Tuesday, July 30, 2024

Gerakan dan gertak

 

Mohsin Abdullah

Apabila Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong menegaskan partinya ‘tidak teragak-agak’ keluar daripada Perikatan Nasional, itu menurut saya satu kenyataan ‘menggertak’ dan untuk menjaga air muka.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons Gerakan terhadap kenyataan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari bahawa PAS tidak menolak kemungkinan memutuskan hubungan dengan Gerakan pada PRU16 kelak. Ini berikutan pendirian berbeza kedua parti bersabit soal pengumpulan dana untuk sekolah Cina yang membabitkan syarikat arak.

PAS dilihat menyokong garis panduan Kementerian Pendidikan mengenai sumbangan dana kepada sekolah. Ringkasnya kementerian melarang syarikat arak, judi dan rokok membuat sumbangan. Namun, apabila mula ‘bising-bising’ berhubung isu ini minggu lalu PAS pada hemat saya ketika itu lebih menekankan aspek kehadiran Timbalan Menteri Aiman Athirah Sabu pada satu majlis kutipan dana di mana beliau menerima cek tertera logo Tiger Beer.

Aiman ialah timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan dan merupakan ketua Wanita Amanah, parti musuh ketat PAS. Bos beliau di kementerian ialah Nga Kor Ming orang DAP. Rasanya sifir politiknya pada lensa PAS mudah difahami.

Gerakan, rakan PAS dalam PN beranggapan tidak ada salahnya syarikat arak memberi sumbangan kepada sekolah vernakular, dalam kes ini sekolah Cina. Pendirian itu kata PAS ‘amat mengecewakan’ lantas ketua penerangannya menyuarakan kenyataan yang disebut tadi.

Pada pandangan saya kata-kata Oh ialah untuk memberitahu khalayak bahawa Gerakan ‘lebih rela’ atau berani keluar PN daripada disingkir atau digugurkan oleh PN. Tinggalkan PN berdasar keputusan sendiri lebih bergaya dan lebih bermaruah daripada kena tendang. Dalam PN, PAS dilihat sebagai ‘big brother’.

Namun, kata Oh PAS bukan ‘taiko’ dan Gerakan tidak akan kekal dalam PN jika terpaksa tunduk terhadap tuntutan konservatif dan tidak munasabah yang melampau daripada ‘parti tertentu’.

Pinjam kata-kata P Ramlee – ‘alaa cakap lawa’. Rasanya ramai setuju. Golongan yang sering mengejek dan mengubah nama parti Oh daripada Gerakan kepada ‘gelakkan’ pasti tergelak.

Hakikatnya, ramai yang tidak pandang serius ‘ancaman’ Gerakan. Ramai tidak yakin Gerakan akan bikin apa yang dia cakap. Dakwaan Oh partinya meninggalkan Barisan Nasional dulu berdasarkan prinsip menentang rasuah dan salah guna kuasa tidak bantu memperkukuhkan hujahnya. Ini kerana Gerakan keluar BN hanya setelah gabungan itu tumbang PRU14 pada 2018. Malah kerana tindakan itu Gerakan dituduh tinggalkan kawan waktu susah.

Apa pun kali ini kalaupun Gerakan benar-benar keluar daripada PN ramai percaya langkah itu tidak akan memberi apa-apa kesan kepada PN. Semalam kata Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah seperti dilapor FMT, 

kalau Gerakan nak keluar PN, keluarlah.
.

Realitinya Gerakan bukan parti kuat. Lalu ia tidak punya ‘bargaining power’ dalam PN atau mana-mana gabungan politik yang disertainya. Mengambil kira keadaannya, Gerakan akan sukar mencari gabungan yang mahu menerimanya jika ia keluar daripada PN.

Diulangi realitinya Gerakan bukan parti kuat seperti semasa ia ditubuhkan pada 1968. Pengasasnya enam cendekiawan dan tokoh demokrat, dihormati dan berwibawa termasuk Syed Hussein Alatas dan Tan Chee Khoon. Gerakan mahu membentuk Malaysia yang diwarnai keharmonian masyarakat majmuk, keadilan sosial, kesaksamaan ekonomi, demokrasi berpolitik dan liberalisme budaya. Jujur saya pandang tinggi konsep dan ideologinya.

Gerakan ialah parti pelbagai bangsa. Parti untuk semua rakyat Malaysia. Walaupun ia ada ahli masyarakat India, orang Melayu kurang berminat. Lantas Gerakan menjadi parti majoriti Cina.

Bagi saya ‘the beginning of the end’ ialah apabila Gerakan yang merupakan parti pembangkang menyertai BN pada 1973. Walaupun gagah pada mula-mula menyarung jersi BN terutama kekuatan di Pulau Pinang ia secara senyap mula hilang taring sedikit demi sedikit.

Kemuncaknya pada pilihan raya 2008 Gerakan hanya menang dua kerusi Parlimen serta hilang kuasa di Pulau Pinang. Prestasi buruk berterusan hingga 2018. Pada tahun itu Gerakan kalah semua kerusi Parlimen dan negeri yang ditandinginya. Di Pulau Pinang yang pernah menjadi kubunya, Gerakan gagal menang sebarang kerusi dalam tiga pilihan raya.

Dalam keadaan lemah inilah Gerakan menggertak meninggalkan PN. Bagaimanapun penganalisis Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dilapor FMT berkata, PN memerlukan Gerakan untuk menonjolkan imej mewakili semua kaum walaupun beliau mengakui pada hakikatnya Gerakan tidak mampu menyumbang dalam menarik sokongan bukan Melayu.

Kalau PN ekstrem nak tendang Gerakan keluar mudah saja sebab parti itu bukan membantu sangat…cumanya itu akan menjadikan imej PN lebih berhaluan kanan iaitu lebih konservatif,
 kata Lau.

Sebenarnya, PN kini walaupun dengan Gerakan di dalamnya sudah dilihat ramai sebagai gabungan haluan kanan. Politik berhaluan kanan secara amnya memaksudkan bahagian spektrum yang dikaitkan dengan konservatisme termasuk konsep kanan agama atau ekstrem agama.

Di Malaysia kata Lau gabungan politik dengan imej haluan kanan susah bertahan. Bagi saya kalau bertahan pun adalah kerana sokongan masyarakat tertentu. Dalam kes PN ia akan hanya dapat sokongan Melayu-Islam. Itu pun yang dikatakan golongan konservatif. Padahal PN sendiri tahu untuk memerintah Malaysia ia perlu sokongan semua kaum.

Oleh itu adakah mungkin PN terpaksa ‘layan’ juga Gerakan? Bak kata peribahasa tiada rotan akar pun berguna? Atau memilih MCA sebagai ganti? Namun, dari segi kekuatan dan kemampuan tarik sokongan bukan Melayu, MCA dua kali lima dengan Gerakan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.