Tuesday, July 16, 2024

Membahlulkan masyarakat

 

Free Malaysia Today

Ada beberapa kategori pempengaruh yang akan tetap dibela penyokongnya walaupun pempengaruh tersebut sedap sahaja menyinggung perasaan pihak lain. Politikus, agamawan dan selebriti glamor. Mereka ada lesen untuk buat atau cakap apa sahaja. Jika mereka dikritik, penyokong mereka akan bangkit bermati-matian mempertahankan. Apa sahaja yang keluar dari mulut pempengaruh ini adalah sabda yang paling benar manakala luar daripada lingkungan mereka adalah salah, bodoh lagi bahlul.

Penceramah agama pun mempunyai peminat mereka masing-masing. Penyokong pula berpecah-pecah. Kerja mereka dalam ceramah ialah mengutuk pesaing mereka yang berbeza pandangan. Perli-memerli dan sindir-menyindir. Perkataan ‘bodoh’ dan ‘bengong’ adalah mainan di mulut mereka. Ratib ini dipanjangkan pula oleh pendukung mereka. Kesemuanya mengamalkan mantera ‘bodoh, bengong’ ini untuk dihamburkan kepada yang tak sealiran dengan fahaman mereka.

Itu yang saya pelik. Bagi saya perbezaan pandangan itu sepatutnya biarlah cerdik untuk ditangani. Laksana para ilmuwan, semua pihak akan mendapat tempias ilmu, tetapi tidak. Malah, ada yang mengada-adakan cerita sehingga boleh jatuh kepada umpat dan tohmah pula. Itukah yang dituntut dalam hidup beragama? Hilangkah pertimbangan dan sifat berlapang dada mereka? Mana perginya ‘berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran’ (surah Al-Asr)? Kalaulah perli dan maki ini diharuskan, maklumlah mereka pasti lebih arif dengan nas dan dalil untuk membolehkannya; tidakkah para pempengaruh agama ini sedar yang mereka telah mendidik dan melahirkan penyokong-penyokong yang kurang ajar? Yang sewenang-wenangnya melabelkan pihak lain sesat lagi jahil sehinggakan ada yang sampai ke tuduhan kafir-mengkafir.

Keadaan ini tidak langsung disekat oleh para agamawan ini. Seharusnya mereka yang punya pengaruh menasihatkan penyokong mereka agar bertenang, jangan melampaui batas kerana akhirnya masing-masing mempunyai matlamat sama, mencari kebenaran dan dalam proses tersebut pastilah akan berlaku juga percanggahan pendapat. Selesaikan dengan tertib. Ini tidak. Dibiarkan sahaja peperangan penyokong di medsos dengan kata-kata kesat dan memalukan. Isy! Isy! Isy!

Tidak hairanlah ada antara penyokong mereka menganggap kutuk-mengutuk ini juga adalah sebahagian daripada perjuangan agama mereka dalam menentang kebatilan. Maki-hamun ini wajar sebagai senjata peperangan. Sekali lagi, Isy! Isy! Isy!

Di pentas politik pun sama. Memaki-hamun menggunakan perkataan kesat dan kasar itu biasa. Tak maki, tak hamun dan tak timbulkan persepsi negatif tak sah. Kutukan dan kejian cukup lancar keluar dari mulut sang politikus.

‘Kepala bapak! Bahlul! Bodoh!’ dilemparkan. Penyokong setia yang melangut mendengar dengan mulut terlopong kagum. Penyokong bersyukur kerana berada dalam golongan bijak-pandai bersama pemimpin mereka. Tak macam yang di ‘sebelah sana’, yang tak sehaluan dengan ideologi mereka. Bodoh lagi bahlul.

Saya bertanya, ke mana masyarakat ini hendak dibawa? Dari Wawasan 2020 hingga ke Madani, kita masih lagi menghadap kata-kata ‘suwey’ ini daripada mulut politikus dan agamawan. Ini sungguh menyedihkan.

Politikus dan agamawan adalah model masyarakat. Mereka berkeupayaan memainkan peranan mendidik rakyat menjadi cerdik. Berpengaruh – itu kelebihan yang telah dikurniakan kepada mereka dan alangkah bagusnya ia dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membangunkan pemikiran massa. Tetapi, yang keluar dari mulut serta tindak-tanduk mereka adalah haru-biru, inca-binca dan kekeliruan.

Kata-kata merupakan sebuah doa. Maknanya saban hari kita mendengar doa daripada pemimpin kita ini agar kita semua menjadi bodoh dan bahlul. Andai kata doa ini dimakbulkan, maka jadilah masyarakat ini sebuah masyarakat yang bodoh bin bahlul. Masyarakat yang bahlul ini pula dengan segala ‘kebahlulannya’ akan gagal melihat yang mana baik; lalu akan mengangkat dalam kalangan yang bahlul juga untuk menjadi pemimpin.

Mutakhir ini, di media sosial telah bangkit anggota masyarakat sama ada orang perseorangan atau juga pertubuhan, menentang amalan membodoh-bahlulkan masyarakat ini. Mereka tidak mahu golongan pempengaruh ini mengambil kesempatan mencari kemasyhuran dan mengukuhkan kedudukan dengan memperbodohkan rakyat. Istilah ‘penunggang agama’ atau ‘kaki kencing’ dicop ke atas pempengaruh agama mahupun politik yang dilihat cenderung meracun fikiran rakyat. Kewujudan kaki lawan ini sedikit-sebanyak memberikan kesan juga terhadap pempengaruh tiga kategori disebutkan tadi.

Anggota masyarakat yang bangkit ini adalah ‘Bahlul’ di zaman ini. Bukan ‘bahlul’ yang ditakrifkan dalam kamus dewan itu tetapi ‘Bahlul’, atau nama sebenarnya Wahab ibn Amr, seorang satirawan berilmu yang hidup di zaman pemerintahan Khalifah Harun Al Rasyid.

Hentikanlah membahlulkan rakyat. Jangan sampai rakyat naik muak dan bangkit menjadi ‘Bahlul’. Buanglah perangai berasa diri sendiri paling pandai dan orang lain semuanya bodoh. Janganlah kerana hendakkan kedudukan, menghina pihak lain dihalalkan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.