliau memberikan contoh di Shah Alam yang 80% pengundinya dari segmen Melayu dimenangi Amanah sejak 2008 olehnya sebelum digantikan Azli Yusof pada PRU15.

“Di luar bandar hadapi pelbagai kekangan tarik sokongan disebabkan dakyah seperti kami ini pendukung kuat DAP.

Khalid Abdul Samad.
Khalid Abdul Samad.

Parti Melayu lain khususnya Umno dan PAS telah lama wujud, jadi sukar tembus pengaruh…mereka ada ratusan cawangan berbanding Amanah hanya berusia lapan tahun,
 katanya kepada FMT.

Namun kata Khalid, Amanah kini giat turun padang termasuk di kawasan lawan untuk beri penerangan bagi menangkis pelbagai tohmahan.

Beliau mengulas kenyataan penganalisis dari Universiti Sains Malaysia Zaireeni Azmi yang berpandangan Amanah masih gagal memainkan peranan lebih proaktif dalam mendapatkan sokongan Melayu sejak penubuhannya.

Zaireeni berkata, Amanah yang menjadi satu daripada komponen Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak menonjol dalam kempen PRK terbaharu di Sungai Bakap, menyaksikan ia gagal menguasai undi Melayu.

Hasbie Muda.
Hasbie Muda.

Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda, pula berpandangan tidak adil mendakwa Amanah gagal kerana masalah sama juga dihadapi sekutunya dalam PH iaitu PKR yang sering tewas di kerusi majoriti Melayu.

“Ukuran prestasi mesti dilihat menyeluruh kerana ada kerusi apabila diberikan kepada Amanah kita menang umpama DUN Batu Tiga di Selangor.

Pada masa sama calon parti lain PH kalah bila tanding kerusi majoriti Melayu, bagi saya penilaian mesti dibuat secara adil dan kita menang lapan Parlimen majoriti Melayu,
 katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui sebagai parti baharu mereka mempunyai kekangan menarik pengundi namun yakin keadaan itu boleh berubah memandangkan cawangannya yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Kita aktif bersama pemimpin setempat termasuk imam, bilal dan melakukan usrah di peringkat bawah untuk dekatkan lagi Amanah dengan masyarakat,
 katanya.

Hasbie juga yakin Amanah mampu memenangi sekurang-kurangnya 16 kerusi Parlimen pada PRU16. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.