Tuesday, July 23, 2024

Mengangkat bintang eloklah masih hidup

 

Free Malaysia Today

Saya sentiasa percaya bahawa negara kita tidak pernah ketandusan ‘bintang’ dan cerdik-pandai yang mampu mengangkat nama Malaysia ke persada dunia. Tidak kiralah dalam bidang apa sekalipun sama ada politik atau sukan begitu jugalah dalam seni dan hiburan. Saya sentiasa percaya dalam bidang tersebut kita ada maestro. Mustahil tak ada.

Cuma, peluang untuk mereka membuktikannya tidak ada. Senang cakap, nasib tidak menyebelahi mereka. Untuk mengelak daripada rasa bersalah, kita boleh kata begitu sedangkan sebab tidak berpeluang naik itu ada banyak. Mungkin kerana karakter mereka dimatikan oleh pesaing yang terlebih dahulu berjaya naik. Supaya tidak tergugat, bintang-bintang ini ditutup laluannya, dibungkam, dan dibiarkan tak tentu arah sehingga sinar mereka malap lalu akhirnya mereka ini dilupakan. Itu salah satu sebab daripada banyak faktor lain dan sebab yang ini sesungguhnya sangat kejam lagi merugikan.

Dalam politik sering saya baca dan dengar pandangan daripada beberapa penganalisis bahawa kita tidak berpeluang menikmati kehebatan tokoh seperti Tun Dr Ismail. Benar, Allahyarham meninggal dunia agak awal tetapi dikhabarkan kehebatannya diakui. Tapi ini sudah takdir. Begitu juga, ada yang menyatakan kita juga terlepas peluang melihat Tun Musa Hitam naik menjadi perdana menteri untuk membuktikan kepimpinannya membawa Malaysia menjadi negara maju. Kata teman-teman yang berkesempatan bersama beliau, kita kerugian apabila Tun Musa Hitam meninggalkan politik. Sebab apa beliau bersara, kita semua tahu. Wallahua’lam. Kes begini berlaku di lapangan lain juga.

Beralih kepada kes lain, baru-baru ini saya terbaca keluhan seseorang tentang nama beberapa pelajar sekolah yang hebat dalam sukan bola sepak dipinggirkan dan tempat mereka diisi oleh kaum kerabat pihak yang diberi tanggungjawab untuk memilih. Fenomena ini bukan baharu. Saya pernah menjadi guru dan pernah melihat hal sebegini berlaku. Sikap pilih kasih dan pentingkan kedudukan menyebabkan bakat-bakat baharu dibunuh potensi. Saya percaya ada ramai bintang bola sepak atau bintang sukan yang lainnya hebat tetapi tidak berpeluang dibawa ke tengah kerana pihak-pihak yang sepatutnya bertanggungjawab bersikap ambil mudah. Sanggup mereka berbuat sesuatu yang merugikan negara.

Demi nak masukkan juak-juak sendiri kalah pun tak apa.

Akhirnya bintang-bintang yang berpotensi besar ditendang dan diperuk hanya kerana mereka yang duduk di kerusi pemilih mahu naikkan kroni. Walaupun main macam hampeh, walaupun berlakon macam patung, walaupun menulis macam tak sekolah; tapi kerana ada kabel mereka naik dan kita semua menikmati hasil yang hampeh pilihan mereka yang hampeh! Bintang-bintang yang hebat, pintar, bercahaya terus disepikan dan dimalapkan. Ada yang hanya dikenang apabila sudah tiada dan ada yang langsung terus dilupakan.

Menoleh ke dalam bidang perfileman kita tak kekeringan karyawan pintar. Karya oleh sutradara Hussein Haniff, M Amin, Salleh Ghani, atau Anuar Nor Arai bukan sahaja tidak dibincangkan tetapi tidak dipedulikan. Kehalusan seni kata oleh S Sudarmaji, Yusnor Ef, Jamil Sulong atau Kassim Masdor tidak diketahui sampai sudah oleh masyarakat. Bintang-bintang ini tidak disebut. Ini penyakit kita. Kita mengenang dan mengangkat P Ramlee tetapi kita meninggalkan yang lainnya. Nama-nama yang saya sebutkan tadi adalah gandingan P Ramlee dalam mencipta lagu tetapi siapa yang kagum? Siapa yang peduli? Penting sangatkah? Itulah kita hari ini.

Bulan ini jadual saya agak padat dengan program diskusi filem dan lagu. Saya dan sutradara Nasir Jani (kami diuruskan oleh syarikat penerbitan buku Rabak-Lit) rancak menghadiri jemputan program tayangan filem Kembara Seniman Jalanan dan diskusi tentang filem tersebut di sana-sini. Kami menjadi ahli panel di mana Nasir Jani mengupas idealisme dalam filem arahannya itu manakala saya menceritakan pula dari sisi generasi pada zaman tersebut yang dipengaruhi oleh budaya kutu, rock, dan rugged. Saya mengupas trend muzik rock serta lirik-liriknya yang menjadi kegilaan anak muda zaman itu.

Program diskusi filem ini diadakan sejak lebih lima tahun dahulu dan telah berkeliling seluruh Semenanjung membicarakannya. Takjubnya, program ini rata-rata dianjurkan oleh anak-anak muda ‘kutu‘ yang mahu mendengar dan mengiktiraf karya tersebut. Tempat program diadakan mungkin di studio kecil, di rumah, di restoran dan di tempat awam di pinggir jalan, bukan di gedung besar dan tidak di menara gading.

Saya melihat ada segolongan anak muda yang mahu mengangkat karya seseorang seniman dan mahu membincangkannya di saat sang pengkarya tersebut masih hidup. Mereka berwacana dan mahu mendengar sendiri pemikiran seniman pujaan mereka sementara idola mereka itu masih ada. Ini amat membanggakan saya kerana generasi muda ini menggunakan kesempatan terbaik untuk menimba pengalaman dan berkongsi idea dengan para seniman senior. Bagi mereka, semasa hidup inilah!

Andai seniman dan karyawan otai sudah tiada maka terlepas lagilah peluang untuk mencungkil ilmu dari bintang-bintang terpinggir ini.

Kita sudah lama kehilangan Loloq dan baru-baru ini kita kehilangan Pyanhabib serta Mansor Puteh. Bila kita lihat di media sosial barulah kita tahu rupa-rupanya mereka ini hebat dan cukup berpengaruh bagi beberapa kumpulan dan individu. Ramai terinspirasi dengan idealisme tokoh-tokoh ini. Tetapi disebabkan kelantangan mereka dalam satu-satu hal menyebabkan mereka tak disukai oleh beberapa pihak lalu sosok ini dibiarkan terpinggir. Agaknya, idea-idea mereka boleh mengancam kedudukan selesa beberapa pihak sehingga mereka tidak disukai.

Orang seperti Mansor Puteh sering saya lihat duduk tersudut di sesebuah program bicara seni dan filem, kehadirannya tidak dihiraukan sangat. Melainkan beberapa teman yang mengenali beliau menegurnya, yang lain buat tak hairan. Hari ini, tup-tup apabila sudah tiada, kita dapat lihat betapa beliau dijulang seakan wira. Manakan tidak, sehingga ada program khas dibuat untuk mengenang beliau. Bukan kaleng-kaleng ni!

Kenapa selama beliau hidup ramai tak kenal?

Tulisan saya kali ini bertujuan agar kita sama-sama mengubah sikap untuk lebih prihatin, mengenalpasti, dan menghargai bintang-bintang yang bergeliga. Program diskusi filem misalnya, boleh sahaja kita bicarakan karya tokoh seni yang masih ada. Kita boleh mengupas pemikiran Rahim Razali menerusi filem-filemnya seperti Pemburu, Abang, Matinya Seorang Patriot, Anak Sarawak atau Tsu-Feh Sofia. Filem-filem Uwei Shaari, Aziz M Osman, Adman Salleh atau keluarga Haslam, kita bicarakan. Atau lagu-lagu rakyat oleh Ito Blues Gang, Manan Ngah dan lain-lain kita kupas. Jangan balik-balik angkat yang ‘itu-itu’ sahaja.

Yang memang sudah popular dan masyhur memanglah sudah cukup hebat. Takkanlah kita ada dia sahaja sedangkan negara kita kaya dengan bakat. Kementerian berkaitan wajar memainkan peranan melakukan reformasi ini. Mengiktiraf, mengangkat karya-karya bagus oleh pengkarya yang bagus. Jangan tunggu dah mati baru nak kenang.

Sebab bila dianjurkan program mengenang karya mereka yang telah mati, walaupun tidak saya membantah sebaliknya amat saya sokong; adakalanya meluat juga kerana sebelum ini kenapa kau pinggirkan mereka? Masa mereka hidup ada yang takut untuk dilihat bersama dengan mereka kerana mereka ini lantang dan panas gagasannya tetapi bila dah tiada tiba-tiba menulis di medsos kitalah kawannya yang sentiasa menyokong.

Yang pasti, si mati sudah tidak lagi mampu ke sana-ke mari menjelaskan, terkubur bersama idealismenya! Lalu kita pun rugi lagi. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.