Tuesday, July 23, 2024

Hajiji arah jabatan, agensi tangani halangan projek pembangunan

 

hajiji
Ketua Menteri Hajiji Noor seru agensi pelaksana persekutuan dan negeri eratkan hubungan, meningkatkan prestasi serta kualiti projek bagi manfaat rakyat.

KOTA KINABALU
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, mengarahkan jabatan dan agensi menangani semua bentuk halangan dalam pelaksanaan projek pembangunan dengan kadar segera.

Beliau berkata terdapat 1,218 projek yang sedang dilaksanakan di Sabah dan 25 daripadanya dikategorikan sebagai ‘sakit’ termasuk dari segi kemudahan tenaga, air, elektrik, sekolah, dan kesihatan serta lain-lain yang gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Semua projek ini berkepentingan awam justeru segala usaha perlu diambil untuk mengutamakan dan memastikan ia siap,
 menurutnya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu.

Majlis turut diberi taklimat mengenai Jawatankuasa Khas Bersama Negeri-Persekutuan yang dibentuk bagi memantau projek pembangunan di Sabah terutama yang bermasalah manakala bagi program pembasmian miskin tegar, ia diberi taklimat oleh Sekretariat SMJ bahawa negeri itu berada di landasan betul ke arah mencapai sasaran sifar miskin tegar.

Hajiji berkata adalah penting bagi kerajaan Sabah menerusi Sekretariat SMJ memperkenal intervensi untuk mengurangkan kewujudan miskin tegar.

Beliau turut menggesa agensi pelaksana persekutuan dan negeri memaksimumkan penggunaan RM6.6 bilion yang diperuntuk oleh kerajaan persekutuan di bawah Belanjawan 2024 bagi pembangunan di Sabah tahun ini.

Peruntukan itu meliputi pelbagai program pembangunan termasuk tebatan banjir, pemulihan Sungai Tuaran, pembinaan sekolah baharu, membaik pulih sekolah usang, dan membina klinik baharu serta premis Tamu Desa.

Adalah mustahak bagi semua jabatan serta agensi berkaitan di Sabah untuk memanfaatkan sepenuhnya peruntukan itu dan menurunkan kuasa kepada agensi teknikal bagi melaksanakan projek pembangunan yang menelan belanja di bawah RM50 juta dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi negeri,
 katanya.

Beliau berkata agensi pelaksana persekutuan dan negeri perlu mengeratkan hubungan antara mereka, meningkatkan prestasi serta kualiti projek bagi manfaat rakyat.

Kita telah melepasi pertengahan tahun jadi saya mahu kita meneliti dan menyemak prestasi kita terhadap sasaran masing-masing dari segi pelaksanaan projek pembangunan persekutuan dan negeri,
 katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.