Saturday, July 27, 2024

Kejap-kejap putus kejap-kejap ganggu

 

Mohsin Abdullah

Gangguan bekalan air di tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor dikatakan pulih sepenuhnya hari ini. Rumah anda dah ada air? Gangguan kali ini terjadi kerana pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah susulan kebocoran tangki sebuah kilang plastik di Kuang menyebabkan empat loji rawatan air dihenti tugas.

Kata Izham Hashim, pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur Selangor, tindakan tegas akan dikenakan terhadap kilang menyebabkan pencemaran bau sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual. Baguslah tu.

Tetapi mengapa pencemaran selalu berlaku di Selangor sekali gus bekalan air pun selalu terganggu, walaupun tindakan tegas diambil ke atas pencetus pencemaran. Bak kata S Piarapakaran kepada FMT denda antara RM200,000 hingga RM1 juta seolah-olah tidak menggerunkan pihak industri dan tidak memadai. Beliau ialah presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia atau Awer.

Kalau saya kata gangguan bekalan air menyusahkan orang ramai ia sekadar menyatakan apa yang nyata. Lalu Awer menggesa kerajaan menambah klausa dalam undang-undang bagi membolehkan mangsa gangguan bekalan air menuntut ganti rugi daripada pencemar. Ini demi keadilan buat pengguna. Elok Putrajaya mempertimbangkan gesaan ini.

Tampil pula Fomca atau Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia menyeru tindakan tegas terhadap Air Selangor berikutan gangguan bekalan air tidak berjadual, lantas membidas SPAN yakni Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara kerana tidak mempertanggungjawabkan Air Selangor yang menurutnya menyebabkan syarikat itu 

kurang berhati-hati dan kurang kesegaraan
.

SPAN mesti denda Air Selangor supaya mereka lebih berhati-hati. Tidak banyak tindakan SPAN terhadap operator air… operator perlahan baiki masalah,
 kata Presiden Marimutuhu Nadason kepada FMT.

Beliau berkata tiba masanya kerajaan mencontohi model pampasan yang dilaksanakan di United Kingdom semasa gangguan bekalan air. 

Di UK jika tiada air lebih darpada 24 atau 48 jam mereka bayar pengguna,
 kata Marimuthu. Apa kata kerajaan? Mahu contohi UK?

Marimuthu mendakwa masalah di negara ini ialah operator mengambil kesempatan atas undang-undang yang lemah. Jadi mestikah undang-undang yang didakwa lemah diperkuatkan?

Tampil SPAN mempertahan Air Selangor. Menurutnya tindakan Air Selangor tepat bagi mengelakkan risiko kesihatan kepada pengguna. Kata agensi itu mengikut Seksyen 55 Akta Industri Perkhidmatan Air, Air Selangor bertanggungjawab memutuskan bekalan jika sumber air tidak selamat dan membahayakan kesihatan.

Rasanya tidak ada siapa yang mempertikaikan tindakan Air Selangor menghentikan bekalan apabila air tercemar. Ye lah tiada siapa suruh Air Selangor terus bekal walaupun air dah berbau dan tercemar. Berbalik persoalan saya tadi mengapa pencemaran air selalu sangat berlalu? Seperti kata Piarapakaran denda besar yang dikenakan terhadap pencemar tidak berkesan.

NAib Presiden MCA Lawrence Low dalam kenyataan yang disiar Focus Malaysia menyarankan Air Selangor mengambil langkah tertentu seperti meningkatkan infrastruktur, meningkatkan pemantauan dan selenggaraan, menyediakan pelan respons serta menjalin kerjasama dengan pihak berkepentingan. Cadangan bagus tetapi untuk berlaku adil perlu dijelaskan apa yang dicadang ada antaranya sudah dilaksana Air Selangor.

Apa pun yang jelas dan nyata ialah suatu penyelesaian — a long term solution diperlukan segera. Masalah bekalan air terganggu atau diganggu tidak boleh dibiar berterusan. Cukup-cukup lah pengguna sengsara. Dah lama susah. Itu belum sebut kesulitan di hospital dan sekolah. Kerugian berjuta ringgit juga tercatat apabila operasi perniagaan terpaksa dihentikan akibat bekalan air terganggu.

Apa dia long term solution? Jangan tanya saya. Saya bukan pakar bekalan air. Tanya pakar-pakar yang betul-betul pakar. Bukan kaki temberang yang menyamar pakar hanya kerana mahu buat duit tanpa menyelesaikan masalah, malah menambah masalah.

OK cukup. Saya nak mandi. Air dah ada. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.